ISLAMIK
Pesanan Seorang Tokoh Agama
Dikala mendengar bacaan sayu daripada Syeikh Muhammad Musa, terasa diri ini ingin berkongsi tentang ucapan seorang tokoh agama yang terkenal di Malaysia. Sentuhannya cukup memukau dengan kilauan mutiara umpama keluar daripada mulutnya. Sungguh ia sukar dicari ganti dengan kebanyakkan tokoh agama. Allah telah kumpulkan hati-hati yang hidup untuk bersama dengan agamaNya, sebagaimana sentuhan pada jiwa yang mempunyai nyawa. Terimalah pesanan beliau ini sebagai hiasan dinding hatimu.
Assalamualaikum,
Marilah sama kita mengucapkan syukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan rahmat dan kurnianya, maka Allah s.w.t memanjangkan usia dan umur kita. Lalu kita sempat bertemu dihari yang mulia ini, mudah-mudahan kita dalam suasana bertakwa kepada Allah. Dalam suasana masing-masing menjaga hak-hak Allah dan mampu bangun sebagai seorang individu muslim yang amat bertakwa kepada Allah.
Kerana setiap hari kita perlu menasihati diri kita, sebaik saja kita bangun daripada tidur kita telah kita mengucapkan syukur kerana Allah menghidupkan kita. Berikah nasihat kepada tubuh kita dan nyatakan beberapa perkara:
1. Wahai tubuh, hari ini engkau bertambah hampir untuk bertemu dengan Allah. Bila mana engkau mati nanti orang akan menyenang kamu beberapa hari sahaja. Mungkin sehari dua orang akan menangisi kamu.
2. Wahai mata, engkau akan dihisap oleh Allah s.w.t. Awasilah apa yang akan kamu lihat hari ini.
3. Wahai tangan, janganlah engkau memegang sesuatu yang diharamkan oleh Allah kerana Allah akan menghisab kamu nanti. Dimana kamu tidak akan mampu menjawanya dihadapan Allah s.w.t.
Demikianlah kita menasihati seluruh anggota tubuh badan kita agar patuh kepada Allah. Kerana nasihat yang baik ialah kita mampu menasihati diri kita sendiri sebelum orang lain menasihati kita. Oleh kerana itu janganlah tertipu dengan dua perkara.
Jangan tertipu dengan usia yang muda, kerana kita menjangka seolah-olah kita lambat lagi untuk berjumpa dan bertemu dengan Allah. Jangan tertipu dengan muda kerana mati bukan syarat tua. Dan jangan tertipu dengan tubuh badan yang sihat. Mungkin kita tidak ada sebarang penyakit. Tetapi ingat, kematian tidak syarat sakit. Orang yang kuat boleh meninggal dunia sebagaimana yang sakit boleh meninggal dunia.
Oleh kerana itu, semua manusia mesti bersiap sedia dalam menghadapi hari-hari yang akan datang dan benar-benar menjadi hamba Allah s.w.t. sekiranya kita mampu menjadi seorang individu muslim yang bangun ditengah-tengah masyarakat dan mampu memberi manfaat kepada orang lain, lalu kita lakukan perkara tersebut kerana sesungguhnya kita akan dinilai oleh Allah tentang apa yang kita lakukan.
Ternyata bukan umur yang menjadi nilai, yang penting ialah apa yang diisi dalam umur itulah yang menjadi penilaian yang penting. Kerana sesungguhnya usia dan umur bukan milik kita. Ia merupakan hak Allah dan terpulang kepada Allah untuk menentukan umur kita. Yang penting pada kita ialah bukan saja umur yang panjang, tapi apa yang kita isi dengan umur tersebut.
Alangkah ruginya kita bila Allah kurniakan umur yang panjang, tiba-tiba kita mengisi usia tersebut dengan menjauhkan diri dengan Allah. Kita melakukan maksiat dan derhaka pada Allah, seolah-olah kita tidak akan kembali kepada Allah s.w.t.
Lihatlah gelagat sebahagian manusia, yang sombong dengan Allah. Ditubuhnya jelas tanda-tanda ketuaan yang jelas. Namun, dimana iman dan takwanya? Sepatutnya kita sedar yang kita tidak patut derhaka kepada Allah. Kita mungkin boleh bercakap, boleh mengeluarkan idea, boleh menegur dan sebagainya, namun ingatlah kita hamba Allah s.w.t. jangan sekali-kali bertindak seolah kita tidak ada Allah s.w.t.
Perhatikan orang yang bertindak dengan hatinya tanpa iman. Dia mengucapkan kata-kata derhaka kepada Allah. Seolah-olah tidak ada iman dan tidak ada akidah. Dimanakah nilai muslim yang ada pada kita. Allah tidak ciptakan mulut untuk derhaka kepadanya, tidak mencipta akal untuk memikirkan bagaimana hendak berbuat maksiat kepada Allah. Oleh itu, bertindak mesti ingat yang kita ada Allah.
Ada perkara yang boleh kita tuturkan, dan ada yang tidak. Kata yang kita tutur itu mestilah selaras dengan kehendak Allah dan rasulNya. Dan mungkin dalam perkara lain kita diberi kebenaran selama tidak bercanggah dengan perintah Allah. Marilah kita melihat sebagaimana peristiwa yang berlaku digambarkan ketakwaan seorang hamba Allah yang digambarkan memalui seluruh tingkah lakunya.
Jika seorang melakukan sesuatu dan inginkan sanjungan daripada manusia. Ia belajar tinggi untuk orang memanggilnya doktor, dengan gigih dia mendapat harta yang banyak, agar orang memanggilnya jutawan. Dia membanyakkan derma terkadang dengan niat agardia dipanggil sebagai dermawan. Apakah kesan kita terhadap pujian manusia. Adakah menambah ego kita?.
Demikian kata ulama, manusia berasal daripada air mani yang tidak ada kekuatan sedikitpun. Lalu ia membesar. Dengan asalnya itu dia menjadi bangkai yang tidak ada harga. Bangkai ikan masih lagi boleh dimakan, namun bangkai manusia hanyalayak dimakan oleh cacing-cacing di dalam tanah.
Demikianlah agar kita tidak sombong dengan Allah s.w.t. Agar tidak juga sombong dengan makhluk Allah.
Agar kita tidak derhaka dan takabur kepada Allah, kerana Allah maha agung untuk kita jadikan diri kita sombong dan takabur.
Sesungguhnya nilai kekuatan iman dan akidah itu, berpaksi kepada tauhid dan berpaksikan ilmu yang ada pada kita. Seseorang itu tidak mungkin melakukan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan dan tidak meungkin ia terdorong untuk melakukan ibadah tanpa ilmu dan keyakinan. Oleh kerana itu, apabila hati manusia jauh daripada ilmu.
Bagaimanakah hidayah hendak masuk di dalam hatinya? Bagaimana penyesalan orang yang tidak mendengar nasihat yang baik? Ada kuliyah dia tidak hadir, ada forum dia tidak hadir, habis malam dengan maksiat pada Allah. Habis siangnya dengan derhaka kepada Allah. Bagaimana hati hendak takutkan Allah? Tentu akan lahir hati yang bertambah keras, jauh dan jauh daripada rahmat Allah.
Bilamana seseorang itu tidak mahu melakukan kebaikan, akan terdedah penyesalan sepertimana yang digambarkan oleh Allah dalam firmanNya. Mereka menyatakan kalaulah waktu di dunia dahulu aku mendengar, kemudian aku menerima nasihat tentulah aku tidak akan dihumban ke nereka Sa’e. Timbul penyesalan dalam hatinya, kenapa aku buat maksiat kepada Allah?.
Kerana telinganya tidak mendengar pernah mendengar nasihat, kerana hatinya tidak pernah menerima ketukan nasihat yang baik. Bagaimana hendak melakukan perubahan kalau telinga tidak pernha mendengar nasihat. Telinga mendengar perkara yang lagha yang menjauhkan dia daripada rahmat Allah.
Manusia tidak lahir sebagai wali Allah. Hatta wali-wali Allah sekalipun, mereka tidak lahir terus menjadi wali. Mereka itu lahir dengan belajar dan mendalami. Mereka menambahkan rasa takut pada Allah, tambahkan ibadah pada Allah, mereka sentiasa takut kepada Allah. Sedikit demi sedikit mereka memperbaiki diri mereka. Mereka baiki akhlak dan hubungan mereka dengan Allah. Maka layaklah mereka mendapat gelaran kekasih Allah. Semata-mata mereka berusaha mencari jalan-jalan kebaikan.
Jika kita lihat sewaktu tokoh-tokoh islam yang terkenal dalam sejarah. Mereka meninggal dalam usia yang cukup muda dengan penuh ketakwaan yang menyebabkan kita memikirkan diri kita. Lalu kita bertanya kepada diri kita, bandingkan amalan kita dengan mereka. Umar bin Abdul Aziz, diriwayatkan meninggal dunia dalam umur 37 tahun. Kita hari ini, bagaimana umur kita jika 37 tahun? Ketakwaan kita, warak kita, zuhud kita, ibadah kita, adakah sedang menghampirkan diri pada Allah.
Semoga Allah s.w.t merahmati kita dan menjanjikan kebaikan untuk kita bersama. Kerana sesungguhnya nilai nasihat itu, tidak lain hanyalah amalan. Dan sesuatu itu berguna bila kita dapat mengamalkanNya. Jika kita hanya mendengar tetapi tidak mampu kita amalkan maka ia tidak lebih daripada menjadi halwa telingan yang kosong.
Sekian,
Tuan Ibrahim Tuan Man
Sungguh, indah sekali ucapan yang beliau berikan. Nilai ucapan itu atas dasar ilmu dan iman bukan atas dasar kebencian membuak atau atas dasar kepartian. Nescaya akan terbit sinar iman yang membuahkan amalan dalam setiap detik masa dan bait kata.
Lelaki: Jadilah Ibu Untuk Anakmu
Musim cuti ini memberikan banyak masa. Kerehatan yang muncul selepas kesibukkan yang melanda sebelum muncul kembali musim kesibukkan yang serupa malah lebih sibuk pada tahun hadapan. Kerehatan memberi ruang kepada kita meneliti segenap ruang dalam kehidupan yang semakin mencabar ini. Teringat saya pada kata-kata seorang agamawan (yang sudah terlupa namanya) bahawa dunia ini Allah jadikan semakin cantik. Semakin kita menghampiri berakhirnya zaman ini, ia semakin menarik.
Lantas dalam kita mendepani arus kemodenan yang serba laju dan cepat. Terasa seperti dunia ini semakin rancak berputar. Siang, malam berganti dengan begitu cepat. Tulisan ini saya memberi fokus pada soal “persediaan tanggangjawab dan amanah” kepada seorang yang bernama LELAKI. Dibalik kesibukkan keperluan dan kehendak yang mendesak. Wanita dan lelaki terkejar-kejar dengan pelbagai urusan pekerjaan.
Alhamdulillah, bagus. Anda sudah menunaikan tanggungjawab, tapi bagaimana pula dengan amanah iaitu melaksanakan tugas tersebut dengan sepenuh hati. Semua perkara itu perlu dilatih, berlatih untuk bertanggungjawab dan beramanah. Ia perlu bermula sebelum, semasa dan selepas. Terimalah kalam kala hari dingin, Lelaki: Jadilah Ibu Untuk Anakmu.
Kata Orang Tua-Tua
Orang tua yang penuh dengan petua dan kata-kata yang mereka lebih ‘makan garam dahulu’ memang tidak dinafikan. Namun, dunia berubah. Pernah bukan kita mendengar kata-kata; “wanita akhirnya perlu ke dapur juga”. Kononnya tidak kira sebesar manapun status pekerjaan mereka dan pendidikan akhirnya mereka ini perlu ke dapur (melakukan tugas rumahtangga).
Ini memberikan konotasi kepada tanggungjawab seorang wanita dalam konteks urusan rumahtangga. Namun ia sering disalah erti oleh seorang lelaki. Baca saja dimana-mana juga, banyak rungutan, keluhan, rintihan wanita yang penat. Sudahlah terpaksa bekerja dalam membantu si suami dalam urusan kewangan rumahtangga. Balik ke rumah masih perlu melakukan kerja di rumah sedang si suami berehat bersenang lenang.
Si suami membaca surat khabar, melayari internet atau mungkin saja tertidur. Cinta yang dilaungkan sebelum perkahwinan jelas hanya manis di bibir namun pahit di lidah usahkan mahu ditelan oleh sang isteri. Cinta yang ada tidak diterjemahkan dalam bentuk perlakuan. “Aduh, penatnya dia boleh berehat dan tengok saja saya berpenat. Bukan nak tolong”. Begitu kurang lebih bunyi rintihannya.
Bebanan Seorang Bernama Wanita
Wanita dijadikan oleh Allah sangat unik. Bagi saya sebagai seorang lelaki agak sukar untuk dijelaskan sifat mereka secara holistik. Mereka mampu melakukan pelbagai kerja dan penuh sabar. Mungkin atas dasar itu agaknya Allah melantik mereka sebagai penyeri dalam sesebuah rumahtangga. Ramai para ibu yang bekerja demi membantu si suami ditambah lagi dengan kerja mereka di rumah. Subhanallah! sungguh besar peranan seorang bernama wanita.
Lihat saja ibu kita yang mendidik kita dalam rangka tumbesaran kita hingga kepada siapa kita sekarang. Dari awal pagi mereka telah bersiap sedia dengan segala kelengkapan yang kita perlukan. Tidak pula si ibu merenget kerana melakukan banyak perkara. Ya, ianya atas dasar sayang, tanggungjawab dan amanah.
Sudah disiapkan baju untuk kita,
makanan dan minuman,
kelengkapan seharian,
semuanya lengkap dan tersedia.
Jika dulu semasa musim berbuah cinta. Setiap gerak gerinya si suami sentiasa berpesan, “Jaga diri baik-baik”. Jika sakit maka si suami membawa si isteri ke hospital. Ironinya apabila selepas perkahwinan hal tersebut tidak lagi berlaku. Jika isteri hendak pergi kema-mana “belikan saya surat khabar” (contoh), tidak dipesan lagi diri si isteri untuk dijaga dengan baik dan berhati-hati. Jika si isteri sakit “biasalah, awak tu dah berumur”.
Si isteri menanggung pelbagai bebanan. Petanda berlalu musim cinta yang penuh bunga. Lebih menakutkan lagi apabila pasangan tidak langsung menyedari musim telah beralih arah. Panas dan tidak selesa. Menimbulkan banyak impak yang pelbagai. Berlaku keadaan yang dingin hingga membawa kepada ketidakbahagiaan dan perceraian. Adakah ini yang kita mahu?
Lelaki ini, harus memahami tanggungjawab dan amanah. Mana janji kononnya akan ‘hidup bersama’ yang kita luahkan dulu. Analoginya, Jangan dilupa benih lafaz ikrar dan janji yang kita taburkan dulu. Hasilnya perlu kita tuai. Jika hasilnya tiada maka benih yang kita tanam itu tidak menjadi. Hanya tinggal janji yang kosong. Kerana tidak sering kita bajai.
Lelaki yang Qawwam
Surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”.
Qawwam bermaksud (jama’:yang bermaksud banyak lelaki) bersifat umum dan dikhususnya kepada suami. Ia berasal daripada perkataan ‘qaim’ yang bererti bertanggungjawab, memenuhi keperluan prihatin, memimpin, mengambil berat terhadap kaum wanita selain tanggunjawab utama iaitu memberi nafkah yang dijelaskan dalam ayat tadi.
Ia tidak bereti andalah boss (dalam erti kata yang ekstrim) dalam rumahtangga. Bukan hanya memimpin semata-mata tapi lebih kepada rasa keberadaan bersama isteri dalam segenap hal. Cubalah tonjolkan ciri itu dalam diri ke luar. Dalam rumah dan tangga itu, andalah boss, pekerja, mandur dan sebagainya. Sesuaikan peranan itu.
Lelaki: Jadilah Ibu Untuk Anakmu
Ya, jadilah ibu untuk anakmu nanti. Bagaimana? Jawabnya ialah bersedialah daripada anda bujang. Jadikan diri kita pemuda yang bervisi, yang melihat jauh kehadapan. Dengan itu kita akan mengarah jiwa raga dan jantung hati kita bergerak kearah yang kita mahu. Bersedialah! Ia bukan sekadar laungan tapi usaha yang berterusan.
1. Wujudkan kesedaran dan kemahuan
Disegenap ruang itu, cuba perhatikan dan letakkan peluh kepenatan itu terhadap ibu kita. Letakkan empati yang tidak berbelah bagi. Cubalah untuk memahami kerja mereka. Dari pagi hingga petang, tugasnya sebagai isteri tidak pernah berhenti. Kakinya sentiasa kesana-kemari. Jarinya basah dek basuhan pinggan mangkuk yang banyak dan tidak kunjung habis. Fikirannya sibuk memikirkan hdangan dan masakan apa yang terbaik untuk keluarganya. Lenguh badannya di tempat kerja yang bertimbun. Sedarkan diri untuk semua itu.
2. Sentiasa menolong ibumu
Jenguklah selalu dicorong dapur itu. Dia masih lagi menjalankan amanahnya sebagai ibu dan isteri. Bunyi pinggan dan mangkuk silih berganti. Ringankan tanganmu menolongnya. Basuh pinggan, basuh baju, memasak, tolong siapkan ramuan dan rempah. Jika kita menganggap semua yang diatas bukan kerja seorang lelaki. Maka ia satu kesilapan yang amat besar. Buang stigma itu jauh dari kita.
Ia bukan merendahkan martabatmu sebagai seorang suami bila berkahwin nanti. Malah, ia menjadikanmu lelaki bertanggungjawab. Anda telah memenangi satu pertandingan. Pertandingan? Ya, situasi menang-menang. Isteri anda sudah bekerja membantu anda. Tiba pula giliran anda membantunya di rumah. Bukan hanya melihat.
3. Jangan pernah berhenti
Bererti dalam melakukan kebaikan jangan hanya suam-suam kuku. Sebaliknya perlu ada suatu daya ‘Burning desire’ dalam diri. Kita biasanya hendakkan perubahan dan agak sukar melakukannya pada peringkat awal. Tetapi setelah melakukannya maka perlu kita kekalkan daya itu. Agar kita dapat nikmati perubahan demi perubahan yang berlaku dalam kehidupan.
Percayalah, dengan tiga mekanisme diatas anda tidak akan kekok bila untuk menolong isteri anda. Hak keduanya akan tertunai. Perkahwinan ialah bukan setakat perkongsian hati tapi jiwa dan perilaku. Berbincang dan berusahalah dalam segenap aspek.
Apa yang penting? Komunikasi.
Sepertimana kata ramai pakar motivasi bahawa kebahagian bukan datang dengan meminta sebaliknya memberi. Ia tidak akan hadir apabila kita sentiasa menuntut hak sebalik hadir apabila kita memberikan hak. “Dia sepatutnya buat itu”, “ini bukan kerja saya”, mungkin ungkapan yang perlu dielakkan. Antara keduanya, selain beberapa hak penting yang lain seperti nafkah dan sebagainya. Perlu diperhatikan ialah hak berkomunikasi. Ia jalan bagi penyelesaian masalah. Jujur dalam tindakan dan baik sangka antara elemen terpenting.
Neraca Keadilan Atas Tanggungjawab dan Peranan
Islam sebagai agama yang adil telah meletakkan hak dan tanggungjawab bagi setiap suami dan isteri. Masing-masing ada peranannya. Apabila seorang isteri dan suami menolak hak dan tanggungjawab tersebut, bererti dia menolak neraca keadilan Islam dan menggantikannya dengan neraca keadilan buatannya sendiri.
"Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." [al-Nisa’ 4:32]
Bujukan Buat Diri
Syukur kepada Allah kerana kita masih lagi diberikan ruang dan peluang untuk hidup. Masih lagi kita menikmati segala tinta kasih Allah s.w.t kepada kita. MasyaAllah. Lihatlah pada diri kita. Lidah kita masih boleh merasa. Tangan kita masih boleh menyentuh. Mata kita boleh lagi berkelip. Jantung kita masih lagi berdegup. Nikmat mana lagi yang kita hendak dustai?
Hari ini kita masih lagi dibangunkan dengan seribu macam kenikmatan yang masih lagi diperlihara dan dijaga oleh Allah. Saya mengajak untuk kita berkata pada diri usai bangun kita daripada tidur iaitu “hayat yang disambung untuk hari ini bukan untuk digunakan bagi meneruskan dosa kelmarin”. Dengan itu, kita telah aturkan minda, jiwa dan hati kita untuk kurang melakukan perkara yang bercanggah dengan islam.
Pernah bukan kita mendengar manusia ini selalu lupa diri? Ya, mereka lupa dengan mereka tidak cuba mengenali diri. Ini kerana diri kita mengalami perubahan samada kita mahukan atau tidak. Jika hati kita tidak berubah samada kearah kebaikan atau keburukan. Perlu diingat, umur berubah dan mungkin taraf kesihatan juga berubah. Dalaman juga berubah seiring perubahan luaran berlaku. Itu sunnatullah.
Diri Kita Siapa
Entri ini ditulis bukan untuk membincangkan soal siapa kita disisi Allah secara khusus kerana umum kita telah mengetahuinya. Ia ditulis untuk kita sama-sama menerobos jurang paling jauh dalam diri kita. Kita ini selalu menghadapi krisis dalaman. Ia bergantung pada keadaan, masa dan bagaimana ia mempengaruhi hidup kita.
Keadaan ini berlaku apabila kita gagal mengawal apa yang ada dalam diri kita. Ingat bahawa dalaman penentu luaran. Sehebat manapun kita menyembunyikannya tetap akan terzahir kelakuan kita dalam bentuk tindakan. Jika dulu kita seorang yang ceria diselangi dengan hilai tawa, namun apabila krisis diri menimpa mungkin kita hanya mampu tersenyum. Diam seribu bahasa.
Wahai pembaca, tak kenal maka tak cinta. Jika sudah kenal, berkenalan lah berkali-kali. Betul, proses berkenalan bukan suatu yang terhenti. Ia perlu diteruskan kerana umum manusia dipengaruhi oleh perubahan sisi kehidupan yang berbeza. Kenali perubahan yang berlaku memikirkan cara-cara dalam menangani sesuatu perkara.
Muhasabah tentang siapa kita.
Tanyakan pada diri kita apa yang kita mahu dalam hidup.
Apa tujuan kita hidup.
Apa tanggungjawab yang kita pikul.
Biarpun beratus malah beribu. Hadapinya dengan tabah.
Selalulah memujuk kita dengan bisikan kata dan tekad perbuatan.
Ia perlu. Sentiasa.
Pujuklah Diri Kita
1. Kawal Perasaanmu Wahai Diri
Kita ini manusia selalu mengikut perasaan. Oleh itu wahai diri, jangan terlalu melayani perasaan kelak dirimu merana. Didik dan asuhlah ia agar sentiasa mengingat Allah, tuhan rabbul Izzati. Selalu kekalkan zikirmu padanya nescaya apa yang terucap dimulut dengan ribuan lafaz akan terlekat pada jiwamu. Jika tidak berjaya juga, ia bererti dirimu telah meletakkan sesuatu yang lain sebagai ingatan. Bukan tidak boleh cuma jaga, supaya jangan terlebih. Jika tidak wahai diri, ia akan menjejaskan kesihatan dirimu sendiri.
Ia punca hatimu tidak khusyuk mengingatiNya dengan tulus ikhlas. Wahai diri, cubalah dan terus mencuba. Sesungguhnya penyakit yang lebih bahaya daripada perasan ialah perasaan. Perasan hanya sekejap, kononnya “akulah yang paling pandai”. Tapi perasaan akan terbawa-bawa tak kunjung habis. Kawal ia dengan sedaya mungkin. Katakan pada diri “Aku boleh, InsyaAllah.”
2. Jangan Ikut Telunjuk Syaitan
Syaitan dicipta dan ditempatkan disyurga dan setelah melanggar perintah Allah untuk sujud pada Adam, ia dihalau keluar dari syurga. Syaitan berazam untuk menyesatkanmu wahai diri. Ia musuhmu yang nyata sepertimana kalam tuhanmu. Oleh itu wahai diri, awasi gerak gerimu kerana sabda rasulmu mereka ada dalam saluran darahmu. Sungguh dekat. Ingatkan dirimu bahawa mereka selalu membisikkanmu kata-kata jahat yang menyesatkan kamu.
Mereka tidak henti-henti menghasutmu kerana itu tugas mereka. Apa tugasmu wahai diri? Tugasmu tidak lain ialah menepis segala hasutan jahat mereka. Teguhkan amalanmu, bulatkan imanmu. Semua itu pesanan untukmu wahai diri agar dirimu tidak termasuk dalam kalangan mereka yang dihumban ke neraka. Nauzubillah.
3. Hiduplah Untuk Manusia Lain
Wahai diri yang selalu berehat dan bersenang lenang. Adakah kamu sendirian didalam dunia ini? Jawab wahai diri, jawab. Tentu sekali tidak. Masakan kamu dicipta hanya untuk dirimu sahaja. Lihat betapa ramai orang yang tidak bernasib baik sepertimu. Makan meraka tidak sesedapmu, tidur mereka tidak selenamu, pakaian mereka tidak seindahmu.
Wahai diri, bekerjalah bukan hanya untukmu tetapi juga untuk mereka. Dalam rezekimu ada rezeki mereka. Bukankah Allah itu bersifat dengan Al-Wahhab (Maha Pemberi)? Bukankah tuhanmu menyuruh berbuat baik kepada mereka yang berada dibawahmu?. Oleh itu wahai diri, hiasilah dirimu dengan kalungan kemurahan hati, seindah Nabi Muhammad s.a.w yang pemurahnya seperti angin lalu.
4. Jangan Cepat Menilai
Wahai diri, kenapa engkau selalu berprasangka buruk. Mengapa?. Hanya dengan sekali imbas engkau meletakkan nilaian yang tidak berasas. Jika dilihat orang itu tidak bertudung dengan pantas hatimu berkata “Ini bukan muslimah sejati”. Jika dilihat orang membentakkmu lantas kamu berkata, “ahh, dia berniat jahat”. Kenapa begitu? Hanya setakat itu sajakah ilmu yang tinggi kamu gunakan? Untuk menghukum dan terus menghukum.
Muhasabah kembali atas nilaian apa yang kamu lihat. Tidakkah kamu memberikan nilai rahmat Allah yang maha pengampun. Tidakkah terdetik dihatimu bagaimana caramu untuk membantunya. Oleh itu wahai diri, lihat kembali jauh disudut hatimu. Fikirkan cara untuk menolong mereka bukan untuk membentak membuta tuli. Sesungguhnya usahamu jadi penentu bukan sahaja hasilnya.
5. Jangan Selalu Berprasangka
Sesungguhnya prasangka itu membunuh jiwamu. Memutuskan usahamu. Mengurangkan pahalamu. Sesungguhnya prasangka adalah salah satu bisikan syaitan kearah pendengaranmu. Oleh itu wahai diri, biaskanlah dirimu mendengar perkataan yang baik-baik. Kalimah tayyibah dan kalamullah biarkan ia sentiasa meniti digegendang telingamu.
Supaya dengannya dirimu akan memikirkan kebesaran ciptaan Allah. Membesarkan kerajaan miliknya yang tiada tara. Menjemput kedatangan sikap positif yang sentiasa akan menjadi penawar kepada racun prasangka dirimu. Fikirkan yang baik-baik. Lihat saja lebah, fikirannya selalu kearah madu debungan hingga terhasil melalui tindakan.
6. Jangan terlalu mencinta
Perasaanmu wahai diri, sungguh indah. Allah kurniakan berbagai perasaan dalam satu hati. Kamu mencintai segala yang kamu hendak. Wanita, harta, anak, pangkat, kedudukan dan berbagai lagi. Ingat wahai diri, perkara yang kamu cintai itu akan menjadi ujian buat kamu. Bersedialah menghadapi onak dan duri di alam ujian percintaan.
Kata-katamu akan diuji, jiwamu, jasadmu, emosimu, fikiranmu. Oleh itu wahai hati, cintailah yang mencintaimu iaitu Allah yang menciptakanmu. Kerana jika kecintaanmu pada teguh padanya, dirimu akan bisa menghadapi ujian-ujian cinta yang lain. Dirimu lemah, perlukan Allah sepertimana jasadmu perlukan udara. Percayalah, malah lebih daripada itu.
7. Cari Masa Bersama Allah Biarpun Kesibukan
Mungkin anjuran ini wahai diri agak dangkal dengan ilmumu. Sepatutnya Allah mesti ada dalam hati bukan? Tapi kenapa disuruh mencari masa bersama Allah sedangkan menyembah Allah itu wajib dan perlu sentiasa ada masa?. Sebenarnya wahai diri, engkau selalu melupakan tuhanmu. Yang menciptamu daripada tiada kepada ada. Namun, hambatan dunia menyebabkan engkau terlalu sibuk. Hingga menyembah tuhan tika solatmu saja sudah dianggap tanggungjawab bukan tanda kecintaan untuk mendapat redha.
Oleh itu wahai diri, perbetulkan konsepmu. Bukan lagi, kata-kata “Dunia pun dunia juga, akhirat jangan lupa” tetapi lebih kepada “Akhirat pun akhirat juga, dunia jangan lupa” kerana inilah auwlawiyyat yang Al-Quran ajarkan. Cuma dunia ini jangan terlalu.
Pesanku kepadamu wahai diri, beribu. Agar engkau bisa meneruskan hidup ini dengan semangat yang utuh, iltizam yang tak padam serta tekad yang berterusan. Agar apa yang dicitakan oleh setiap diri untuk mendapat redha Allah itu akan menjadi matlamat jalan ceritamu. Ingat pesanku wahai diri. Ingat.
Motivasi dan Nilai Diri
Tulisan kali ini disepanjangnya saya letakkan nilai air mata kehampaan, pendustaan, kerapuhan dan penuh persoalan. Manakan tidaknya, sebagai manusia kita akan sentiasa mengharapkan sesuatu yang baik yang menjadi tunjang kearah satu kehidupan yang baik. Persoalannya adakah kita membina penghidupan yang baik. Kehidupan mungkin hanya cukup sekadar makan, pakai, tidur, kerja dan pelbagai urusan lain. Tapi penghidupan memerlukan daya usaha yang lebih. Iaitu sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini.
Antara motivasi dan nilai diri mesti seiring. Jika lagu ia diibaratkan sebagai nada dan irama. Jika jari kita ibaratkan seperti isi dengan kuku. Jika badan kita ibaratkan ia seperti kulit dan daging. Keduanya saling bersangkutan. Dahulu, apabila ada orang bertanyakan saya tentang kenapa berhenti menulis buat seketika, jawabnya kerana saya diuji dengan apa yang saya tulis. Ya, itu sebab saya berhenti menulis. Mungkin apa yang saya tulis belum mampu sepenuhnya saya capai.
Bagi saya nilai diri seseorang bergantung terhadap penyerapan dan penghasilan ubat bernama “motivasi”. Tidak kira samada ia berbentu inside out atau outside in. Semuanya harus saling bergantungan. Demi Allah sebagai umat islam, saya merasakan kita patut membinanya daripada luar ke dalam dan barulah kita dapat menghasilkan motivasi dalam ke luar. Ini yang dikatakan kitaran motivasi.
Kadang-kadang nilai diri kita lemah hasil daripada faktor persekitaran yang begitu menekan kita. Dalam apa jua bentuk samada orang- orang sekeliling ataupun banyaknya idea yang tidak tetap bagi kita untuk pegang. Tahap nilai diri kita akan turut sama menurun akibat turunnya motivasi. Lemah, kaku dan tidak bermaya. Ya, badan kita akan menzahirkannya.
Disaat itu, orang disekeliling kita akan menyedari yang kita tidak lagi seperti biasa. Kita mengharapkan keteguhan khususnya daripada orang yang berada disekeliling, namun tetap gagal. Kerana mereka pun tidak merasai kerana mereka cuma mengerti.
Bukan kita tidak mahu berubah
Setiap manusia saya percaya mereka mengimpikan sebuah perubahan. Namun, apa yang membataskan mereka adalah acuan pemikiran mereka. Minda bawah sedar mereka memainkan stigma yang begitu negatif. Ia berbeza dengan orang yang memberi motivasi. Stigma minda mereka sentiasa positif. Apa yang perlu dilakukan bagi mereka-mereka yang mempunyai stigma positif ini adalah dengan membantu orang stigma negatif bukan mengikut cara mereka. Tetapi mengikut pengdekatan yang mampu stigma negatif lakukan.
“aku tidak boleh berubah kerana aku malas”
“aku bukan tak mahu buat tapi aku tak pandai”
“aku bukan tidak ada kesedaran tapi ia susah”
Mungkin bagi mereka yang mempunyai stigma positif akan merasakan alasan yang mereka berikan merupakan perkara atau masalah yang mudah dan boleh diatasi oleh mereka. Tapi bagi mereka yang mempunyai stigma negatif ia adalah terlalu sukar. Mereka seharusnya memahami orang lain atau apa yang disebutkan “memasukkan kaki kedalam kasut seseorang”. Baru terasa bagaimana keadaannya.
Berubah adalah bergantung pada tahap manusia mencarinya serta rahmat dan kasih sayang Allah terhadap hambaNYA.
Dan kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang memberikan hidayah dan pertunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal kami tidak sekali-kali akan memperoleh pertunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan Kami dengan membawa kebenaran". Dan mereka diseru: "Itulah Syurga yang memberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan". [Al-A’raf: 43]
Beza Antara Terasa Dan Merasai
Kita ini manusia dan hati kita selalu dibolak-balik. Kita tidak meletakkan perasaan yang sama seperti orang lain. Kita hanya nilai diri mereka dengan cara yang salah. Meraka hanya terasa tetapi mereka tidak cuba merasai. Ia menunjukkan meraka gagal dalam merasai nilai. “Intrinsic value” yang agak rapuh sebegini membentuk satu ketidaksefahaman antara manusia.
Kita kurang memahami masalah orang lain. Kerana kita hanya fikir masalah kita sendiri. Kita lebihkan masalah kita menjadi satu prioriti utama dengan mengetepikan parioriti orang yang lain. Langsung tidak kita fikirkan bagaimana susahnya orang lain meletakkan parioriti dalam hidup dan tanpa segan silu kita mengubahnya mengikut selera dan kehendak kita.
Contohnya, jika kita tahu ada orang yang tidak mampu memberikan sesuatu perkara yang kita mahukan. Kemudiannya kita memaksa dalam pelbagai bentuk. Pernah atau tidak kita berfikiran adakah mereka itu mampu memberikan apa yang kita mahu. Jawapannya “tidak”, kita tidak pernah fikir.
Teringat kata-kata As-Syahid Imam Hassan Al-Banna “Kalaupun orang lain membaling kita dengan batu. Kita jadilah pokok yang mampu mengembalikan buah sebaik sahaja menerima batuan kasar”. Dalam konteks ini. Secara analoginya, adakah orang yang tidak mampu menjadi pohon yang rendang dan mengembalikan buah sedangkan ia tidak langsung punyai buah. Yang ada hanya ranting-ranting dan daun-daun. Itulah yang dikembalikan.
Membentuk Nilai Sayang Dalam Diri
Antara cabaran kita pada zaman yang bersifat sendiri atau berseorangan “nafsi-nafsi” adalah suasana dimana susah membentuk nilai sayang dalam diri. Sayang terhadap diri sendiri, orang lain, kaum keluarga, sahabat adalah bermula dengan mujuhadah. Tanda sayangkan diri adalah takut melakukan kemungkaran kerana dibimbangi kelak diri dijilat neraka. Nilai sayang pada umah dan masyarakat adalah untuk mengajak mereka sama-sama menyayangi diri dengan melakukan kebaikan.
Bayangkan terlalu sukarnya hidup tanpa kasih dan sayang. Kerana dengan kasih sayang akan timbul bahagia. Orang yang kehilangan kasih sayang akan merasakan diri mereka jauh terjunam dalam lembah kebinasaan. Jika kita meletakkan nilai sayang, maka rasa marah kita akan reda. Jika kita ditolak akibat mengajak masyarakat kearah kebaikan. Kita tidak akan marah. Itu hebatnya nilai kasih dan sayang.
Nabi Muhammad s.a.w apabila berdakwah ke Taif, dilempar dengan batu. Namun, apabila malaikat menawarkan hempakan gunung kepada penduduk taif maka dengan rasa kasih dan sayang Rasulullah memaafkan mereka dengan seribu pengharapan. Jika mereka tidak mahu beriman, mungkin anak cucu mereka mengikut dakwah. Ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Kesalahan Meletakkan Persamaan
Antara ayat yang menjadi kebiasaan adalah “Dia boleh buat macam kenapa kita tak boleh”. Tahukah kita yang mana “dia dan “kita” adalah tidak sama. Manakan boleh kita meletakkan persamaan manusia dengan manusia lain tanpa melihat kepada pokok atau asas kepada nilai persamaan yang dibentuk. Lelaki dan perempuan tidak sama. Masyarakat bandar dan desa tidak sama. Negara asia dan eropah tidak sama.
Kita tahu manusia dibekalkan dengan kepelbagaian darisegi kebolehan dan kecenderongan pemikiran. Islam sebagai agama yang lengkap menghargai kepelbagaian manusia. Kelebihan diletakkan sama dengan kecenderongan seseorang. Medan dakwah sangat luas dan bukan tugas kita untuk menyempitkannya pada hal dan keadaan tertentu. Luaskan dan pemudahkan. Jika kita menyempitkan medan susah ini akan menjadi lebih susah.
Analisis pemikiran
Bila kita berbicara tentang pemikiran, saya telah membuat beberapa penilaian. Dimana saya perhatikan orang yang banyak berfikir biasanya rambut mereka akan kian hilang dikepala. Mungkin, ia berbunyi agak lucu jika diperhatikan secara biasa-biasa. Namun, bagi orang-orang begini mereka selalu berfikir dalam hendak membentuk nilai terutama dalam sistem pemikiran mereka.
Orang islam juga harus begitu, harus lebih fokus dalam berfikir. Jika rambut kita gugur sekalipun, jangan biarkan ia gugur hanya dengan sia-sia. Pastikan gugurnya itu, membenihkan buah fikiran yang bernas. Manfaat buat semua. Tapi realiti itu tak seindah fantasi, usahkan nak berfikir ditahap yang berbentuk idea dan reka cipta malah hendak berfikir soal kehidupan pun tidak mampu. Bukankah Allah menggalakkan kita berfikir?
Orang yang berjaya, mereka membentuk apa yang dinamakan sistem diri. Mereka menentukan bagaimana diri mereka diproses atas sistem yang mereka pilih. Ini kerana apa yang kita pilih membentuk karektor diri, samada kita mebentuk karektor diri orang yang berjaya atau orang yang gagal. Orang yang gagal biasanya menentukan sistem hidup berdasarkan takdir yang buruk. Mereka telah tentukan takdir mereka dengan karakter buruk yang mereka bentuk. Sebalik mereka yang memiliki ciri orang yang berjaya adalah berusaha bagi mencapai takdir yang baik. Kadang-kadang saya bertanya pada diri, adakah itu yang saya lakukan dalam hidup?
Nilai Diri Terhadap Kesusahan
Hidup ini medan ujian. Jangan diminta hidup yang senang tapi mintalah hidup yang tabah. Jangan minta hidup yang senang kerana hidup tidak pernah senang kerana sentiasa ada halangan. Tapi hati ini, hati kita. Boleh berubah. Mintalah hati yang sentiasa tabah dalam mencari jalan penyelesaian.
Ambil masa, jangan cepat melatah. Kadang-kadang bukan kita tak mahu, tapi kurang mampu. Allah itu dekat dengan kita, mintalah kepadaNYA. Teringat saya kata-kata Dr. Ustaz Tariq Ramadan "When I pretend to be strong, no one sees my hidden tears except Allah. When I'm sad and need a shoulder to cry on, no one supports me but Allah. Pleasing a human is very difficult, pleasing Allah is the easiest. People sometimes punish me for mistakes I have not done, Allah ignores and excuses the one that i did. This is Allah, The Greatest, The Most Almighty, The Most Beneficent, The Most Merciful, and all praises belongs to Him."
