ISLAMIK

Editorial

Kenali Penulis

Seuntai Salam Dariku

Namaku Muhammad Hafifi Bin Sulaiman. Dilahirkan dibumi langit merah Kelantan Darul Naim pada 26 Disember 1988. Saya tidak berhajat untuk bercerita panjang kerana saya adalah seorang yang biasa-biasa sahaja. Namun, tetap berusaha menjadi orang luar biasa yang tidak pasti bila untuk saya temui titik luar biasa itu. Sesuatu yang kita anggap luarbiasa itu, sebenarnya biasa-biasa saja. Begitulah tahap nilaian manusia yang terbatas. Anggaplah sesuatu itu biasa-biasa sahaja, kerana dengannya kita akan berusaha mengcungkil Ke"luarbiasaan" disebalik yang biasa-biasa. Namun percayalah kita antara insan berjaya yang teristimewa selamat sampai dibumi Allah sebagai Hambanya. Saya cuba menjadi “seseorang” menyenangkan dalam kehidupan semua, mudah bergaul, terbuka yang diselangi dengan konservatif dan mempunyai prinsip tetap dalam kehidupan.

Prinsip Penulisan
“Tidak perlu diri menjadi seseorang yang cukup sempurna dalam menyatakan kebaikan”.

Itulah antara slogan yang saya pegang dalam prinsip penulisan. Kerana setiap untaian kata itu saya cuba zahirkan ia melalui hati. Kerana manusia tidak lekang daripada kesilapan. Kecil atau besar terpulang pada kita. Ruang ini saya tegakkan adalah untuk menyatakan beberapa prinsip yang saya pegang dalam untaian kata pada setiap buah pandangan yang saya keluarkan. Setiap orang mempunyai gaya yang tersendiri dalam menzahirkan sesuatu yang tidak mampu melalui kata-kata.

Saya adalah seorang yang menulis atas dasar hati ingin berkata-kata. Saya dasari penulisan saya dengan elemen-elemen keislaman yang sedikit sebanyak masih terpahat dihati. Saya juga menulis atas elemen motivasi berserta nasihat terutamanya buat diri saya dan pembaca blog. Lebih mudah saya kata saya cuba “mengislamkan” motivasi. Ini kerana kebanyakkan pakar motivasi hanya menggunakan pemikiran yang bersifat statik, tidak bergerak. Bermaksud pemikiran hanya berpaksikan kemanusiaan bukannya ketuhanan.
Dalam hidup ini saya mencari setitis rasa kasih daripada Maha Pencipta yang agung. Membesarkan keagungan dan keesaannya merupakan perkara yang paling indah termeterai dalam setiap hembusan kata. Dengan itu kita akan sedar tentang betapa kita amat memerlukan Allah dalam setiap apa jua yang kita buat dalam hidup. Perlukan Allah bererti kita melalui jalanNya iaitu syariat.

Percayalah, hidup bersama-sama islam yang bertauhidkan Allah amat indah. Disisinya diletakkan peraturan yang cukup cantik menghiasi dinding-dinding hati yang sepi. Kesepian yang kadang-kadang bertandang walaupun dalam kesibukan mencari yang kita sukai dan yang paling penting ialah mencari apa yang kita perlu.

Dalam penulisan ini juga beberapa analisis buku menjadi rujukan samada ia bernama kitab atau sekadar Kuttab. Kisah-kisah yang dipaparkan terhasil daripada pengalaman hidup. Mungkin ia tidak setanding mereka yang telah hidup lama yang mana lebih memahami asam garam kehidupan. Tapi kutiplah sebanyak mungkin hikmah yang kita jalani setiap titisan peluh sepanjang kehidupan yang sementara.

Dalam hidup, saya belajar dalam menganalisis beberapa karektor  yang bercakap dengan menggunakan hati mereka. Persoalan kebaikan sentiasa dituturkan dengan kadar yang minimum namun menghasilkan kualiti yang maksimum. Sungguh indah apabila bersama mereka, setiap kata mereka menghamparkan gudang-gudang emas yang tidak ternilai. Mereka-mereka ini tidak semuanya mempunyai kelulusan ijazah, mahupun Falsafah Kedoktoran. Namun percayalah, nilaian kepada manusia bukan hanya boleh diukur melalui kualiti jiwa tetapi kualiti iman yang terpahat dalam setiap gerak geri.

Menulis bukan sekadar untuk kita menghiburkan tapi menggerakkan seseorang. Bermaksud bukan sekadar menjadi halwa perasaan tetapi lebih berbentuk halwa hati. Al-hasil seseorang akan berjaya menjadikan “kehidupan” sebagai kampus kehidupan. Pelbagai rasa yang ditempuhi merupakan hasil didikan Allah kepada kita. Pelbagai manusia hadir dalam hidup kita sebenarnya ibarat guru yang mengajar kita erti marah, rajuk, dan sayang. Belajarlah dalam memenuhi hak orang lain berbanding keegoan.

Sahabat sekalian untuk ke sekian kalinya, berfikirlah tentang perkataan berdua ini ; iaitu “jika bersama kalau” dan “takut bersama harap”. Tinggalkanlah jika dan kalau kerana ia akan membebankan hidup dengan kenangan lalu. Sebaliknya dekatilah takut dan harap, iaitu takut dimurkai dan harap diampuni.

Apa yang saya ada sekarang adalah hasil daripada “kekecewaan” dalam kehidupan. Berjuang dalam menghadapi kekecewaan itulah yang perlu. Hadapilah kekecewaan dengan senyuman. Jika tidak, maka sifat marah akan timbul. Menenggelam semua kebijaksanaan yang ada. Bukankah Imam Ghazali pernah berkata yang kamu tidak akan memperolehi kebijaksanaan ketika marah?. Syukurlah dengan apa yang ada. Kata hamka.."yang ada ini sudah harapan kita.. Bukan salah untuk mengidam apa yang tiada tapi jangan dilupa apa yang telah ada". Hakikatnya ia hasil daripada kelemahan yang ada pada kita. Oleh itu, kita mesti menerima kelemahan itu dengan tingkatan kelebihan bukan kekurangan. Ambillah kelebihan sebagai penambah perisa buat kekurangan. Kerana hakikat kesempurnaan adalah bila masing-masing menegakkan kebahagian dengan didasari perbezaan dan bukannya persamaan.

Setiap manusia melalui jalan didikan yang berbeza dan didikan itu amat mahal. Tidak semua sayangNYA terzahir melalui belaian dan pujuk rayu. Adakalanya ketegasan mampu mendidik kita lebih daripada kelembutan. Insyaallah sedaya upaya untuk menulis perkara-perkara  berat dengan bahasa yang biasa-biasa sahaja. Telah saya katakan yang saya hanya orang yang biasa-biasa yang mencari titik temu yang luar biasa. Setiap orang mahu menjadi hampir sempurna dalam setiap aspek kehidupan mereka.  Saya teringat kata-kata yang boleh membuahkan musahabah “they maybe good but they are not god”. Ia memberikan maksud yang amat mendalam jika dilihat dalam sisi pandang islam. 

Sehebat manapun perancangan kita, kita hanya mampu mengurus tadbir yang selalu kalah dengan tadbir yang dirancang oleh Allah. Lalu bagaimana hendak selaraskan tadbir dan takdir?. Tidak lain hanya dengan mengikut takdir (acuan) hidup yang telah ditetapkan oleh Allah kepada kita. Dalam soal ini, kita mesti merujuk kepada tujuan kita diciptakan. Adakah kita diciptakan sia-sia? Tentu sekali kita boleh bersetuju dengan jawapan “tidak”. Boleh disinonimkan tujuan hidup dengan sebatang pen. Tujuan utama pen dicipta ialah menulis. Maka jika digunakan ia untuk menulis maka kita telah menyelaraskan takdir dan tadbir atas tujuan ia dicipta. Namun, jika ia digunakan untuk mencucuk ataupun melukakan sesuatu, sudah pasti ia akan rosak. Tujuan ia diciptakan tidak selari dengan kegunaannya. maka sudah tentu tempat yang paling sesuai untuk pen yang rosak ialah tong sampah. Adakah ia bergelar pen? Tidak, sebaliknya sampah!!

Dalam apa jua yang tidak hendak lakukan, berusahalah sedaya mungkin untuk kita suka dan impikan. Jika tidak dapat, tanamlah satu sikap dimana Allah akan berikan apa yang kita “perlu” berbanding apa yang kita “suka”. Memberi biarlah dengan kualiti jiwa (kasih sayang) dan sedikit diselangi dengan kualiti masa dan harta.  Kasing sayang itu percuma tetapi terlalu berharga.

Insyaallah saya akan menulis apa jua dengan penuh hati dan berhati-hati. Apabila bercakap soal hati maka ia tidak akan menjauh daripada soal perasaan yang mendampingi hati. Jika ia berunsur emosi, Insyaallah anda boleh menegur saya dengan berhemah. Oleh itu, saya berharap agar segala teguran anda kepada saya berbentuk mendidik bukan menghukum. Tolonglah saya dengan memberikan sedikit nilai kasih sayang sesama muslim anda ketika memberikan bangkangan dan bukannya dengan nilai kebencian.  Berikan nilai teguran itu dengan harga sebuah kasih sayang bukan keegoan yang tinggi. Ini kerana memberi dengan harga kasih sayang akan membuat jiwa tenang berbanding keegoan yang menyemarakkan rasa benci terhadap sayang.

Insyaallah sedaya upaya untuk menulis perkara-perkara  berat dengan bahasa yang biasa-biasa sahaja. Telah saya katakan yang saya hanya orang yang biasa-biasa yang mencari titik temu yang luar biasa.


“Sedikit yang menyenangkan lebih baik daripada banyak tapi membebankan”



Scroll to top