ISLAMIK

Editorial

Hidup Adalah Perjuangan


















Sajak kali ini nukilan khas seseorang yang amat rapat denganku dahulu hingga sekarang. Mengajar banyak erti dalam kehidupan tatkala berada di kampus pengajian. Ia khas buat sahabat-sabahat seperjuangan yang bakal saya tinggalkan. Selembar kemaafan saya hamparkan atas segala kelemahan sepanjang menjadi mas’ul anda semua. Atas segala keterlanjuran, atas segala kerumitan sepanjang kita bersama. Terimalah nukilan ini, sepanjang berada dalam kesatuan ini. Moga, ia sentiasa menjadi nasihat dalam benak hatimu.

:: Dalam Sepi Aku Menyapa ::

Hari ini izinkan aku bermadah
Menjadi bulan kepada purnama
Menjadi terik pada mentarinya
Setelah Kalam dizahir disanggah maksud
Biarlah Kalam tulisan menjadi pembelaan
Agar kita nampak benda yang nyata

Bukanlah layak untuk aku nukilkan
Kerana aku bukanlah orang yang menjadi asas
Tetapi perjuangannya ku sanjung tinggi
Ibarat daripada hidup menanggung malu
Biar mati di kandung tanah

Bila kalam tersalah bicara
Maka lautan kalam menjadi juara
Jika angin sudah tidak terasa kelembutannya
Maka tunggulah badai datang menimpa

Bila bertindak tidak berhikmah
Runtuhlah nilai yang sarat dengan falsafah
Apabila rasa mencengkam jiwa
Haluan nafsu menjadi penggoda

Dimanakah imanmu wahai rijal
Jika dikatakan ia sehebat pemimpin agung yang kau sanjung
Berjuang bukannya kerana setia
Tetapi kerana syariaat dari Allah SWT

Andai lidah bertikam rasa
Luhurkan hati untuk didamba
Moga ada ikatan kasih menyulam mesra
Baru bahagia kehidupan kita

Jika kita terlajak haluan
Bawalah berundur bahtera kasih
Ingat, berundur tak semestinya kalah
Mara tak semestinya kan menang

Ingatlah sahabatku
Andai taksub dan setia menjadi pegangan
Sandarkan balik kepada sunnah dan al-quran
Kata-kata Ulama yang muktabar menjadi ikutan
Agar tidak terumbang niat di hati
Ingin mengubah masyarakat yang sepi

Perihal alam dijadikan saksi
Andai nostalgia lama menggamit di hati
Bukankah indah kalam tuhan
“ Sesungguhnya kamu semua adalah bersaudara”
“ Jika datang kepada kamu membawa berita, maka siasatlah dulu kebenarannya”


Bukankah rasul pernah bersabda
Begini lebih kurang maksudnya
“ Tidaklah beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi Allah dan rasul melebihi dirinya”
“ Tidaklah beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya”

Nah, apa lagi yang dipinta
Apa lagi yang ingin di bawa bicara
Membawa aib yang belum tentu benar atau salah beritanya
Andai berasa bimbang, jangan gadaikan prinsip untuk berjuang
Andai diri rasa benar, bawalah bicara mohon dizahirkan
Kepada yang salah di dalam pertemuan

Alangkah murninya kita Saling faham-memahamkan
Seperti ulama-ulama dahulu
Biar berlawanan pendapat
Biar lidah bertingkah silat
Namun sentiasa menjadi tumpuan umat
Bukan sahaja dari kalangan musuh dan sahabat
Tetapi kekal sehingga riwayat tamat

Akhir kalam sebelum diriku kelam
Maafkan diri andai ada yang terluka
Membaca ia menyakitkan mata
Menyesakkan dada dengan nada
Mengenang ia membuatkan kita tertanya-tanya
Apakah gerangan yang ingin diri ini maksudkan
Mohon maaf darimu wahai sahabat
Mohon taubat darimu tuhan
Moga yang benar dapat diangkat
Moga yang salah terus bertaubat
Supaya hidup menjadi berkat.

Pandangan Pembaca
Tags:

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Scroll to top