ISLAMIK

Editorial

Akidah Harimau Malaya


Tulisan kali ini saya tumpukan pada skuad Harimau Malaya pimpinan Datuk K. Rajagopal. Tidak saya ingin mengulas secara taktikal permainan bola itu sendiri kerana saya kurang mahir mengenainya. Cuma ada dialog antara teman-teman yang sedikit menggugat iman di hati tentang persepsi orang yang berada dibawah kendalian pasukan dan seterusnya elemen ini dimasukkan ke dalam minda masyarakat.

Sejenak saya terfikir bahawa dengan kemajuan yang ada kita sudah lagi tidak kebal daripada serangan musuh-musuh islam itu sendiri. Samada sedar atau tidak. Segalanya seolah bagai angin yang berlalu. Tidak langsung kita sedari bahawa jarum-jarum itu telah masuk dalam sedikit kealpaan yang selama ini menjadi pegangan kita.

Suasana Kedai Makan
Kawan : “Malaysia menentang Indonesia malam ni game agak menarik. Malaysia bermain agak bagus malam ini, semua jentera semua bahagian hidup”

Saya: “Erm, nampaknya begitulah ia lebih bagus daripada perlawanan menentang Singapura.”

Kawan: “Cantik juga baju jersi Harimau Malaya ni, Aku beli yang warna kuning belang-belang tu. Biru macam tu tak beli lah pula”

Saya: “Oh ya, dah lama tak tengok meraka pakai baju tu apabila bermain diatas padang, kenapa ya? Bukan ke itu baju home?”

Kawan: “Katanya baju tu kalau pakai kalah, bawa nasib tak baik”

Saya: “Macam tu pula??”

Mendengar kata-kata itu menguatkan hujah apabila saya melihat ulasan siaran langsung RTM sebelum sepak mula permainan tentang jersi yang patut dipakai oleh Malaysia. Hujah pengulas pada masa itu, memang ada spekulasi bahawa baju berbelang kuning itu membawa nasib tak baik apabila perlawanan besar yang melibatkan skuad Harimau Malaya.



Skop Perbincangan
Sindrom begini agak membimbangkan saya, khususnya kerana ia melibatkan soal kepercayaan dan akidah. Lebih memburukkan keadaan apabila ianya telah menular dalam pemikiran masyarakat dan menjadi kepercayaan secara tidak langsung. Mungkin bagi mereka yang sedar dan punya ilmu tentangnya akan berhati-hati. Tapi bagaimana dengan sebahagian yang lain?

Apabila menularnya keadaan ini dibimbangi kepercayaan bahawa memakai baju itu akan membawa sial mungkin akan wujud. Mungkin saja akan datang bukan setakat baju, malah ia akan menular kepada benda-benda yang yang mungkin menyebabkan kekalahan sukad Harimau Malaya. Ia akan menjadi barah yang  masyarakat tidak sedar. Apabila parah, ubatnya pun akan sukar dicari. Sedarlah.

Syariatullah dan Sunnatullah
Ketahuilah bahawa tidak ada sial (Tatayyur/Tiyarah) pada sesuatu benda. Semua benda yang berlaku ada sebab dan akibatnya. Fahami syariatullah dan sunnatullah sangat penting dalam kehidupan individu muslim. Syariatullah ialah syariat dan hukum hakam yang ditentukan oleh Allah s.w.t kepada hambanya. Manakala suannatullah ialah peraturan alam yang Allah s.w.t aturkan buat alam ini.

Jika kalah maka adakah layak disalahkan baju? Warnanya? Jenis kainnya?. Adakah bukti sainstifik bahawa benar warna, jenis, baju itu memberikan kekalahan? Jika tidak, maka salahnya apa? Mungkin saja salah taktikalnya, Jenis latihannya dan bermacam lagi faktor lain. 

Yang salah bukannya baju.
Yang salah bukannya warna.
Yang salah bukannya kain.
Yang pasti salah ialah mempercayai sial yang membawa kesyirikan.

“Mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik, mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik. (Baginda mengulanginya tiga kali).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3910]

Menurut kepercayaan orang Arab jahilyyah jika mereka akan mengadakan safar (perjalanan) maka mereka terlebih dahulu akan melepaskan burung (tiyarah). Jika burung tersebut terbang ke arah kanan rumah maka mereka akan gembira tetapi jika sebaliknya terbang ke arah kiri maka mereka akan bersedih hati kerana itu petanda musibah akan menimpa dan mereka selanjutnya akan menangguhkan pemergian.
Rasulullah s.a.w. bersabda :

اَلطِّيَرَةُشِرْكٌ،اَلطِّيَرَةُشِرْكٌ
Ertinya : Tiyarah itu syirik , tiyarah itu syirik ( HR Abu Daud dan Tarmidzi - Menurut Tarmidzi : Sahih )

Nasihat Buat Pedoman

Ingatkah kita kepada apa yang dikatakan oleh nabi kita Muhammad s.a.w?

Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk" lalu seorang lelaki bertanya : "apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?" Jawab Nabi : “Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya" 
[At-Tabrani, no 3227, 3/228 ; Al-Haithami : Dhoif kerana perawi bernama Ismail Bin Qais]

Saya yang kerdil ilmunya ini, menutup nasihat kata ini dengan memohon agar masyarakat dan pemain-pemain khususnya yang beragama islam yang berpegang dengan kidah yang shahih untuk tidak mempercayai perkara sebegini. Jika jurulatih (Datuk K. Rajagopal) atau sesiapa saja untuk sekadar hanya memakai baju biru (away) itu atas arahan sahaja. Tidak sampai mempercayai adanya sial padanya.

Begitu juga dengan peminat-peminat bola sepak tempatan (termasuk saya) supaya tidak ada manifestasi yang lebih berhubung dengan perkara sebegini kerana jika dibiarkan kepercayaan ini masuk ke dalam minda iainya memberi impak besar kepada kita. 

Jaga islam yang ada pada kita.
Kalimah agung dan yang terpenting. Antara kita dan islam.
Tiada Tuhan Melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah

اللَّهُمَّ لاَ يَأْتِى بِالْحَسَنَاتِ إِلاَّ أَنْتَ ، وَلاَ يَدْفَعُ السَّيِّئَاتِ إِلاَّ أَنْتَ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِك

Ya Allah, tiada yang dapat mendatangkan kebaikan kecuali Engkau, dan tiada yang dapat menolak keburukan kecuali Engkau, dan tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan izin Engkau. [Riwayat  Abu Daud] 


Ramadhan Kali Ini Untuk Apa?



 
Tahniah buat diri atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kerana dikurniakan kehidupan yang baik bagi meneruskan lagi agenda penghidupan dalam bulan ramadhan kali ini. Tinta petang yang sayu ini saya coretkan kompas hidup sepanjang ramadhan kali ini. Apa yang menerajui kita untuk ke hadapan ialah apa yang kita bina di belakang. Sejarah banyak kali menentukan masa depan.

Apa yang kita buat sekarang menentukan apa yang akan terjadi pada masa yang akan datang. Ajaibnya penciptaan masa. Pepatah arab ada menyebut, “Waktu itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya ia akan memotong kamu”. Ramadhan tiba lagi, memberikan sinar harapan bagi hamba Allah untuk meningkatkan amal, menambahkan iman, meneguhkan akidah dan misi pencarian redha Allah.

Saya mengajak diri dan pembaca untuk kita menjadikan ramdhan pada kali ini sesuatu yang amat bermakna. Maka, akan terzahir padanya kelakuan selaras dengan tuntutan bulan ramadhan. Bukan hanya sekadar cakap-cakapan, tulis-tulisan, madah-madahan malah lebih kepada amal-amalan. Amalan yang soleh menempah tiket redha. Tiket untuk ke syurga.

Ramadhan Bulan Al-Quran
Jika dulu Al-Quran pada kebanyakkan umat islam hanya dianggap ‘suci dalam debu’. Usahkan hendak dibaca, dilihatpun tak mahu, apatah lagi beramal denganya. Untuk apa ramadhan kali ini? Jawapannya ialah memperbanyakkan Tadabbur Al-Quran.  Kuliyah-kuliyah di masjid dan surau-surau kembali bergema dengan memontum yang sangat indah. Terzahir padanya kemurnian atas nasihat, keluhuran atas peribadi, kesucian atas kurniaan, keluhuran atas amalan. Ramadhan bulan Al-Quran sepertimana firmaan Allah S.W.T

“Dalam bulan Ramadhan diturunkan al Quran sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan yang menjelaskan petunjuk serta perbezaan antara yang benar dengan yang salah...” (Surah Al-Baqarah 185) 


Perbanyakkanlah membaca Al-Quran, petunjuk pada jalan kebenaran. Rasullah menjamin umatnya agar berpegang pada Al-Quran kerana dengannya umat tidak akan tersesat jauh daripada hidayah Allah yang sangat mahal harganya. Ini lah manualhidup manusia yang Allah kurniakan. Agar digunakan manusia atas kapasiti penciptaan mereka.

Ramadhan Bulan Ibadah
Jika dulu kita seringkali sibuk dengan pelbagai urusan dunia yang menekan. Dek kerana desakan masa nan kesibukkan. Kaki yang kita gunakan untuk melangkah, berlari hanya dimanifestasikan dalam tindakan menuju dunia yang sementara. Untuk apa ramadhan kali ini? Jawapanya adalah untuk kita sama-sama mempertingkatkan amalan yang sedia ada. Adalah sangat rugi bagi kita, seiring dengan peningkatan umur yang sedang berdepan dengan kematian. Kita tidak mempersiapkan diri untuknya.

Dalam konteks ibadah, kita perlu membina kekuatan diri untuk persiapan sepanjang ramadhan dan seterusnya pada bulan-bulan yang lain. Ramai kita lihat remaja yang kuat fizikalnya. Gagah dan tegap susuk badanya sebut saja pelbagai suplementdan ubat-ubatan yang mereka makan. Namun, terjahan saya kepada mereka ini.

Untuk apa urat dawai tulang besi anda? Andai kata tidak digunakan untuk ibadah.
Untuk apa otot yang berketul-ketul anda? Andai kata tidak mampu qiam dimalam hari.
Untuk apa minda yang hebat anda? Andai tidak mampu mencapai ilmu agama.
Untuk apa konsentrasi jitu anda ? jika minda dan jiwa tidak dibawa menuju kejituan hakiki.

Kita melihat dalam kerangka urusan dunia dan akhirat dalam dua sisi pandang. Yang pertama, apabila kita membandingkan diri kita dengan orang jauh lebih baik (contohnya darisegi kekayaan) dari kita maka kita harus merendah diri dengan melihat orang tidak bernasib baik (seperti orang yang tidak berkemampuan). Namun dalam soal ibadat kita tidak boleh membandingkan diri kita dengan orang yang ibadatnya kurang. Contohnya “orang itu pergi masjid sekali sehari, aku dah kira bagus kerana pergi masjid dua kali sehari” sepatutnya kita melihat orang yang jauh lebih baik, contohnya “Orang itu pergi masjid empat kali sehari, aku mesti pergi lima kali sehari”.

Kita dikurniakan pelbagai kekuatan dalam bentuk apa sekalipun. Cuba kita menjenguk ke dalam masjid-masjid. Pelbagai warna yang terlihat. Ada yang lumpuh tangannya, terketar-ketar tapi masih mampu mengerjakan solat terawih 20 rakaat bersama imam. Ada pula yang bertubuh sangat besar. Pergerakkannya memerlukan daya usaha yang lebih. Terhela nafas panjang setiap kali rukuk, sujud, iktidal, qiam. Namun, masih mampu berdiri bersama imam. 


Ternyata hanya dengan kekuatan badan sahaja tidak mencukupi. Ramadhan bulan membina roh dalaman setiap daripada kita. Andai jiwa tidak bergerak masakan badan mampu terangkat. Andai “mahu” tidak mampu mengusai diri, usah bercakap soal “mampu”. Begitulah iman para sahabat nabi Muhammad S.A.W dalam wira-wira islam yang ditarbiah rohnya dengan silat kata dan perlakuan baginda. Mereka “mampu” berperang dalam bulan ramadhan. Sebut saja apa peristiwanya. Peperangan Badar, Fathul Makkah. kehebatan Tariq bin Ziad mendarat di Andalus, Salahuddin al-Ayyubi telah membebaskan Masjid al-Aqsa, Sultan Saifuddin al-Qatz menumpaskan Moghul di medan 'Ain Jalut.

Contoh diatas mungkin juga juga dekat dan mungkin juga jauh bagi kita. namun, dalam kesempatan usia yang ada di bulan ramadhan ini. Cubalah untuk kita sama-sama mempersiapkan diri dalam menghadapi peperangan. Ya, peperangan dalam diri kita. Melawan nafsu, menahan diri yang menjadikan hakikat sebenar “as-soum” itu sendiri.

Ramadhan Bulan Penilaian
Manusia kadang-kadang terpesong daripada penilaian. Penilaian mungkin dibuat atas beberapa kondisi dan komunikasi yang berbeza mengikut apa yang ditafsirkan. Mungkin penilaian kita terhadap sesuatu itu agak tersasar dek kerana jauhnya kita dalam membuat sedikit penyelidikan dan nilai pembacaan (ilmu) dalam sesuatu hal.

Nilai antara manusia mungkin terpesong dek kerana lemahnya manusia dalam menilai. Manusia terkadang menilai diri sendiri terdedah kepada lapang sasar yang entah kemana. Apatah lagi mahu menilai orang lain. Tentu saja persepsi kita akan terlihat lantaran gambaran yang ditunjukkan pada awal. Contohnya, melihat orang sembahyang 8 rakkat (dalam kerangka solat tarawih) kita seringkali menuduh. ‘apalah buat 8 rakaat je, berkira dengan tuhan’ MasyaAllah, Jangan begitu. Alangkah dangkalnya penilaian kita. Minda yang negatif terpamir akibat daripada menilai teks tanpa konteks.

Teguran saya kepada si “penilai” ialah supaya kita meletakkan cermin sisi yang baik. Mungkin saja dia ada urusan lain.  Kepada yang “ dinilai” pula jika anda betul-betul tidak berkelapangan. Cubalah untuk mencari tempat yang memang bilangan solat terawihnya 8 rakaat. Supaya tidak menimbulkan sebarang salah menialai antara keduanya.

Begitu juga kerangka penilain kita dalam bulan ramadhan. Amalan yang dilakukan mesti menunjukkan graf peningkatan yang stabil dan berterusan. Sebagai contoh, Jika dulu nilai sedekah kita ketika bergaji beribu sesuai dengan kadaran RM10. Kini gaji sudah berpuluh ribu, apakah derma atau sedekah masih masih tahap RM10?. Dulu solat terawih kita 8 rakaat kita seiring peningkatan umur dan lebihan masa, apakah masih lagi 8 rakaat?. Jika dulu kita tidak pernah bangun qiammullail pada bulan ramadhan dek kerana enaknya makanan yang terhidang sampai terlena, apakah masih lagi kita bertindak sedemikian?.

Ramadhan Bulan Kerajinan
Biasanya bulan ramadhan sangat sugul bagi kebanyakkan umat islam. Sikap yang tidak produktif dan bermalas-malasan. Bagi saya ini kerana sikap kita salah meng”step up” minda kita. awal pagi lagi kita sudah katakan ‘hari ni mesti penat, lapar lagi’. Ingat bahawa apa yang ditentukan oleh awalan itulah yang menentukan akhiran. Masukkan dalam minda kita bahawa hari ni kita jadikan hari paling indah dalam hidup. Jangan biarkan sikap kita terbias dek kerana kerana rahmat (puasa itu sendiri).

Tidak dinafikan ketika mana puasa, tubuh tidak mendapat nutrien daripada makanan untuk tempoh masa yang lama. Teringat saya tips yang diberikan oleh Dr. Mahathir Mohamed dalam siri pertama tranformasi ramadhan adalah untuk melazimkan sahur sepertimana sunnah Rasulullah. Beliau menjelaskan kebaikan beberapa tips iaitu;

1. Jika puasa itu diteruskan tanpa bersahur dan terus hingga waktu berbuka. Metabolisma badan akan berkurangan menyebabkan proses pembakaran lemak dan tenaga akan terjejas. Oleh itu, sahur yang sempurna dan seimbang amat penting.

2. Berbuka dengan gizi yang seimbang dan elakkan terlalu banyak. Ini kerana jika terlalu banyak akan menyebabkan mengantuk. Jika terlalu banyak solat tarawih sahaja tidak mampu untuk mengatasi jumlah makanan yang kita makan. Malah akan tertidur dan memaksa usus untuk berkerja yang sepatutnya usus berehat tika tidur.

Banyak lagi tips yang dikongsikan. Carilah medium untuk kita sihat sepanjang bulan ramadhan. Dengan tubuh yang baik akan menbentuk minda dan akal yang baik. ‘Al-‘Aqlul salim fi al-jismi salim’. Hubungkait antara keduanya perlu agar dapat membentuk sinergi yang baik dalam kita menuntut kerajinan dalam bulan puasa ini.

