Dikala mendengar bacaan sayu daripada Syeikh Muhammad Musa, terasa diri ini ingin berkongsi tentang ucapan seorang tokoh agama yang terkenal di Malaysia. Sentuhannya cukup memukau dengan kilauan mutiara umpama keluar daripada mulutnya. Sungguh ia sukar dicari ganti dengan kebanyakkan tokoh agama. Allah telah kumpulkan hati-hati yang hidup untuk bersama dengan agamaNya, sebagaimana sentuhan pada jiwa yang mempunyai nyawa. Terimalah pesanan beliau ini sebagai hiasan dinding hatimu.
Assalamualaikum,
Marilah sama kita mengucapkan syukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan rahmat dan kurnianya, maka Allah s.w.t memanjangkan usia dan umur kita. Lalu kita sempat bertemu dihari yang mulia ini, mudah-mudahan kita dalam suasana bertakwa kepada Allah. Dalam suasana masing-masing menjaga hak-hak Allah dan mampu bangun sebagai seorang individu muslim yang amat bertakwa kepada Allah.
Kerana setiap hari kita perlu menasihati diri kita, sebaik saja kita bangun daripada tidur kita telah kita mengucapkan syukur kerana Allah menghidupkan kita. Berikah nasihat kepada tubuh kita dan nyatakan beberapa perkara:
1. Wahai tubuh, hari ini engkau bertambah hampir untuk bertemu dengan Allah. Bila mana engkau mati nanti orang akan menyenang kamu beberapa hari sahaja. Mungkin sehari dua orang akan menangisi kamu.
2. Wahai mata, engkau akan dihisap oleh Allah s.w.t. Awasilah apa yang akan kamu lihat hari ini.
3. Wahai tangan, janganlah engkau memegang sesuatu yang diharamkan oleh Allah kerana Allah akan menghisab kamu nanti. Dimana kamu tidak akan mampu menjawanya dihadapan Allah s.w.t.
Demikianlah kita menasihati seluruh anggota tubuh badan kita agar patuh kepada Allah. Kerana nasihat yang baik ialah kita mampu menasihati diri kita sendiri sebelum orang lain menasihati kita. Oleh kerana itu janganlah tertipu dengan dua perkara.
Jangan tertipu dengan usia yang muda, kerana kita menjangka seolah-olah kita lambat lagi untuk berjumpa dan bertemu dengan Allah. Jangan tertipu dengan muda kerana mati bukan syarat tua. Dan jangan tertipu dengan tubuh badan yang sihat. Mungkin kita tidak ada sebarang penyakit. Tetapi ingat, kematian tidak syarat sakit. Orang yang kuat boleh meninggal dunia sebagaimana yang sakit boleh meninggal dunia.
Oleh kerana itu, semua manusia mesti bersiap sedia dalam menghadapi hari-hari yang akan datang dan benar-benar menjadi hamba Allah s.w.t. sekiranya kita mampu menjadi seorang individu muslim yang bangun ditengah-tengah masyarakat dan mampu memberi manfaat kepada orang lain, lalu kita lakukan perkara tersebut kerana sesungguhnya kita akan dinilai oleh Allah tentang apa yang kita lakukan.
Ternyata bukan umur yang menjadi nilai, yang penting ialah apa yang diisi dalam umur itulah yang menjadi penilaian yang penting. Kerana sesungguhnya usia dan umur bukan milik kita. Ia merupakan hak Allah dan terpulang kepada Allah untuk menentukan umur kita. Yang penting pada kita ialah bukan saja umur yang panjang, tapi apa yang kita isi dengan umur tersebut.
Alangkah ruginya kita bila Allah kurniakan umur yang panjang, tiba-tiba kita mengisi usia tersebut dengan menjauhkan diri dengan Allah. Kita melakukan maksiat dan derhaka pada Allah, seolah-olah kita tidak akan kembali kepada Allah s.w.t.
Lihatlah gelagat sebahagian manusia, yang sombong dengan Allah. Ditubuhnya jelas tanda-tanda ketuaan yang jelas. Namun, dimana iman dan takwanya? Sepatutnya kita sedar yang kita tidak patut derhaka kepada Allah. Kita mungkin boleh bercakap, boleh mengeluarkan idea, boleh menegur dan sebagainya, namun ingatlah kita hamba Allah s.w.t. jangan sekali-kali bertindak seolah kita tidak ada Allah s.w.t.
Perhatikan orang yang bertindak dengan hatinya tanpa iman. Dia mengucapkan kata-kata derhaka kepada Allah. Seolah-olah tidak ada iman dan tidak ada akidah. Dimanakah nilai muslim yang ada pada kita. Allah tidak ciptakan mulut untuk derhaka kepadanya, tidak mencipta akal untuk memikirkan bagaimana hendak berbuat maksiat kepada Allah. Oleh itu, bertindak mesti ingat yang kita ada Allah.
