ISLAMIK

Editorial

Mari Meninggalkan Dunia

 
  (Gambar Ihsan Seorang Rakan)

Mari meninggalkan dunia, itulah ajakan saya untuk tulisan pada kali ini. Namun, ia bukan bermaksud meninggalkan dunia ini secara hakiki, tapi lebih kepada maknawi. Manusia yang mengetahui hakikat kehidupan akan lebih mudah untuk menggambarkan fantasi (alam ghaib) membentuk realiti dan seterusnya menafsirkannya dalam bentuk perlakuan.

Solat dan hakikat penghidupan?
Bagaimana kita melihat solat sebagai medium ketahanan ummah?
Bagaimana cara kita seleraskan solat dengan penghayatan kehidupan?

Persoalan diatas akan cuba saya kupas dengan baik dan sederhana. Tidaklah begitu terperinci hinggakan semuanya bercampur aduk antara syarat sah hinggalah kepada kesempurnaannya. Cuma meneliti dan mentafsir bagaimana solat itu dimanifestasikan dalam kehidupan orang mukmin. Saya menulisnya kerana memerhatikan banyaknya kelemahan diri ini,ummah ini. Bila saya berkata sedemikian mungkin penilaian saya hanya bersifat “Self Oppinion” yang mungkin banyak tersasar.

Allah telah menjanjikan bahawa solat itu menjadikan manusia berjaya, diri ini akan berjaya, ummah ini akan berjaya. Namun, lain pula realitinya. Ia mengajak kita untuk berfikir persoalan kejayaan. Jika ummah ini tidak berjaya, dikatakan mundur, menjadi ummah kayu, fobia dengan agama mereka, masalah sosial melampau dan peningkatan kadar jenayah yang serius. Sudah tentu tunjangnya pada satu titik kelemahan, apa yang tidak kena dengan solat kita? dan bagaimana caranya untuk kita cuba untuk mengekalkan tahap kesedaran kita apabila bersolat. dan salah satu caranya ialah kita berusaha secara maknawi untuk "meninggalkan dunia" buat sementara.

Solat dan Realiti Ummah
Mari kita sangka dengan meletakkan sangkaan baik terhadap ummat ini, bahawa mereka semua solat (walaupun ia hanya indah khabar dari rupa). Namun, perbincangan kita kali ini lebih berfokus kepada kelalaian meraka dalam bersolat. Sekali lagi saya mengajak untuk melupakan sebentar soal khilaf para ulama’ tentang lalai dalam solat samada merujuk kepada kelalaian hati semasa solat ataupun aspek pengabaian solat lima waktu. Keduanya akan kita sentuh dengan berhati-hati. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak.

Apabila Allah menjanjikan kejayaan bagi orang yang solat maka ia boleh dikonotasikan dengan dua kejayaan. Hasanah didunia dan hasanah diakhirat. Namun, persoalan kejayaan dunia dan akhirat disempitkan oleh ummah ini sendiri dan ia dinilai oleh orang bukan islam bahkan orang islam lain. Contohnya, terdapat banyak pengusaha perusahaan pasar raya di Malaysia ramai yang mempertikaikan waktu rehat selama sejam untuk mengerjakan solat Jumaat. Kononnya kurang produktiviti, persaingan kurang sihat dan sebagainya. Digunakan pelbagai istilah bagi mencorak seribu keburukan. Selain ummah sendiri yang menconteng arang dengan mengelat dalam pekerjaan dan sebagainya.


Ia adalah kerana ada diantara mereka yang culas ketika menggunakan waktu seperti  ini. Mereka bukan pergi solat jumaat tapi pergi ke kedai-kedai berhampiran terutamanya bukan islam untuk minum dan bermacam-macam jenis culas yang lain. Ini menyebabkan gambaran buruk itu pada mata bukan islam. Mereka-mereka ini sudah tentukan menyalahkan bukan hanya pelaku ibadah yang culas bahkan paling malang, menyalah ibadah itu sendiri kesan daripada penyelewengan agama oleh ummah ini. Ingatlah semua orang islam, dan lebih-lebih lagi diriku bahaw kamu adalah cerminan agama kamu. Meletakkan agama jauh pada tingkatan tinggi merupakan kewajipan yang sudah tentu melebihi kehendak.

Indahkan Solatmu
Mari kita meneropong ke dalam solat pula. Ketika solat, adakah kita merasakan solat itu tanggungjawab atau kecintaan. Ya, beza antara tanggungjawab dan kecintaan. Orang yang solat kerana tanggungjawab akan merasakan soatnya berat, susah dan pelbagai lagi kalut dan ribut. Tetapi orang yang solat kerana kecintaan. Terasa bagai dirinya, dibuai oleh simfoni dan gertakan ayat dan rasa.

“Mereka yang melakukan yang wajib adalah bukti pengabdian, tetapi mereka yang melakukan perkara sunat adalah bukti kecintaan”

Pernah Rasullullah s.a.w ketika mana solat, sampai sahaja pada ayat Al-Haqqah ayat 23 “Buah-buahannya dekat untuk dipetik”. Maka Rasullullah s.a.w kelihatan sedang memetik buah. Begitulah ciri solat yang tersangat khusyuk sehinggakan terbayang buah-buahan syurga untuk dipetik. Banyak lagi contoh solat para sahabat yang mana diriwayatkan bahawa panah yang terkenang pada kakinya dicabut apabila solat kerana ia tidak merasakan sakit kesan daripada panah tadi dicabut. Indahnya apa yang mereka rasakan. Keindahan itu, tidak akan datang melainkan kita ikhlas dan berusaha dalam penyucian jiwa yang mantap.


Pernahkan kita solat dan berkali-kali terjadi. Ketika solat ada perkara-perkara yang kita terbayang. Kunci kereta yang hilang, masalah dipejabat, masalah dengan kawan-kawan, masalah keluarga, kewangan dan berbagai-bagai lagi. Itu sebenarnya banyak mengganggu kita dalam melakukan dan merasakan keindahan dalam solat. Banyak persoalan yang membuatkan kita tidak merasakan keindahan itu. Saya keluarkan beberapa cara yang boleh dipraktikkan khususnya kepada mereka yang baru bermula dalam menggapai keindahan itu darisudut psikologi dan teologi. (Termasuk juga diri yang lemah ini).

1. Ketika hendak menunaikan solat, cuba untuk membentuk minda bawah sedar. Lontarkan gambaran bahawa kita sedang berada di bilik yang kosong. Bilik kosong tanda kita cuba mengosongkan fikiran daripada segala warna dunia. Meletakkan diri kita pada satu tujuan. Mengabdikan diri padaNya.

2. Cuba untuk meninggalkan dunia ini buat sementara. Katakan pada diri, bahawa kita sedang menuju suatu daerah sunyi dalam pencarian menuju Allah. Katakan pada diri kita sedang membawa hadiah paling berharga untuk dipersembahkan buat Allah jalla waala.

3. Baca surah dalam solat dengan kita memahami maksudnya. Cuba untuk mengetahui walaupun tidak seluruh ayat. Cari beberapa ayat yang menyentuh jiwa apabila kita membacanya dalam solat. Contohnya, bila sampai pada ayat berkaitan syurga, maka hati kita terkesan untuk menujunya. Apabila sampai ayat neraka menjauhi kita untuk menghampiranya. Begitu juga ayat-ayat yang sinonim dengan keadaan dan pengetahuan kita.

4. Cubalah cuba menghafal surah-surah baru yang membantu kita bila solat. Ini kerana apabila kita membaca surah yang sama berulang kali. Pada adat kebiasaan orang biasa-biasa akan timbul rasa jemu apabila ia kerap diulang. Menghafal surah yang baru merupakan medium untuk mengekalkan kesungguhan dalam menambah keseronokkan menunaikan  solat.

Aturan Kompas Hidup
Apabila kita sudah merasakan bahawa solat yang kita tunaikan, ikhlas kerana Allah. Hati kita akan mengkhabarkan alunan gembira. Bunyinya seolah terdengar dek seluruh anggota. Anggota akan terarah kepada tujuan kebaikan. Apabila itu terjadi, maka manusia akan melihat hakikat penghidupan adalah ibadatnya kepada Allah itu sangat menusuk ke dalam jiwa. Ia membawa kita menuju penghujung hidup yang bermula dari pangkal yang baik.

Hakikat pengakhiran yang baik membantu kita untuk menetapkan kompas hidup. Harus bermula dari arah mana dan berakhir pada arah mana. Teringat saya kepada satu cerita, cerita “Antara Ikan dan Mata Kail”.

Satu hari di dalam kesejukan air, ibu ikan telah berpesan kepada anak ikan.
“Wahai anakku, ingatlah apabila pada suatu hari jika kamu ternampak cacing yang sedang bergerak-gerak dipermukaan air maka kamu harus berhati-hati denganya”. Kata si ibu.
“Kenapa ibu?” tanya anak ikan penuh persoalan.
“Wahai anakku sayang, ketahuilah pada ekor cacing itu terdapat satu besi mata kail yang sangat tajam. Jika kamu memakannya, kamu akan dapati mata kail itu akan tersangkut pada mulutmu. Ia akan menarik kamu untuk keluar dari alam air ini. Semasa kamu ditarik olehnya, kamu akan berasa sangat sakit. Terkoyak bibir mulutku. Terkeluar darah kamu. Mesti mata kail tadi akan terus menarikmu tanpa belas kasihan.  Kamu akan kalah dan akan terpisah daripada ibu. Mahukah kamu berpisah daripada ibu?” tanya siibu selepas memberikan penjelasan.
“Takut, tak mahu ibu.”
“Oleh itu wahai anakku sayang, jangan kamu cuba makan cacing yang terselit mata kail itu. Sentiasa awasi apa yang kamu lakukan. Jangan sampai tertipu setelah kamu mendengar nasihat ibu ini. Sesungguhnya ibu sangat sayang padamu, duhai anakku.”

Begitulah kita, pada mengharungi denai dan ribut kehidupan. Harus fikir jika peringatan itu sudah diberikan maka kita berhati-hati. Apabila kita memilih untuk melakukan suatu perkara yang kita tahu ia salah, maka kompas kehidupan kita telah terpesong. Set kompas mesti berada dalam keadaan yang baik. Baru kita akan mampu melihat ‘ point of view’ yang lebih jauh.

Ingat bahawa kita lahir dalam keadaan fitrah iaitu islam. Kita lahir dengan kebaikan. Jangan rosakkan fitrah dengan fitnah keburukan. Kelas menyesal kita. Memahami kita perlu berada di jalan yang baik memerlukan kita menyelaraskan kompas agar menuju ke tempat yan baik. Maka set ‘Kompas setting’ kita dengan berjalanan lurus dijalan lurus (agama islam). insyaAllah.


Manusia Pilihan Syurga
Katakanlah pada diri sendiri bahawa:
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum sayang sepenuhnya pada Allah dan Rasul.
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum berbakti pada kedua ibu dan bapa.
Aku tidak akan berkata aku baik, Jika aku masih tidak berkahwin untuk menyerpurnakan agamaku.
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum menjadi suami yang baik buat isteriku.
Aku tidak akan berkata diriku baik, jika aku masih belum mendidik anak-anakku dengan baik.
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum menjadi datuk yang baik kepada cucuku.
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum memanusiakan manusia.
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum mati.
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum melepasi soal kubur.
Aku tidak akan berkata aku baik, jika aku masih belum melepasi titian siratal mustaqim.
Aku tidak akan berkata aku baik, dan menjadi pilihan Allah tuhan semesta alam.
Adalah bila Allah redha denganku dan aku termasuk daripada golongan ahli syurga.

Inilah ciri manusia syurga. Manusia yang sentiasa merasakan dirinya tidak cukup dengan amal yang sentiasa diperbuat. Sentiasa “servis amal” dan senentiasa diperbaharui. Takut dan harap sentiasa berada dalam hatinya. Sehingga termimpi-mimpi saat dan waktu dirinya melepasi semua persoalan ini. Marilah meninggalkan dunia sementara tika hidup untuk menikmati hidup akhirat yang kekal dan kita. Selamanya.

Pandangan Pembaca
Tags:

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Scroll to top