Warkah ramadhan
Semasa Aku bersamaMu, ruangku hanya untukMu tanpa mempedulikan yang lain. Namun semakin lama kau terus menjauh, tatkala itu aku sedar bukan engkau sebenarnya yang menjauh tetapi aku. Di dalam kejauhan mencintaimu aku telah melupakan siapa yang menciptaMu. Di dalam kebingungan mencari paduan kebahagian tercalit dosa yang amat pahit untuk dikenang. Sungguh dosa itu, sesuatu yang sedikit kenikmatannya tetapi dosanya akan berkekalan tanpa ampunan daripadaNya.

 

Kini setelah hampir setahun hubungan aku denganMu tiada bergemu dek lintasan waktu dahulunya. Semakin hampir padaMu, kenangan dulu tersambung kembali. Masih kekal diigatan saat engkau memujuk dan membelai tatkala pagi hingga lewat malam. Terkenang waktu itu membuatkan aku semakin inginkannya tetapi aku mengetahui bahawa ia amat sukar.

Pelbagai ranjau dalam menghadapi segala cita untukMu. Semakin aku sedar yang saat dan ketika dulu amat sukar untuk kembali, maka dalam diam aku berusaha membenci. Membenci itu bukan kerana marah dan demdam, sebaliknya kerana kesal dan kecewa tatkala menyedari saat dulu sukar untuk kembali.

Kini kau kembali, peluklah aku dalam bisikan nada penuh kegembiraan ketika awal dan akhir. Saat dimana mempercayai itu lebih baik daripada dicintai.

Sungguh diawal saat kau datang memberi kebahagiaan kepadaKu.
Saat ditengahMu memberikan Seribu keampunan daripada KhalidMu.
Saat dimana kau dan aku rindu dalam kebenciaan terhadap api Neraka pada akhirnya.
Izinkan aku mendapat satu malam daripada malammu.
Yang padanya aku dan engkau menghadapi TUHAN yang Maha Agung.
Disaat kau tinggalkan aku.
Aku berharap dilain detik agar tenang jiwaku bersamaMu.

Marhaban Ya Ramadhan 

Tinta 1 Ramadhan 2012 (1433 -1434 Hijrah)
Lembah Sireh,
Malaysia.

Amanah, Hutang dan Implikasinya


Soalan:
Saya ada seorang rakan yang mana memegang amanah yang berbentuk wang. Apabila tiba tempoh masa wang dikembalikan. Saya perhatikan dia sangat payah untuk mengembalikan wang tersebut dan selalu mengelak apabila bertemu dan seolah-olah cuba melarikan diri dengan mamberi pelbagai alasan. Sebagai seorang rakan, saya tidak mahu masalah kewangan menjejaskan hubungan antara kami hingga menyebabkan pergaduhan. Apakah yang perlu saya lakukan untuk meminta hutang pada seorang rakan saya dan apakah hukum mereka yang cuba berbuat demikian?
Respon:
Setiap manusia dipikulkan diatas bahunya amanah dan akan dipersoalkan pada suatu masa yang ditetapkan. Mengikut soalan yang diberikan berkemungkinan rakan anda telah pun pecah amanah dalam erti kata lain telah menyimpang daripada tujuan asal diamanah itu diberikan kepadanya. Biasanya orang sebegini akan cuba mengelak dan tidak memberikan respon yang positif. Kadang-kadang air mukanya dan perwatakan gerak laku boleh mencerminkan banyak perkara.
Apa yang boleh anda lakukan adalah bertindak dengan bertanya sendiri kepadanya tentang perihal amanah yang dipegang olehnya. Jika dia cuba mengelak, maka cuba berhubung dengan rakannya yang terdekat. Ini boleh membantu dalam proses mengetahui apa status amanah tersebut. Sebaiknya jika anda seorang yang cepat ‘naik angin’, maka elakkan berjumpa dengannya kerana ia akan lebih mengeruhkan keadaan.
Bagi saya sendiri perihal amanah yang bersangkutan dengan kewangan yang menyebabkan kegagalan membayarnya adalah dimasukkan dalam ketegori hutang. Contohnya, jika anda mengamanah sesuatu jumlah wang dan si ‘diberi amanah’ gagal memulangkannya pada masa-masa tertentu dikira sebagai hutang dia pada anda.
Orang yang berhutang akan wujud satu keadaan diri yang negatif yang disebut ‘pembohongan’. Pembohongan berlaku apabila seseorang itu cuba untuk mengelak daripada berjumpa, membayar dan sebagainya.
Hutang Yang Membawa ke Mati
Tidak dinafikan masyarakat sekarang berhutang atas apa jua kondisi. Kerana ianya merupakan satu kemestian bagi masyarakat awam biasa. Seseorang yang berhutang wajib meletakkan dalam dirinya satu ‘perasaan ingin membayar hutangnnya pada kadar yang segera’. Kegagalan membayar hutang akan memberikan implikasi negatif pada pemiutang.
Orang yang sengaja enggan membayar hutang, maka hutang itu akan menjadi penghalang baginya di Hari Akhirat kelak, sekalipun dia melakukan pelbagai ibadah dan amal shalih. Pernah dizaman Rasulullah seorang yang gugur syahid di medan perang kerana memperjuangkan agama Allah tetap tidak akan masuk syurga kerana hutangnya. Rasulullah bersabda:
“Demi nyawaku yang berada di tangan-Nya, bahawa seseorang yang terbunuh di jalan Allah lalu hidup, kemudian terbunuh lagi lalu hidup, kemudian terbunuh lagi lalu hidup (mati syahid tiga kali) padahal dia memiliki tanggungan hutang, dia tidak akan memasuki syurga sehinggalah hutang itu dibayar.”[Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 4698]
Seterusnya, anda tidak berdosa kerana tidak menghalalkan hutang tersebut. Namun, jika anda boleh menghalalkannya adalah lebih bagus. Tapi ia amatlah berat mengikut jumlah amanah yang dipertanggunjawabkan itu tinggi (Dalam konteks anda ialah hutang).
“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka (1) berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (2) (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalaulah kamu mengetahui.” [al-Baqarah 2:280]
Wajaran terhadap Pemiutang
Oleh itu, wajib keatas orang yang memegang amanah melaksanakan amanah yang terpikul keatasnya. Membayar hutang adalah satu kewajipan. Selain itu, cubalah berdepan dengan orang yang meminta amanah itu dipegang oleh anda. Tekanan akan dirasai, kerana si ‘pemberi amanah’ akan menghantui anda. Terangkan dengan sejujurnya permasalahan yang berlaku. Ini akan membantu anda mengurangkan rasa tertekan. Cubalah bersikap profesional terhadap diri dan agama.
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ.
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. [al-Mu’minun 23:01]
وَالَّذِينَ هُمْ لأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ.
Iaitu orang-orang yang menjaga amanah dan janjinya. [al-Mu’minun 23:08]
Sesungguhnya kejujuran menunjuk kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan menunjuk kepada syurga. Sesungguhnya (apabila) seseorang itu melazimkan dirinya dengan kejujuran, nescaya dia akan dikenali sebagai orang yang jujur. Manakala kedustaan menunjuk kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan menunjuk kepada neraka. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu melazimkan dirinya dengan kedustaan melainkan dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6094)
Doa Mengelakkan Diri Daripada Kebergantungan Pada Makhluk
“Ya Allah! Cukupkanlah aku dengan apa yang Engkau halalkan agar aku terhindar dari yang Engkau haramkan dan perkayakanlah aku dengan kurniaan Engkau agar aku tidak meminta-minta dari selain Engkau.”
Doa ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi (Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2822). Ianya mengisahnya, seorang hamba datang kepada Ali bin Abi Thalib menceritakan masalah kewangan yang dia hadapi bagi membebaskan dirinya. Maka Ali mengajar dia doa di atas yang asalnya diajar oleh Rasulullah bagi sesiapa yang mengalami masalah kewangan dan hutang.

Mari Meninggalkan Dunia

 
  (Gambar Ihsan Seorang Rakan)

Mari meninggalkan dunia, itulah ajakan saya untuk tulisan pada kali ini. Namun, ia bukan bermaksud meninggalkan dunia ini secara hakiki, tapi lebih kepada maknawi. Manusia yang mengetahui hakikat kehidupan akan lebih mudah untuk menggambarkan fantasi (alam ghaib) membentuk realiti dan seterusnya menafsirkannya dalam bentuk perlakuan.

Solat dan hakikat penghidupan?
Bagaimana kita melihat solat sebagai medium ketahanan ummah?
Bagaimana cara kita seleraskan solat dengan penghayatan kehidupan?

Persoalan diatas akan cuba saya kupas dengan baik dan sederhana. Tidaklah begitu terperinci hinggakan semuanya bercampur aduk antara syarat sah hinggalah kepada kesempurnaannya. Cuma meneliti dan mentafsir bagaimana solat itu dimanifestasikan dalam kehidupan orang mukmin. Saya menulisnya kerana memerhatikan banyaknya kelemahan diri ini,ummah ini. Bila saya berkata sedemikian mungkin penilaian saya hanya bersifat “Self Oppinion” yang mungkin banyak tersasar.

Allah telah menjanjikan bahawa solat itu menjadikan manusia berjaya, diri ini akan berjaya, ummah ini akan berjaya. Namun, lain pula realitinya. Ia mengajak kita untuk berfikir persoalan kejayaan. Jika ummah ini tidak berjaya, dikatakan mundur, menjadi ummah kayu, fobia dengan agama mereka, masalah sosial melampau dan peningkatan kadar jenayah yang serius. Sudah tentu tunjangnya pada satu titik kelemahan, apa yang tidak kena dengan solat kita? dan bagaimana caranya untuk kita cuba untuk mengekalkan tahap kesedaran kita apabila bersolat. dan salah satu caranya ialah kita berusaha secara maknawi untuk "meninggalkan dunia" buat sementara.

Solat dan Realiti Ummah
Mari kita sangka dengan meletakkan sangkaan baik terhadap ummat ini, bahawa mereka semua solat (walaupun ia hanya indah khabar dari rupa). Namun, perbincangan kita kali ini lebih berfokus kepada kelalaian meraka dalam bersolat. Sekali lagi saya mengajak untuk melupakan sebentar soal khilaf para ulama’ tentang lalai dalam solat samada merujuk kepada kelalaian hati semasa solat ataupun aspek pengabaian solat lima waktu. Keduanya akan kita sentuh dengan berhati-hati. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.

Apabila Allah menjanjikan kejayaan bagi orang yang solat maka ia boleh dikonotasikan dengan dua kejayaan. Hasanah didunia dan hasanah diakhirat. Namun, persoalan kejayaan dunia dan akhirat disempitkan oleh ummah ini sendiri dan ia dinilai oleh orang bukan islam bahkan orang islam lain. Contohnya, terdapat banyak pengusaha perusahaan pasar raya di Malaysia ramai yang mempertikaikan waktu rehat selama sejam untuk mengerjakan solat Jumaat. Kononnya kurang produktiviti, persaingan kurang sihat dan sebagainya. Digunakan pelbagai istilah bagi mencorak seribu keburukan. Selain ummah sendiri yang menconteng arang dengan mengelat dalam pekerjaan dan sebagainya.


Ia adalah kerana ada diantara mereka yang culas ketika menggunakan waktu seperti  ini. Mereka bukan pergi solat jumaat tapi pergi ke kedai-kedai berhampiran terutamanya bukan islam untuk minum dan bermacam-macam jenis culas yang lain. Ini menyebabkan gambaran buruk itu pada mata bukan islam. Mereka-mereka ini sudah tentukan menyalahkan bukan hanya pelaku ibadah yang culas bahkan paling malang, menyalah ibadah itu sendiri kesan daripada penyelewengan agama oleh ummah ini. Ingatlah semua orang islam, dan lebih-lebih lagi diriku bahaw kamu adalah cerminan agama kamu. Meletakkan agama jauh pada tingkatan tinggi merupakan kewajipan yang sudah tentu melebihi kehendak.

Indahkan Solatmu
Mari kita meneropong ke dalam solat pula. Ketika solat, adakah kita merasakan solat itu tanggungjawab atau kecintaan. Ya, beza antara tanggungjawab dan kecintaan. Orang yang solat kerana tanggungjawab akan merasakan soatnya berat, susah dan pelbagai lagi kalut dan ribut. Tetapi orang yang solat kerana kecintaan. Terasa bagai dirinya, dibuai oleh simfoni dan gertakan ayat dan rasa.

“Mereka yang melakukan yang wajib adalah bukti pengabdian, tetapi mereka yang melakukan perkara sunat adalah bukti kecintaan”

Pernah Rasullullah s.a.w ketika mana solat, sampai sahaja pada ayat Al-Haqqah ayat 23 “Buah-buahannya dekat untuk dipetik”. Maka Rasullullah s.a.w kelihatan sedang memetik buah. Begitulah ciri solat yang tersangat khusyuk sehinggakan terbayang buah-buahan syurga untuk dipetik. Banyak lagi contoh solat para sahabat yang mana diriwayatkan bahawa panah yang terkenang pada kakinya dicabut apabila solat kerana ia tidak merasakan sakit kesan daripada panah tadi dicabut. Indahnya apa yang mereka rasakan. Keindahan itu, tidak akan datang melainkan kita ikhlas dan berusaha dalam penyucian jiwa yang mantap.


Pernahkan kita solat dan berkali-kali terjadi. Ketika solat ada perkara-perkara yang kita terbayang. Kunci kereta yang hilang, masalah dipejabat, masalah dengan kawan-kawan, masalah keluarga, kewangan dan berbagai-bagai lagi. Itu sebenarnya banyak mengganggu kita dalam melakukan dan merasakan keindahan dalam solat. Banyak persoalan yang membuatkan kita tidak merasakan keindahan itu. Saya keluarkan beberapa cara yang boleh dipraktikkan khususnya kepada mereka yang baru bermula dalam menggapai keindahan itu darisudut psikologi dan teologi. (Termasuk juga diri yang lemah ini).

1. Ketika hendak menunaikan solat, cuba untuk membentuk minda bawah sedar. Lontarkan gambaran bahawa kita sedang berada di bilik yang kosong. Bilik kosong tanda kita cuba mengosongkan fikiran daripada segala warna dunia. Meletakkan diri kita pada satu tujuan. Mengabdikan diri padaNya.

2. Cuba untuk meninggalkan dunia ini buat sementara. Katakan pada diri, bahawa kita sedang menuju suatu daerah sunyi dalam pencarian menuju Allah. Katakan pada diri kita sedang membawa hadiah paling berharga untuk dipersembahkan buat Allah jalla waala.

3. Baca surah dalam solat dengan kita memahami maksudnya. Cuba untuk mengetahui walaupun tidak seluruh ayat. Cari beberapa ayat yang menyentuh jiwa apabila kita membacanya dalam solat. Contohnya, bila sampai pada ayat berkaitan syurga, maka hati kita terkesan untuk menujunya. Apabila sampai ayat neraka menjauhi kita untuk menghampiranya. Begitu juga ayat-ayat yang sinonim dengan keadaan dan pengetahuan kita.

4. Cubalah cuba menghafal surah-surah baru yang membantu kita bila solat. Ini kerana apabila kita membaca surah yang sama berulang kali. Pada adat kebiasaan orang biasa-biasa akan timbul rasa jemu apabila ia kerap diulang. Menghafal surah yang baru merupakan medium untuk mengekalkan kesungguhan dalam menambah keseronokkan menunaikan  solat.

Aturan Kompas Hidup
Apabila kita sudah merasakan bahawa solat yang kita tunaikan, ikhlas kerana Allah. Hati kita akan mengkhabarkan alunan gembira. Bunyinya seolah terdengar dek seluruh anggota. Anggota akan terarah kepada tujuan kebaikan. Apabila itu terjadi, maka manusia akan melihat hakikat penghidupan adalah ibadatnya kepada Allah itu sangat menusuk ke dalam jiwa. Ia membawa kita menuju penghujung hidup yang bermula dari pangkal yang baik.

Hakikat pengakhiran yang baik membantu kita untuk menetapkan kompas hidup. Harus bermula dari arah mana dan berakhir pada arah mana. Teringat saya kepada satu cerita, cerita “Antara Ikan dan Mata Kail”.

Satu hari di dalam kesejukan air, ibu ikan telah berpesan kepada anak ikan.
“Wahai anakku, ingatlah apabila pada suatu hari jika kamu ternampak cacing yang sedang bergerak-gerak dipermukaan air maka kamu harus berhati-hati denganya”. Kata si ibu.
“Kenapa ibu?” tanya anak ikan penuh persoalan.
“Wahai anakku sayang, ketahuilah pada ekor cacing itu terdapat satu besi mata kail yang sangat tajam. Jika kamu memakannya, kamu akan dapati mata kail itu akan tersangkut pada mulutmu. Ia akan menarik kamu untuk keluar dari alam air ini. Semasa kamu ditarik olehnya, kamu akan berasa sangat sakit. Terkoyak bibir mulutku. Terkeluar darah kamu. Mesti mata kail tadi akan terus menarikmu tanpa belas kasihan.  Kamu akan kalah dan akan terpisah daripada ibu. Mahukah kamu berpisah daripada ibu?” tanya siibu selepas memberikan penjelasan.
“Takut, tak mahu ibu.”
“Oleh itu wahai anakku sayang, jangan kamu cuba makan cacing yang terselit mata kail itu. Sentiasa awasi apa yang kamu lakukan. Jangan sampai tertipu setelah kamu mendengar nasihat ibu ini. Sesungguhnya ibu sangat sayang padamu, duhai anakku.”

Begitulah kita, pada mengharungi denai dan ribut kehidupan. Harus fikir jika peringatan itu sudah diberikan maka kita berhati-hati. Apabila kita memilih untuk melakukan suatu perkara yang kita tahu ia salah, maka kompas kehidupan kita telah terpesong. Set kompas mesti berada dalam keadaan yang baik. Baru kita akan mampu melihat ‘ point of view’ yang lebih jauh.

Ingat bahawa kita lahir dalam keadaan fitrah iaitu islam. Kita lahir dengan kebaikan. Jangan rosakkan fitrah dengan fitnah keburukan. Kelas menyesal kita. Memahami kita perlu berada di jalan yang baik memerlukan kita menyelaraskan kompas agar menuju ke tempat yan baik. Maka set ‘Kompas setting’ kita dengan berjalanan lurus dijalan lurus (agama islam). insyaAllah.


Manusia Pilihan Syurga
Katakanlah pada diri sendiri bahawa:
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum sayang sepenuhnya pada Allah dan Rasul.
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum berbakti pada kedua ibu dan bapa.
Aku tidak akan berkata aku baik, Jika aku masih tidak berkahwin untuk menyerpurnakan agamaku.
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum menjadi suami yang baik buat isteriku.
Aku tidak akan berkata diriku baik, jika aku masih belum mendidik anak-anakku dengan baik.
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum menjadi datuk yang baik kepada cucuku.
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum memanusiakan manusia.
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum mati.
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum melepasi soal kubur.
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum melepasi titian siratal mustaqim.
Aku tidak akan berkata aku baik, dan menjadi pilihan Allah tuhan semesta alam.
Adalah bila Allah redha denganku dan aku termasuk daripada golongan ahli syurga.

Inilah ciri manusia syurga. Manusia yang sentiasa merasakan dirinya tidak cukup dengan amal yang sentiasa diperbuat. Sentiasa “servis amal” dan senentiasa diperbaharui. Takut dan harap sentiasa berada dalam hatinya. Sehingga termimpi-mimpi saat dan waktu dirinya melepasi semua persoalan ini. Marilah meninggalkan dunia sementara tika hidup untuk menikmati hidup akhirat yang kekal dan kita. Selamanya.

Muhasabah : Munafikkah Aku Dimatamu?


Munafikkah aku dimatamu? Sehinggakan aku tetap aku, tidak pernah berubah. Aku menyatakan aku bisa berbuat pelbagai rencah dan ramuan dalam kehidupan. Tetapi aku sering gagal dalam menterjemahkannya dalam hidup. Alangkah ruginya aku, biasa hanya mampu berbicara tanpa mampu berbuat sesuatu bagi mentafsir bicara. Ya, Allah alangkah ruginya aku.

Aku lemah dan hina. Sehinggakan terhadap satu surah dalam Al-Quran yang sentiasa mengecam aku dalam tingkah dan perbuatan. Terasa bagai betul semua katamu. Aku berkata-kata sesuatu yang dusta dan salah. Seringkali bercanggah antara keduanya. Ya, Allah betapa aku berdusta dan engkau maha mengetahuinya.

Banyaknya kelemahan yang aku ada. Pandai bersilat kata namun rebah dalam permainan perasaan dan ujian kehidupan. Setiap kali surah itu kubaca terasa aku betul-betul selari dengan apa yang dimaksudkan. Betul aku hanya tin kosong yang kuat berbunyi, tetapi isinya kosong. Tidak ada manfaat untukmu. Logiknya, mana mungkin orang yang tidak mempunyai sesuatu boleh memberikan sesuatu. Ya Allah, tolong aku dalam mengikis sifat buruk ini.

Dikala sunyi dibalik kesibukan. Terimalah persembahkan tulisan orang yang terasa dirinya munafik ini, “Munafikkah aku dimatamu?”

Berkali-kali kita diuji dalam kehidupan. Kata-kata seolah tidak selari dengan apa yang kita perjuangkan. Hanya berkata-kata tetapi tidak mampu untuk berbuat sepertimana yang kita ucapkan. Surah Al-Manafiqun itu hanya kita hafal dan baca namun, intipati sebenar tidak kita selami dengan baik. Sering menang dalam bicara namun kalah dalam arena pembuktian. Murka Allah sering kita tempah, alangkah celakanya kita. Ya, lebih-lebih lagi aku.

Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?


Adakah kita (lebih-lebih lagi aku) adalah kayu buruk yang dimaksudkan?. Ada umpama tiada. Hawa nafsu menjadi sandaran utama. Seolah-olah bertuhankan nafsu. Tidak sedar apa tujuan hidup ini. Masih lagi tidak sedar bahawa Allah selalu mengutuskan orang-orang baik dalam menasihati kita dalam kehidupan. Namun masih lagi kita gagal dalam menterjamah perbuatan seiring perkataan.

Lembut yang tidak semestinya lembut
Alangkah ruginya kita (lebih-lebih lagi aku) bila hati keras dalam menerima tarbiah dan didikan. Kita sering hendakkan kebaikan dalam hidup, tapi sayang kita tidak menuju kepadanya. Kita sering menyatakan ingin lembutkan hati dalam melonjak perubahan dengan adanya mereka yang baik disisi. Namun yang terjadi adalah sebaliknya. Hati kita keras untuk itu.

Kita berpura-pura baik didepan orang ramai. Namun, sebenarnya kita mampu menilai siapakah kita dihadapan Allah s.w.t yang Maha Agung. Pakaian kita, tutur kata, dan perlakuan yang kita agungkan dengannya membuatkan kita sering lupa. Kita semua tahu sejarah silam kita, dulu kita bagaimana, sekarang pula kita bagaimana. Tidakkah kita memerhatikan Allah telah memberikan nikmat kepada kita dalam bentuk yang pelbagai. Kelembutan juga kekerasan. Semuanya tarbiah daripadanya. Apakah kita tidak memerhatikannya?


(2) Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
(3) Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Dimana Allah Dihati Kita?
Dimana Allah dalam setiap tingkah dan laku dalam penghidupan? Kehidupan tanpa penghidupan adalah kekakuan dan kepayahan. Tanya pada diri samada kita membina kehidupan atau penghidupan. Tidak cukup dengan hanya kehidupan yang baik, tetapi kita memerlukan penghidupan yang mulia. Muslim biasa yang berusaha akan mendapat hidup yang baik, ia dinilai dalam apa jua diperbuat dan diperkatakan. Lalau keselarasan itu perlu ada.

Bila kita mampu menjadikan Allah itu pemerhati tatkala sunyi, maka akan terbentuk satu rahmat dalam kehidupan. Dorongan ‘inside out’ akan terbentuk. Kawalan diri dari dalam. Untuk memanusiakan manusia kita perlukan kawalan diri dalam dalam bagi mengawal sesuatu yang bersifat luaran. Jika kita lihat bagaimana kawalan diri Nabi Yusuf a.s terhadap godaan Zulaikha (walaupun nama sebenarnya tidak disebut dalam Al-Quran). Zulaikha seorang wanita bangsawan yang cantik. Jika diukur darisegi kekayaan dialah yang paling banyak hartanya. Jika diukur darisegi pakaian, dialah yang paling mahal. Namun, ketika mana dorongan nafsu luaran datang keatas Nabi Yusuf , ditolak dengan meletakkan nilai Allah.

“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya". (Surah Yusuf Ayat 23).

Madah Untuk Berubah
Semua manusia ingin berubah, samada baik atau buruk itu terpulang buat insan. Lalu, bila insan menyatakan kehendak maka ia harus diikuti dengan kemahuan. Kehendak berbentuk niat dan kemahuan berbentuk perbuatan. Maka niat yang baik harus selari dengan perbuatan yang baik. Matlamat tidak menghalalkan cara.

Titik perubahan perlu dibuat dengan beberapa peringkat yang mesti dilalui oleh setiap insan yang ingin berubah. Sesuatu perubahan perlukan mujahad, tanpa mengira bentuk dan situasi. Ada perkara yang kita boleh belajar, kerana tidak semua perkara boleh dipelajari. Saya garapkan beberapa langkah yang boleh dibuat dalam usaha mencari titik perubahan khususnya dalam diri dan insyaAllah khususnya buat saya sendiri.

1. Susahkan diri untuk senang
Kata hukamak, bukan senang untuk senang, cukup senang untuk susah. Dunia adalah waktu untuk bersusah payah dan akhirat ialah tempat untuk bersenang-senang, begitulah pegangan orang mukmin yang melihat dunia sebagai tempat tananam (dunia) sebelum tiba musim menuai (akhirat). Sepertimana menanam sudah pasti dengannya kita akan letih dan penat. Apakah yang membuatkan kita bekerja keras? Adakah untuk penat dan letih semata-mata? Sudah tentu jawabnya tidak. Kita menanam atas dasar kepercayaan bahawa ia akan tumbuh dan kita akan menuai hasilkan sesuai dengan edaran masa yang ditetapkan.

Maka begitulah mukmin yang selalu bervisikan akhirat. Walau letih sentiasa cuba dan terus mencuba dalam apa jua hal. Tidak kalah jika kita tidak mencapai apa yang kita hajati. Kerana hakikatnya kita telah berjaya. Berjaya untuk berusaha dan tidak kenal erti penat. Visi mukmin, visi menuju akhirat. Itulah kompas kehidupan mereka.

2. Selalu ingat akan Qalam TuhanMu
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) Neraka dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.” (An-Nisa’ ayat 145).

Bukankah Al-Quran diturunkan untuk memberi peringatan kepada orang yang ingin mendengar. Oleh itu, kata kuncinya ialah “mendengar”.

3. Istighfar Atas Kesalahan
Gelombang kehidupan yang sangat menekan. Tambah pula dengan fitnah akhir zaman yang sering menjengah dalam lewat kehidupan. Dengan pantas hati berubah, dengan cepat iman goyah. Setiap manusia yang bergelar hamba mesti meyakini bahawa Allah itu maha penerima taubat. Akui kelemahan kita dihadapanNya. Seringlah meminta walau sering salah kerana itu hakikat pengabdian buat Tuhan Rabbul Jalil.

“(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)”. (Surah Hud: 52).

4. Ikhlas Dalam Tindakan
Ikhlas bukan dendangan mulut, sebaliknya ia alunan hati. Hati yang baik akan menghasilkan kuasa ikhlas dalam diri. Inilah syarat yang mendatangkan fadhilat. Kerana fadhilat tanpa syarat pincanglah amalan. Ikhlas lahir dari keyakinan bahawa Allah ialah Tuhan yang memiliki segala sifat kesempurnaan. Bergantung pada yang maha sempurna tidak akan membuatkan kita sesal dalam apa jua tindakan.

Rasa bertuhan ini sangat indah. Manakan sama orangyang mengantungkan dirinya hanya pada dirinya yang amat lemah jika dibandingkan manusia yang sangat bergantung harap dan usaha atas Allah, Tuhan yang maha esa. Atas dasar kelemahan itulah menyebabkan manusia perlukan sesuatu untuk dipegang.
Scroll to top