Hadapan Yang Tiada Belakangnya
Sungguh masa berlalu pantas tanpa sempat itu kita berbuat sesuatu dalam menentukan hidup. Dalam kesibukan kita, terasa pantas masa berlalu. Kenangan yang dahulunya tertinggal jauh anehnya semakin menghampiri. Sebaliknya yang dekat terus menjauh dan tidak aneh kalau dikatakan ia akan kembali mendekat kepada kita. Hadapan yang tiada belakangnya,agak pelik bunyinya bukan? Tapi itulah coretan penulisan yang mungkin singgah dalam kotak kaca pemikiran. Masa sungguh aneh, sehinggakan Allah s.w.t menggunakan sumpah dengan masa. “Demi masa, sesungguhnya manusia kerugian” (Surah Al-Asr ayat 1-2). Semua ini menunjukkan betapa masa itu penting dan sangat berkait rapat dengan manusia.
Manusia hakikatnya terpalit antara masa depan dan masa silam. Manusia secara relatifnya terbentuk hasil daripada masa silamnya. Samada yang membezakannya adalah pengaruh itu mempengaruhi hidupnya secara total atau sekadar bersahaja. Anda dan juga saya, semua kita (manusia) begitu. Namun, atas kebijaksanaan kita mengatur setiap daripada masa silam untuk menentukan kejayaan. Ada insan yang mengambil ikhtibar daripada masa silam samada baik atau buruk dan membentuk diri juga berkadaran dalam lingkungan baik atau buruk.
Indahnya dan bahagianya seseorang itu, bila ia menjadikan masa silamnya untuk melonjakkan dirinya terus berjaya atas kapasiti percaya. Ketika menulis artikel ini, beberapa contoh berlegar untuk dipetik kisah-kisah insan yang berjaya dan meungkin contoh yang saya berikan berminat untuk anda tatapi khususnya remaja. Pernah dulu seorang pelajar ini sangat meminati bidang fotografi dan seadaya upaya berusaha mencapai impiannya. Kisah bermula apabila bakal isterinya memberitahu kepada ibu si perempuan tentang pekerjaan si lelaki ini. Dengan bentakan keras ibunya melarang perhubungan mereka, lantas secara tidak sedar menghina pekerjaan lelaki tadi yang baginya tiada masa depan.
Kekecewaan Yang Membakar Semangat
Maka dengan kehinaan tadi, seolah membakar sumbu potensi diri bagi si lelaki. Alhamdullilah sekarang si lelaki merupakan seorang “otai” dalam dunia fotografi. Lihat bagaimana manusia mampu mengeluar “energy beyond limits”. Bagaimana si lelaki mampu membina keyakinan atas kekecewaannya dalam menghadapi ujian. Sebut sahaja contoh-contoh yang lain, apa saja!. Lihatlah yang kita tidak akan mampu berbuat apa-apa jika Allah menghendaki barang sesuatu itu terjadi.
Begitulah kaitan jalan cerita dengan tajuk artikel ini. Seseorang yang hebat mampu melihat visi dan misi hidup dengan jelas. Menjadikan masa lalu sebagai batu lonjatan dan bukannya batu penghalang mencapai kejayaan. Tidak salah untuk melihat ke belakang cuma jangan pula tersekat kehadapan dekat terpaku dengannya. Manusia seperti ini akan melihat bahawa ia menerima didikan secara langsung daripada Allah maha esa yang mana meletakkan keyakinan pada tahap yang tinggi. Ia akan membentuk setminda yang bertindak selari dengan set keyakinan yang mendorongnya untuk berjaya.
“Manusia tidak akan mampu menanggung dua beban dalam satu masa yang sama; beban kesakitan yang lalu dengan bebanan tugas yang dilaluinya sekarang. Kerana Allah tidak menjadikan manusia mempunyai dua hati dalam satu-satu masa”
Kenangan Anggota Yang Merindui 1 Tempat Sujud
Sujud itu akan menemukan 7 anggota untuk menuju TUHAN nan satu dan esa. Mereka tunduk kepada kekuasaan dan kehebatan TUHAN pencipta langit dan bumi. Sudah beberapa minggu berlalu, tempat sujud itu buat sementara tidak mampu untukku sentuh. Bukan kerana beribu rajuk, juga bukan kerana kesudian jiwa membungkam. Namun dek kerana masalah kesihatan tidak memungkinkannya. Sungguh ketujuh anggota ini merinduimu.
Tempat sujud itu, dahulunya tidak layak bagiku untukku sentuh. Ramai yang telah mendidikku untuk berani berpijak diatasnya. Tempat sujud itu, dahulu sentiasa menemaniku dalam setiap urusan semasa pernah memegang jawatan dahulu. Jawatan yang memungkin aku untuk mengenali dan dikenali diatas kapasiti positif. Di situ, aku sentiasa memintal kata-kata dengan harapan semua mendengar. Di situ, tempat aku membuka ruang untuk belajar tentang masalah yang sering bermasalah.
Di tempat itu, tertumpahnya seribu kenangan yang selamanya akan terpahat di ruang hidup. Kerana tempat itu, segala pujian dan sanjungan sering saja bertukar kritikan dan cemuhan. Namun semua itu ku hadapi dengan penuh sabar. Bukankah Allah menyatakan “sabar itu indah”. Keindahan sabar terserlah dengan sabar membentuk kita menjadi seseorang yang redha dengan ketentuan dan berusaha mencapai kebahagian dalam kesusahan.
Maaf Kerana Tidak Mampu Memilih
Memasuki tahun 2011 yang baru memungkinkan nafas baru dalam kehidupan. Sekali lagi diri diminta untuk memegang jawatan itu. Sungguh diri ini bukan tidak mampu. Tapi ada beberapa perkara yang menghalang dan tidak memungkinkan ku memegangnya. Biarlah ia menjadi kemboja yang kembang meskipun hanya dikuburan. Segalanya masih segar walaupun semuanya telah berlalu.
Kepada semua yang memujuk atas ketidakupayaan ini. Ustaz Abdullah, Ustaz Kamil Jaafar, Ustaz Zawawi, Ustaz Shidki dan Wan Norlail, maafkan lah kerana tidak bisa memilih. Meninggalkannya amat berat bagiku, namun ia harus dan perlu. Perlantikan Che Mohd Rozairi akan lebih memberikan impak yang positif dalam memimpin, diharap dapat memberikan nafas baru dalam program-program yang berlangsung.
Janjiku hanyalah membantu mana yang perlu, janjiku dulu supaya “tidak akan melepaskan semua yang pernah bersama” akan kutepati. Ingin sekali menjadi seperti tulang belakang, sentiasa menjadi organ terpenting walaupun dirinya tidak dipuji. Ya, memberi tanpa menerima balasan. Berbekalkan rasa sayu bertemankan kesibukan cuti pertangahan semester kali ini sungguh bungkam.
“God Move In Mysterious Way”
Begitulah ungkapan kata yang terlintas mengenangkan kejadian yang berlaku pada cuti semester kali ini. Sejak sekian lama otak ligat berpusing untuk menjejakkan kaki ke utara tanah air. Seakan semuanya berjalan lancar, kali ini cuti dihabiskan sebahagian di utara tanah air. Semua beg dikemaskan, kereta Syazwan menjadi transport kesana. Bersama Daud, Syazwan, Mustaqim dan Badrul, pelbagai cerita terpanpang mengiringi perjalanan kami. Suka duka silih berganti. Aku mengambil kesempatan menghabiskan buku bacaanku, Dimana Dia Dihatiku karya Pahrol Mohamad Juoi. Buku yang sungguh menarik, dan turut dikongsi jalan penceritaannya kepada Badrul.
Kedengaran satu suara “tengok, bad dah kena ceramah dengan hafifi”. Gelak tawa kami menggamit suasana.
“Bad Buku ni bagus, antaranya ialah persoalan apa yang perlu dalam kehidupan”. Jelasku sambil mata memandang ke luar tingkap.
“Apa yang kita perlu dalam kehidupan?” tanyanya seolah tertarik dengan persoalan pertama.
“Manusia biasanya melebihkan perkara suka berbanding perlu. Kebanyakkan perkara suka didunia biasanya membawa kepada duka sebaliknya perlu membawa kepada suka diakhirat”. Terangku sedakar mahu menarik perhatian.
“Contohnya manusia suka pada tidur, bila waktu subuh menjelang. Sedangkan manusia perlu bangun untuk menunaikan solat subuh. Lihat bagaimana manusia lebih mementingkan soal suka berbanding perlu. Kita semua boleh fikirkan contoh yang lainkan?” soalku menduga dan hanya dibalas dengan senyuman.
“Apa lagi yang menarik?” tanya bad.
“Banyak antaranya, persoalan hati, kehidupan, kematian, jodoh dan sebagainya”. Jawabku senyum. Sengaja mengambil contoh-contoh yang biasanya remaja gemar.
Buku itu ku serahkan untuk tatapannya selama seminggu bercuti, dan insya-Allah ada keberkatannya disisi Allah. Begitulah apabila kita sentiasa menuturkan persoalan kebaikan dalam kehidupan. Sentiasa ada yang menarik minat jiwa yang sentiasa dahagakan kebaikan. Ingatlah, Apabila kita sentiasa menginginkan keredhaan Allah dalam hidup maka akan datang keredhaan manusia dalam jaulah kehidupan.
Surau yang mengimbang kenangan
“Hafifi, macam mana kita hendak melapangkan hati?” tiba-tiba diri ditanya soalan sebegitu.
“Emm, Senang saja”. Jawabku sambil tersenyum.
“Ini yang nak tanya ni”. Tergambar sinar wajahnya mengharapkan jawapan yang tulus.
“Begini, apa punca hati sempit?. Antaranya keras hati. Apakah punca-punca keras hati?” itu kena cari ilmu dengan ustaz-ustaz lain lain”. Jawabku singkat sambil bergurau.
“Hafifi, betul-betul la jawab tu” usiknya sambil bergurau.
“Begini, saya bagi contoh mudah. Contohnya dalam hubungan kita di Alam manusia ni, kita sering menyakitkan hati orang dan disakitkan juga oleh orang lain. Maka jika itu terjadi dada kita akan jadi sempit, hati runsing, tidak tenang dan sebagainya”. Jawabku dalam menggapai kejelasan.
“Jadi, apa perlu kita buat?” soalnya.
“Mudah je dari segi teori, tapi praktikalnya agak susah, macam biasalah. MEMAAFKAN dan itu lah yang terbaik. Kerana ramai manusia yang boleh memaafkan kesalahan orang padanya, tetapi percayalah tidak ramai yang mampu untuk MELUPAKAN. Kerana manusia diberikan suatu sikap yang mana belajar daripada kesilapan.” Jawabku mengharapkan pemikirannya terbuka untuk berfikir.
“Oh, begitu. Betul juga tu” jawabnya sambil senyum tanda keyakinan.
“Cubalah kaitkan dengan contoh-contoh yang lain, Insya Allah dapat jawapan atas persoalan yang sebenar atas pertanyaan sebenar daripada empunya badan” jawabku sambil memerhatikan soalan tadi bukan soal sebenar. Mungkin pertanyaan tadi yang mampu menjawab dengan persoalan yang sebenar.
Tiba-tiba tanganku mencapai telefon sambil memerhati satu mesej yang dihantar yang seorang guruku.
“Ditengah lautan tidak bertepi ini, sedang enak menikmati bacaan kalamullah dari seorang insan yang insya Allah penuh barakah pada dirinya. Dari harinya tergambar kesyahduan, menginsafi kelemahan diri tentang dimana letakkan Al-Quran dalam diri. Sekadar membaca dan mentadabbur masih belum cukup. Kadang-kadang kita sering mencari kebenaran dalam masa yang sama kita menyumpah kejahilan. Sehingga pada waktu itu kita sudah tidak mempunyai masa lagi untuk berbuat apa-apa, Alangkah ruginya tatkala itu. Moga Allah menerima amalan kita, mengampuni dosa-dosa kita, ibu bapa kita dan orang yang pernah melakukan kebaikan pada kita.” Amin.
-
Tulisan kali ini mengajak untuk saya dan anda menelusuri soal jalan. Jalan yang dibentangkan seluas-luasnya. Direnung setiap perkara yang te...
-
Kata Hukamak, Manusia lahir dengan tangisan. Manusia mati juga dengan tangisan. Apakah yang membezakan keduanya? Tangisan semasa terhadap du...
-
Jiwa RagaKu Sudah lama jari ku tidak menari, menari melukis kata yang selalu bermain difikiran. Ia meronta kesunyian kerana sudah lama terpe...
-
Buku ini amat berguna dengan menekankan beberapa Bahagian yang cukup menarik, 1. Bahagian satu – Nota Hati Seorang Anak 2. Bahagian dua – No...
-
Adat dalam waktu himpunan memiliki dunia. Yang hidup diselangi yang mati, yang muda diselangi yang tua. Yang sihat diselangi sakit. Ini kera...
-
Buku ini merumuskan kunci-kunci untuk kejayaan disampaikan dalam format yang mudah dan ringkas tetapi tepat. Rasulullah s.a.w. dan para saha...
-
Perkaitan dengan usrah Di IPGM KSM banyak kumpulan usrah yang mendokongi segelintar pelajar namun pelajar harus memahami metodologi yang buk...
-
Tulisan kali ini saya tumpukan pada skuad Harimau Malaya pimpinan Datuk K. Rajagopal. Tidak saya ingin mengulas secara taktikal permainan bo...
-
Khabaran buat Semua 12 hari terasa lama jari tidak menekan papan kekunci bagi menulis sesuatu. Tulisan pada kali ini terasa agak berat. Mung...
-
Sajak kali ini nukilan khas seseorang yang amat rapat denganku dahulu hingga sekarang. Mengajar banyak erti dalam kehidupan tatkala berada...