Ada perkara yang boleh kita tuturkan, dan ada yang tidak. Kata yang kita tutur itu mestilah selaras dengan kehendak Allah dan rasulNya. Dan mungkin dalam perkara lain kita diberi kebenaran selama tidak bercanggah dengan perintah Allah. Marilah kita melihat sebagaimana peristiwa yang berlaku digambarkan ketakwaan seorang hamba Allah yang digambarkan memalui seluruh tingkah lakunya.
Jika seorang melakukan sesuatu dan inginkan sanjungan daripada manusia. Ia belajar tinggi untuk orang memanggilnya doktor, dengan gigih dia mendapat harta yang banyak, agar orang memanggilnya jutawan. Dia membanyakkan derma terkadang dengan niat agardia dipanggil sebagai dermawan. Apakah kesan kita terhadap pujian manusia. Adakah menambah ego kita?.
Demikian kata ulama, manusia berasal daripada air mani yang tidak ada kekuatan sedikitpun. Lalu ia membesar. Dengan asalnya itu dia menjadi bangkai yang tidak ada harga. Bangkai ikan masih lagi boleh dimakan, namun bangkai manusia hanyalayak dimakan oleh cacing-cacing di dalam tanah.
Demikianlah agar kita tidak sombong dengan Allah s.w.t. Agar tidak juga sombong dengan makhluk Allah.
Agar kita tidak derhaka dan takabur kepada Allah, kerana Allah maha agung untuk kita jadikan diri kita sombong dan takabur.
Sesungguhnya nilai kekuatan iman dan akidah itu, berpaksi kepada tauhid dan berpaksikan ilmu yang ada pada kita. Seseorang itu tidak mungkin melakukan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan dan tidak meungkin ia terdorong untuk melakukan ibadah tanpa ilmu dan keyakinan. Oleh kerana itu, apabila hati manusia jauh daripada ilmu.
Bagaimanakah hidayah hendak masuk di dalam hatinya? Bagaimana penyesalan orang yang tidak mendengar nasihat yang baik? Ada kuliyah dia tidak hadir, ada forum dia tidak hadir, habis malam dengan maksiat pada Allah. Habis siangnya dengan derhaka kepada Allah. Bagaimana hati hendak takutkan Allah? Tentu akan lahir hati yang bertambah keras, jauh dan jauh daripada rahmat Allah.
Bilamana seseorang itu tidak mahu melakukan kebaikan, akan terdedah penyesalan sepertimana yang digambarkan oleh Allah dalam firmanNya. Mereka menyatakan kalaulah waktu di dunia dahulu aku mendengar, kemudian aku menerima nasihat tentulah aku tidak akan dihumban ke nereka Sa’e. Timbul penyesalan dalam hatinya, kenapa aku buat maksiat kepada Allah?.
Kerana telinganya tidak mendengar pernah mendengar nasihat, kerana hatinya tidak pernah menerima ketukan nasihat yang baik. Bagaimana hendak melakukan perubahan kalau telinga tidak pernha mendengar nasihat. Telinga mendengar perkara yang lagha yang menjauhkan dia daripada rahmat Allah.
Manusia tidak lahir sebagai wali Allah. Hatta wali-wali Allah sekalipun, mereka tidak lahir terus menjadi wali. Mereka itu lahir dengan belajar dan mendalami. Mereka menambahkan rasa takut pada Allah, tambahkan ibadah pada Allah, mereka sentiasa takut kepada Allah. Sedikit demi sedikit mereka memperbaiki diri mereka. Mereka baiki akhlak dan hubungan mereka dengan Allah. Maka layaklah mereka mendapat gelaran kekasih Allah. Semata-mata mereka berusaha mencari jalan-jalan kebaikan.
Jika kita lihat sewaktu tokoh-tokoh islam yang terkenal dalam sejarah. Mereka meninggal dalam usia yang cukup muda dengan penuh ketakwaan yang menyebabkan kita memikirkan diri kita. Lalu kita bertanya kepada diri kita, bandingkan amalan kita dengan mereka. Umar bin Abdul Aziz, diriwayatkan meninggal dunia dalam umur 37 tahun. Kita hari ini, bagaimana umur kita jika 37 tahun? Ketakwaan kita, warak kita, zuhud kita, ibadah kita, adakah sedang menghampirkan diri pada Allah.
Semoga Allah s.w.t merahmati kita dan menjanjikan kebaikan untuk kita bersama. Kerana sesungguhnya nilai nasihat itu, tidak lain hanyalah amalan. Dan sesuatu itu berguna bila kita dapat mengamalkanNya. Jika kita hanya mendengar tetapi tidak mampu kita amalkan maka ia tidak lebih daripada menjadi halwa telingan yang kosong.
Sekian,
Tuan Ibrahim Tuan Man
Sungguh, indah sekali ucapan yang beliau berikan. Nilai ucapan itu atas dasar ilmu dan iman bukan atas dasar kebencian membuak atau atas dasar kepartian. Nescaya akan terbit sinar iman yang membuahkan amalan dalam setiap detik masa dan bait kata.
No comments: