Tulisan kali ini mengajak untuk saya dan anda menelusuri soal jalan. Jalan yang dibentangkan seluas-luasnya. Direnung setiap perkara yang terlintas disekitar kelihatan sirna turus pada pandangan mata. Terkadang dalam kita memandang soal yang berada disekitar laluan penghidupan, kita lupa untuk memerhati pada yang ada pada kita dan juga jalan penghujung. Seringkali terpesona dengan luas dan menariknya pandangan sisi. Begitulah manusia, tercalit padanya ruang sisi gelap yang menghambur pada setiap bisikan nafas.
Seringkali kita menyatakan salah itu dan ini. tapi kurang menerobos didalam sisi gelap dan membicarakan soal tinkah laku kita sendiri. Kita menegur itu dan ini, tetapi kita tidak memahami atas dasar apa kita menegur. Kita asyik mencari salah orang lain, sehingga lupa salah diri sendiri. Bagai ketam yang ingin mengajar anak sendiri berjalan dengan betul tetapi lupa diri sendiri berjalan senget. Bila si anak ketam menegur si ibu, “tengok, ibu pun berjalan senget”. Lantas si ibu berkata “diam! Aku ibu dan kau harus patuh apa saja arahan”. Tinta malam yang penuh keseriusan, saya persembahkan buat warga yang terdekat, “Kisah Ketam Yang Berjalan Senget”.
Tidak dinafikan dalam mengendalikan sesuatu organisasi kita memerlukan jawatan dan jawatan juga merujuk kepada kuasa. Tidak sedarkah kita bahawa jawatan juga perlu disokong oleh pengaruh. Ramai manusia yang berfikir jika dia jawatan memperolehi sesuatu jawatan, maka dengan kuasa yang ada mampu untuknya memimpin dengan baik. Sedarkah kita persepsi tersebut merupakan daya kepimpinan yang cukup lemah. Berbanding mereka yang memimpin dengan pengaruh, mereka akan sentiasa di hati orang yang mereka pengaruhi secara total.
Mereka-mereka ini yang memimpin dengan pengaruh tidak akan menjaga tingkah dan perilaku mereka secara total. Mereka merasakan apa yang mereka buat adalah sesuatu yang solit dan tidak boleh dicanggah oleh mana-mana pihak. Mengikat pengikut-pengikut mereka dengan akta dan undang-undang yang tidak bersifat sejagat. Saya tidak menyatakan undang-undang tidak perlu, bahkan ia adalah sesuatu yang penting, tetapi perlu saja untuk wujudnya kelonggaran dalam sesuatu perkara supaya ia boleh diterima umum.
Munculnya Seorang Yang Kononnya Jaguhan
Mereka muncul tanpa diduga, dengan tindakan drastik dan kurang cermat. Membawa kepada persepsi buruk dalam kalangan pengikut mereka. Memperkenalkan peraturan yang sudah termaktub dalam sesuatu peraturan. Namun, tindakan mereka seolah mengugut, menjalankan operasi dan pantauan salah laku. Persoalannya adakah ia perlu? Maka kita boleh bersetuju bahawa perlunya penguatkuasaan khususnya dalam keadaan-keadaan yang tertentu.
Tapi kita tidak boleh bersetuju dengan tindakan-tindakan yang boleh membawa kepada keadaan dimana pengikut merasa tertekan dan menjerumus kearah tindakan luar kawal. Antaranya:
1. Mereka-mereka ini menegur berkenaan baju tidak formal, kedatangan ke sesuatu acara dan mengenakan sekatan dan tindakan yang kurang praktikal. Masakan pengikut-pengikut hendak bersetuju apabila mereka menegur soal baju tidak formal sedangkan mereka sendiri memakai baju tidak bertali leher atau baju lengan pendek khususnya bagi menjawab awam yang berkenaan.
2. Mereka menegur persoalan lewat untuk ke sesuatu acara sedangkan mereka sendiri yang kadang-kadang lewat untuk menjalankan tugas mereka. Soal amanah kurang dipedulikan. Hanya sekadar hendak melepaskan diri dalam segenap aspek.
3. Mereka menegur soal kebiadaban pengikut mereka sedangkan mulut mereka juga mengeluarkan perkataan-perkataan yang kurang enak didengar. Dihamburkan segala macam perkara buruk kepada pelajar.
4. Tindakan penguatkuasaan yang terburu-buru dan tidak cermat menimbulkan pelbagai fitnah yang tidak dapat ditanggung oleh batu jemala mereka sendiri. Menerjah sana dan sini.
5. Mereka menegur soal sahsiah dan tingkah laku yang tidak elok, tetapi mereka sendiri mempunyai pelbagai sisi gelap yang segelintir pengikut umum mengetahuinya. Merasakan seolah-olah diri terbias daripada salah mereka.
Antara Rasa bersalah dan Hormat
Adakah mereka-mereka ini yang diharapkan menjadi pemimpin yang dihormati dan disegani? Kita boleh bersepakat bahawa mereka ini hanya mempedulikan soal kuasa. Kurang cermat soal adab ketika membuat apa jua tindakan dan kurang berfikir soal implikasi negatif dalam kalangan pelajar. Dalam keghairahan yang kononnya membetulkan yang senget mereka lupa diri mereka yang tersedia senget. Adakah pemimpin sebegitu akan berjaya? Persoalan terjawab dengan satu ungkapan “Jika benihnya betik, jangan diharap tumbuhnya durian”.
Nilai dan etika kepimpinan mereka ini kurang berkesan, kerana hanya memimpin dengan kuasa bukan dengan pengaruh. Nilai-nilai dan etika kurang diambil berat menempah implikasi negatif khususnya kepada diri mereka sendiri. Faktor sikap (faktor dalaman) adalah elemen yang teruji bila berbicara soal implikasi kerana ia merupakan elemen kebaikan dalam diri seseorang pemimpin. Atas dasar itulah saya menyatakan jika benih kepada buah kebaikan ini kurang diambil berat, selagi itu kita tidak akan dapat melahirkan pemimpin yang bersih dan beramanah dalam tugas.
Al-Hasil, Hidup penuh dengan kebergantungan terhadap balasan daripada undang-undang dan peraturan. Pengikut menjadi semakin liar kerana cuba dikawal dari luar iaitu dengan ugutan peraturan yang keterlaluan. Jauh sekali pemimpin hendak menerobos soal diri dan mengenal kemahuan pengikut, apa lagi hendak cuba melihat dengan mata hati atas setiap tindakan yang kurang sesuai.
Saya tidak membuat penafian terhadap undang-undang dan peraturan, akan tetapi penyelesaian masalah haruslah bermula dengan penyelesaian masalah akar (teras). Persoalan tauhid, mesti dijadikan asas dengan menjadikan institusi agama sebagai teras. Perkenalkan program-program ilmiah yang murni yang mendukung peraturan. Sungguh sesuatu yang suci itu akan lebih menyucikan. Dengan itu akan bersepadu pendekatan yang bersifat software (dalaman) dan hardware (luaran) yang seterusnya menjelma melaui tindakan.
Konsep Kepada Pengikut
Bagi pengikut pula, konsep memberi adalah sangat perlu dalam memastikan kemenjadian sesuatu peraturan. Dengannya akan terbentuk persekitaran yang kurang pantauan dan tindak asas emosi yang keterlaluan dalam kalangan pemimpin. Jika kita mempersoalkan apa yang diberi oleh sesuatu institusi, maka persoalkan juga apa yang kita beri untuk institusi itu sendiri. Dalam pelbagai konteks, kita perlu lebih banyak bertanya soal apa yang diberi melebihi apa yang didapati.
Kita sebagai pengikut dalam memikirkan soal pucuk (masalah) terkadang terlupa soal akar (punca masalah). Lalu timbul pelbagai keluhan dan rintihan yang mencarik rasa. Usaha membaiki diri adalah elemen terpenting disebalik terus memberontak. Pembentukan sistem nilai diri adalah yang paling utama. Cara kita melihat kehidupan perlu bijak. Pilihlah sesuatu yang bernilai dan meninggalkan sesuatu yang tidak bernilai. Bukankah Nabi Muhammad s.a.w sentiasa berpesan untuk bermuhasabah atas tiap-tiap sesuatu? Maka muhasabah tentang sistem nilai.
Harapan dan Impian
Harapan yang terselit pada pengikut adalah seseorang yang boleh dijadikan contoh dan apa jua segi. Tidak mungkin kita bersetuju dengan seseorang yang mengajar kita “kencing duduk sedangkan mereka kencing berlari”. Pemimpin sepatutnya menjadi Qudwah Hasanah atau suri teladan yang baik bagi pengikut mereka. Warisan anbia (nabi-nabi) menjadi pegangang dan panduan. Mendidik melalui sikap dan bukan hanya sekadar lisan.
Kita bukan sekadar memerlukan Muaalim tetapi lebih daripada itu ialah Murabbi. Muaalim yang mengajar tentang betul atau salah dan Murabbi yang mengajar baik dan buruk. Kedua-dua elemen ini perlu diselaraskan dalam memastikan elemen Manhaj (peraturan) dan Biah (persekitaran) dapar dibentuk. Manhaj yang selari dengan persekitaran.
Pembentukan sikap yang baik melalui pelbagai elemen adalah sesuatu yang perlu dalam konteks pemimpin yang berpengaruh. Pengaruh peranan dan ganjaran adalah tunas terhadap sektor kepimpinan yang telus. Jika fokus kita terhadap peranan melebihi ganjaran maka eloklah hasilnya. Tetapi malangnya, pemimpin kurang berperanan dan sebaliknya lebih berganjaran.ganjaran darisudut kewangan mahupun pujian. Ingin saja dikatakan pemimpin berwibawa, cekap dan amanah.
Belajarlah Menjadi Pemimpin
Muhasabah diri dalam usaha menjadi pemimpin yang baik. Meminpin dengan pengaruh dengan memenangi hati pengikut. Bukannya membebankan mereka dengan bermacam-macam peraturan yang menghukum. Saya tidak nafikan bahawa ia perlu tetapi dalam kadaran yang perlu sahaja. Bersihkan diri dengan mengamalkan akhlak terpuji. Dengan itu akan memberikan nilai tambah dalam kemahiran kepimpinan. Peranan pemimpin adalah sepertimana Sabda Rasullullah s.a.w iaitu mestilah menjadi Khaddam kepada pengikut. Ertinya ialah adalah satu amanah bukan anugerah. Ingat kegagalan memimpin akan dipertanggungjawabkan oleh Allah tentang kepimpinannya.
Bijak pandai juga membahagikan manusia kepada 4 Golongan dan salah satunya ialah orang yang melakukan kejahatan kerana mereka merasakan kejahatan itu sebagai satu kebenaran. Golongan ini adalah golongan yang paling degil dan sukar diteladani. Belajarlah untuk keluar daripada golongan jenis ini. Berusahalah mencari kebenaran dengan mengenal diri. Dengannya kita tidak akan mudah menyalahkan yang lain atas kekurangan diri kita sendiri.
Kenal Diri Untuk Kenal Pencipta
Kata Cendikiawan, “barang siapa yang mengenal dirinya, maka dia akan mengenal tuhannya”. Kata ini cukup memukau jika ditelusuri hakikatnya. Manusia yang kurang mengenal Allah sebagai tuhan maka boleh kita katakan dia kurang mengenal dirinya. Bayangkan kita tidak mengenali diri kita yang kerdil sebeb itulah kita tidak mengenal Allah. Kita sangka kita kuat dan bijak, lantas kurang merasakan adanya Allah yang sentiasa mengawal perilaku buruk kita yang berada diluar pengetahuan manusia.
No comments: