ISLAMIK

Editorial

Buku : Pesanan Buat Diri

 
  
Tulisan kali ini bergerak papan kekunci atas dasar penilaian saya sempena satu buku iaitu “Pesanan Buat diri” karangan Suhili Nain. Kebetulan saya akan menjadi moderator untuk bedah buku untuk sama-sama membincangkan buku yang cukup indah ini dalam perspektif yang berbeza. InsyaAllah jika diberikan keluasan hidup saya akan bersama-sama Ustas Kamil bin Jaafar dan Ustaz Zamri daripada Jabatan Agama Islam dan Moral.

Ulasan Bahagian Pertama
Analisis deskriptif yang saya buat membawa kepada beberapa persoalan yang penting yang cuba diutarakan oleh penulis buku ini. Buku yang berhalaman 81 muka surat ini memberikan pesanan yang cukup berguna dalam kita bergerak sebagai seorang individu muslim yang baik. Pecahan buku ini mempunyai dua bahagian iaitu pertama “Pembaikan dan Ilmu” dan kedua “Aku, Dunia dan Akhirat”. Penulis menghurai dalam nada yang cukup mulus dengan gaya bahasa yang tersusun dan mampu untuk difahami secara jelas isinya.

Bahagian pertama iaitu Penambahbaikan dan ilmu mengandungi beberapa penjelasan yang cukup menarik. Kerana ia ditujukan khas buat para pendakwah iaitu penyelewengan ilmu secara moden yang mencabar kredibiliti dakwah itu sendiri. Penulis menjelaskan tentang kepentingan dakwah kepada setiap orang muslim. Bagaimana penulis memberikan satu sesuatu yang memberikan manifestasi sebenar tentang jalan dakwah. Ini kerana jalan dakwah ini tidak dibentang dengan indahnya haruman bunga sebaliknya ia penuh liku yang berduri yang mesti umat islam tempuhi.

“Seru ke jalanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahas dengan mereka dengan cara yang paling baik.Sesungguhnya tuhanmu lebih mengetahui orang yang sesat daripada jalannya dan Dia juga yang lebih mengatahui orang-orang yang mendapat hidayah” (Surah an-Nahl, Ayat 125)

Penulis membuka mata pembaca tentang kepentingan ilmu yang semakin tandus dalam kalangan umat islam. Mulianya sebuah bangsa itu bukan dilihat sejauahmana menara pencakar langit yang mereka ada dengan kemajuan yang tinggi. Tapi dilihat pada sejauhmana ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu.  Kerana tanpa ilmu manusia dan jatuh ke lembah paling hina dalam siri penjelajahan hidup mereka.

Beliau menghuraikan tentang keperluan terhadap ilmu agama. Beliau menggariskan lima ciri mengapa perlunya agama dalam kehidupan seseorang. Kata Imam Malik “Ilmu itu harus didatangi bukan mendatangi”. Kupasan konseptual yang baik dan menyeluruh untuk sesiapa sahaja yang mahu melihat islam dalam kerangka yang mudah dan praktikal. Kewajipan terhadap peripentingnya ilmu islam itu dihuraikan daripada perspektif hadis berikut;

“Sesiapa yang menempuh jalan mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan mempermudahkan baginya satu jalan menuju syurga” (direkodkan oleh Muslim)

Selain itu, huraian tentang penting membaca dalam diri setiap mukmin turut dikupas dengan baik. Bagaimana memanfaatkan buku untuk diri. Buku ini diibaratkan seperti dunia. Meskipun seseorang itu tidak berpeluang menjelajah dunia tetapi dengan membaca ia mampu mengetahui banyak perkara. Persoalan yang dikemukakan ialah ramai orang yang membaca buku, tetapi tidak ramai orang yang mampu memanfaatkan buku yang mereka baca.

 

Dibangkitkan juga persoalan bagaimana seseorang itu dikatakan berguru yang yang batil. Iaitu tanpa melakukan penyelidikan terhadap bahan bacaan yang mereka ada. Hasilnya menyebabkan ilmu yang mereka dapat banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur bidaah, khurafat dan hadis-hadis palsu. Turut dibawakan beberapa contoh ulama silam yang memperlihatkan kesungguhan dalam pencarian ilmu mereka dan memberikan fatwa. Ibnu Qayyim menulis dalam kitabnya “Ilamu al-Muwaqiin” apabila Ibnu I-Musayyib memberi fatwa, beliau hampir tidak pernah melupakan perkataan ini.  “Ya Allah! Selamatkan aku dan selamatkan pula orang yang menerima fatwaku”.

Penulis juga menempelak pendakwah yang hanya mengutamakan ilmu atas amal. Beliau membawakan beberapa sandaran dalil daripada Rasulullah s.a.w. oleh itu, wajib keatas pendakwah untuk berkelakuan selari dengan apa yang mereka dakwahkan. Pendakwah bagi penulis mempunyai beberapa perspektif yang luas merangkumi seluruh umat islam yang menjadi kewajipan untuk menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran (hukumnya Wajib).

 Ulasan Bahagian Kedua

Bahagian kedua ialah “Aku, Dunia dan Akhirat”. Buah fikir yang baik apabila bahagian keduanya mengulas tentang apakah tujuan penciptaan manusia. Penulis mungkin beranggapan bahawa ramai manusia yang tidak jelas dan siri kehidupan mereka yang menyebabkan tuntutan utama dalam bahagian pertama tidak begitu memberikan kesan kepada pembaca. Bagi saya penerangan beliau pada bahagian kedua memberikan banyak jawapan apa yang bahagian pertama.

“Dan Dialah yang mencipta kamu daripada tanah, kemudian daripada air mani, kemudian daripada darah beku, kemudian Dia mengeluarkan kamu ssebagai bayi, kemudian kamu sampai ke peringkat umur dewasa, kemudian menjadi tua. Dan ada diantara kamu yang dimatikan sebelum itu, supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan, dan supaya kamu memahami” (surah Ghafir ayat 67).

Kurangnya method yang dibawa oleh islam terserlah apabila islam digelapkan orang orang islam sendiri kerana kurangnya ilmu berkenaan islam. Luaran dan dalaman mereka yang berbeza. Mereka hanya melihat islam dalam kerangka yang amat sempit, puasa, zakat , haji dan sebagainya. Kata Syaikh Muhammad Al-Wasibi;

“Islam itu ialah; kembali atau penyerahan diri kepada Allah dengan bertauhid, menyelamatkan diri dengan menyerahkan ketaatan kepada – NYA, membersihkan daripada kesyirikan, menjauhkan diri daripada perkara-perkara bidaah dan ahli daripada keduanya iaitu syirik dan ahli bidaah”

 
Diulas juga kenapa manusia melakukan dosa dan penulis membawa pembaca kepada hakikat penciptaan manusia. Manusia dicipta daripada tanah sedangkan malaikat dicipta daripada cahaya. Pengingkaran manusia terhadap perintah Allah ialah kerana manusia diberikan nafsu dan ianya digunakan kearah keburukan.

“sesungguhnya nafsu itu benar-benar menyuruh melakukan kejahatan, melainkan apa yang dirahmati oleh Tuhan saya” (surah Yusuf ayat 53)

Nafsu dilunturkan dengan solat yang mana menjadi pencegah terhadap kemungkaran. Penulis menerangkan kepentingan solat yang menjurus kepada pembaikan kepada kejahatan nafsu. Solat adalah kunci utama menerimaan ibadat-ibadat yang lain. Solat dihubungkan dengan bagaimana ia mampu untuk digunakan sebagai senjata yang ampuh dalam menghadapi ujian hidup.


Setiap manusia ialah pemimpin dan pemimpin akan bertanggungjawab terhadap orang dibawah pimpinan mereka. Dalam tintanya yang terakhir penulis menyimpulkan bagaimana tugas manusia sebagai pemimpin perlu diselarikan dengan tugas mengislahkan diri secara berterusan dan konsisten. Harapan penulis agar dengan fakta dan huraian yang diberikan mampu membawa pembaca berusaha untuk berubah kearah yang lebih baik. Hijrah jasmani, rohani dan pemikiran.

Rasullullah s.a.w berkata;
“Dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang menjauhi apa yang dilarang oleh Allah”
(direkodkan oleh Bukhari)

Saya mengajak marilah kita bersama-sama mendengar ulasan bedah buku ini bagi kita memanfaatkan ilmu yang ada untuk kesejahteraan umur kita. Wahai umat islam, tidak ada yang lebih mulia daripada islam. Sesiapa yang meminggirkannya sesungguhnya ia memilih kehinaan.

Muhammad Hafifi,
Blok Ibnu Majid.

Kunci Kejayaan Minda


Buku ini merumuskan kunci-kunci untuk kejayaan disampaikan dalam format yang mudah dan ringkas tetapi tepat. Rasulullah s.a.w. dan para sahabat dijadikan role model yang unggul. Dr. Abdullah ‘Aidh al-Qarni seolah-olah berkata kepada anda:

“Jika mereka yang hidup ribuan tahun dahulu boleh cemerlang, kenapa anda pada hari ini yang hidup dalam 100% kemewahan dan kemudahan tidak mampu menghasilkan 10% pun daripada usaha mereka.”

Analogi yang digunakan sungguh tepat dan dekat dalam kehidupan seharian. Kerendahan hati hamba meletakkan pergantungan yang tinggi kepada Allah s.w.t. Kita merasakan kehidupan ini sungguh berharga dan tidak mungkin akan mensia-siakannya lagi. Semangat kita dirobek dari lubuk hati untuk terbang tinggi melangit ke angkas.

Beberapa ilustrasi dan kata-kata yang berbisa berserta gambar yang simbolik tetapi sinis. Selain itu juga memaparkan konsep motivasi yang maju 2 langkah ke depan. Buku ini membawa pemikiran al-Quran dan Hadis dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Garapan contoh-contoh yang menarik juga turut termuat di dalamnya. Kalau anda rasa anda sudah hebat, anda akan jumpa orang yang lebih hebat di dalam buku ini. Apabila anda selesai membaca buku ini anda akan rasa diri anda di angkasa dan melihat bumi ini kecil seperti sepinggan nasi yang sedia untuk disantap dengan sekali suap.

Beberapa kunci dan panduan dikhaskan untuk pelajar, pendakwah, guru ,mufti, Ibu Bapa, penulis dan sebagainya. 

Nota Hati Seorang Lelaki


Buku ini amat berguna dengan menekankan beberapa Bahagian yang cukup menarik,
1. Bahagian satu – Nota Hati Seorang Anak
2. Bahagian dua – Nota Hati Seorang Suami
3. Bahagian tiga – Nota Hati Seorang Ayah
4. Bahagian empat – Nota Hati Seorang Lelaki

             Dapat dilihat bagaimana penulis memperlihatkan tanggungjawab langsung seorang lelaki dalam empat demensi yang sama tapi berbeza. Buku ini mengunkap persoalan kehidupan, dimana ujian hidup adalah satu didikan langsung daripada Tuhan, insya-Allah, kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi hidup ini. Talian hayat kita akan sentiasa “tersambung” dengan Tuhan. Percayalah, Allah mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahupun cercaan. Bila bertemu kesusahan, Allah mendidik kita tentang sabar. Bila bertamu kesenangan, Allah mengajar kita erti kesyukuran. Bila si miskin datang, itu peluang untuk mengamalkan sifat pemurah. Tetapi bila si kaya menjengah, jangan pula terjejas sifat qanaah. Ingat, Tuhan mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan manusia.

Semua itulah yang terpapar melalui kisah dan peristiwa yang ditulis begitu menarik, jelas dan indah dalam buku Nota Hati Seorang Lelaki ini. Membacanya, seolah-olah melalui lembaran-lembaran kehidupan dengan sorotan mata hati yang seni dan murni.   Hakikatnya hidup adalah sebuah sekolah yang mana orang, situasi dan kondisi yang menjadi punca ujian itulah sebenarnya guru kita. Sentiasa ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripada semua itu. Inilah inti pati daripada buku Nota Hati Seorang Lelaki yang sedang anda tatap ini.

Hadapilah ujian hidup dengan mencari maksud di sebalik takdir-takdir Allah itu. Dengarlah suara tarbiah dan dakwah yang berbisik setiap kali kita diuji. Kebaikan dan keburukan hanya ada pada penilaian insan, tetapi di sisi Allah apa yang ditakdirkan-Nya pasti satu kebaikan. Carilah kebaikan itu. Dan inilah yang cuba dipandu oleh penulis menerusi kata-katanya yang bersahaja tetapi dalam maknanya.

            Penulis turut menyeru untuk pembacanya untuk mencari kebaikan, memilik kebaikan dan mewarisi kebaikan. Kebaikan itu bukan hanya pada yang harum dan indah, tetapi juga ada pada yang busuk dan hodoh. Najis boleh ditukar menjadi baja. Penawar bisa ular datang daripada racunnya. Berkali-kali penulis berpesan (menerusi anekdot-anekdot) agar kita menghapuskan dendam, iri hati, marah yang bersarang dalam jiwa. Kemaafan akan membuahkan kebaikan… Manakala kebencian akan membuahkan kejahatan. Belajarlah menyayangi, nescaya kita akan menjadi semakin jahil tentang kebencian dan permusuhan.
Scroll to top