ISLAMIK

Editorial

Atas Neraca Apa Nilaian Kita

“Ustaz, saya nk bertanyakan sesuatu”. Pernyataan tersebut menerjah tatkala ustaz ayub usai solat zohor.

“InsyaAllah saya sudi mendengarnya”. Jawapan balas Ustaz Ayub menguntum senyuman meringankan beban yang ditanggung irwan.

“Kenapa kelihatan resah saja irwan, jangan irwan mengadu soal cinta sudah lah” soalan spontan keluar menambah berat lagi beban irwan.

“Ehm, ustaz macam boleh baca je minda saya”

“Begini, saya ada masalah berkenaan pemilihan jodoh, saya harap ustaz boleh tolong saya” irwan terasa separuh bebannya telah dipikul oleh ustaznya itu.

“Boleh saja insyaAllah, apa masalahnya?”

“Saya berada dalam dilema pemilihan. Tiga pilihan. Mana satu yang saya harus pilih?” terang irwan.

“Wah, ini dah macam cinta tiga segi ni” gurau Ustaz Ayub memecah suasana bungkam.

“Tak lah macam tu sekali ustaz. Cuma Ibu saya ada kenalannya untuk saya, guru saya pun ada dan ada juga wanita yang menyatakan hasrat sendiri pun ada.”  

“Jadi apa yang harus saya buat?” irwan meluahkan isi hati yang membelenggunya.

 “Itu ke masalahnya, Kalau macam tu ada yang senang dan ada yang susah”. Ustaz Ayub mula berbelit kata.

“Cuma saya nasihatkan yang mana keputusan yang hendak dibuat semestinya mengikut garisan yang ditetapkan. Dan untuk berbuat perkara tersebut, ada susah dan ada senangnya”. Ustaz Ayub sudah mula serius.

“Apa yang susah dan apa yang senang?”.

“Yang susah ialah keputusan, yang senang ialah pilihan” Ustaz Ayub mula berfalsafah. Menambah lagi kekusutan irwan.
 
“Bila berhadapan dengan situasi macam ini keputusan adalah perkara pokok dan keputusan yang dibuat mestilah bertunjangkan sesuatu. Itulah neraca orang mukmin. Jadi menentukan neraca kita adalah penting tidak kira dalam menghadapi apa jua situasi”. Suara mula berintonasi.

“Habis tu, apa neraca yang tepat dalam soal ni”. Tahap inkuiri irwan sudah memuncak.

“Irwan, awak adalah seorang yang dikenali di universiti dan pernah menjadi pemimpin dan saya yakin awak mampu membuat pilihan yang tepat selain berusaha meminta juga pimpinan daripada Allah”. Pujuk Ustaz Ayub melihat kerut-kerut diwajah Irwan.

“Saya dulu memimpin tidak didasari unsur perasaan, dan sekarang situasinya berlainan”. Jelas Irwan.

“Irwan mungkin pernah mendengar suatu hadis nabi bukan, tentang neraca timbangan seorang mukmin terhadap wanita yang ingin dinikahinya”

“Ya ustaz, pertama harta, keturunan, kecantikan dan agama”. Jelas irwan sambil mengingat kembali urutan empat elemen dalam hadis baginda.

“Ya Irwan, itulah neracanya. Keempat-empat elemen tadi sangat penting dalam menjamin kebahagiaan hidup berumah tangga. Namun, ingat harta tidak kekal kerana harta akan habis. Harta ini juga adalah seorang yang berkedudukan dan termasuk juga akalnya. Itu juga harta. Jika dia kita kahwini hanya kerana cerdik dan memiliki gaji yang besar, nescaya kita tidak akan dihormati lantaran kedudukannya lebih tinggi daripada kita”. Kecantikan mungkin berkekalan tika muda bila sudah tua kecantikan akan hilang, Kerana keturunan juga tidak kekal kerana iman itu tidak boleh diwarisi”. Jelas Ustaz Ayub panjang.

“Sebaliknya jika pilihan utama itu atas tuntutan agama, maka akan berbahagialah kedua-dua tangan Irwan. Kerana dengan memilih yang keempat akan menjawab persoalan satu, dua dan tiga”. Jelas Ustaz Ayub menyimpulkan falsafahnya yang pada awalnya bersimpul.

“Ustaz tentu ada banyak pengalaman soal ni, mungkin ustaz boleh ceritakan pengalaman ustaz buat panduan saya”.

“Wah, nak mengcungkil rahsia saya pula ni”. seloroh Ustaz Ayub membuatkan irwan mula menggukir senyuman.
 
“Bagi ustaz sendiri biarlah kita menilai sesuatu dengan iman dan berperaturan. Pergi dan berjumpa dengan ahli keluarganya. Pergi berjumpa tidak salah untuk kita berkenalan, kita pergi tidak semestinya kita mesti ambil seseorang itu sebagai isteri kita. Tujuannya hanya untuk berkenalan dan setidaknya menjalinkan hubungan silaturrahim sesama islam”


“Irwan, tetapkan tujuan kita untuk berkahwin. Itu yang lebih utama. Jika ustaz, ustaz berkahwin untuk melahirkan generasi yang unggul dalam dunia islam amnya. Untuk itu, pemilihan harus dibuat bermula dari ibunya. Ibu yang ustaz pilih bukan untuk ustaz tetapi untuk anak-anak ustaz nanti”.

“Begitu sekali futuristik bentuk pemilihan tu ustaz” pernyataan tersebut menarik minat irwan.

“Bukan setakat futuristik tapi saintifik” ustaz Ayub mula menyimpul kembali falsafah yang baru saja dilonggarkan.
  
 “Bermaksud pemilihan itu dibuat berdasarkan keturunan. Keturunan yang baik penting dalam membentuk keluarga yang Qurrata A’yun (Penyejuk mata)”.

“Jika pemilihan itu hanya untuk ustaz maka baik ustaz pilih yang cantik, Betul tak?. Tapi kesedaran kepada  keempat elemen tadi mendorong untuk kita memilih bukan hanya untuk kita tetapi untuk mereka-mereka yang lain”. Terang Ustaz Ayub.

“Entah lah ustaz, saya masih tidak berhenti berfikir mengenainya. Saya keliru”. Resah irwan

“Kita keliru sebab kita diarah oleh manusia” Jelas Ustaz Ayub.

“Kita mesti mempunyai jiwa yang bebas dalam memilih, bermaksud bebas darisegi arahan manusia dan meletakkan arahan Allah dan Nabi Muhammad pada peringkat utama. Ustaz nasihatkan buatlah istikharah. Selalu kita minta supaya Allah sedikitpun tidak serahkan diri kita kepada diri kita sendiri dan selalulah minta pertolongan daripadanya. Jangan pula terkeliru dengan petunjukkan Allah berbanding dengan petunjuk yang keliru daripada syaitan.” Muka Ustaz Ayub menunjukkan reaksi kurang senang.

“Maksudnya ustaz” Irwan bingung.

“Maksudnya kita mesti berulang kali meminta dan jangan hanya sekali, kerana syaitan tidak pernah puas dalam menggangu kita. Ikhlaskan diri dan membuat sesuatu dan jangan sesekali hendak mendapatkan nilaian keuntungan dalam membuat pilihan yang akhirnya merugikan kita”. Jelas Ustaz Ayub melihat irwan yang mula mengangguk faham.

 “Irwan, jangan jadikan cinta kita pada manusia cinta kelas kedua. Bermaksud meminggirkan soal agama dan tiap apa yang kita lakukan. Kerana sifat manusia sering berubah-ubah, lemah dan sementara. Hanya Allah yang kekal abadi. Untuk mengekalkan cinta letakkan cinta tuhan berada di tengah. Apa pun jua yang terjadi, kita akan ada rujukan kukuh untuk berpaut”.

“Apa maksud rujukan yang kukuh?”

“Rujukan yang kukuh bermaksud apa yang ditentukan peranannya oleh agama. Manusia merancang dengan cinta, sebalik Allah menentukan dengan cinta. Cinta berdasarkan fitrah sahaja tidak cukup tetapi ia harus dimurnikan dengan  cinta daerah tinggi, dimurnikan daripada elemen tidak jujur dan ikhlas. Dilindungi dari bujukan syaitan dan disalurkan mengikut syariat. Maka jadilah cinta pertama dalam rumah tangga yang menjalankan hak bukan hanya menuntut hak.”

“Susah tentu ada beza antara menjalankan hak dan menuntut hak kan ustaz?” Tanya Irwan tanda setuju.

“Betul, kamu nampaknya dah faham. Buat masa ni ustaz mampu untuk nasihatkan itu sahaja. Pilihlah wanita itu kerana agamanya. Banyak bertanya padanya soal-soal agama sebelum kahwin. Selidik dulu mana yang perlu. Jika agama menjadi ukuran, walau kaya macam mana sekalipun, walau secantik bidadari, walau keturunannya raja. Seorang wanita yang baik, akan tunduk pada suaminya kerana dia mengerti tanpa keredhaan suaminya ia tidak akan mencium bau syurga” jelas Ustaz Ayub sambil wajahnya teruir senyuman yang panjang.

“Betul tu ustaz, saya akan cuba memahaminya. Terima kasih kerana sudi mendengar masalah saya”.

“Ustaz sedia membantu mana yang patut sebagai saudara seislam. Ustaz perlu hadir mesyuarat ni. Kita jumpa lagi”. Kesimpulan itu dibuat sambil Ustaz Ayub menghulurkan tangannya.

Genangan air mata irwan mengenangkan keikhlasan ustaznya itu, dan nasihat yang berguna tidak akan disiakan begitu sahaja. Fikiran irwan masih lagi mencari peluang dan jalan. Sedang menyusun kata bila berbicara nanti dengan mereka.  Jauh disudut hatinya ingin menjaga semua perasaan orang yang berada disekeliling. Namun, dia tahu yang dia tidak mampu dalam soal itu. Kesibukkannya melanda pada akhir sesi pengajian dan biarlah masa terus melukis putih canvas dalam hidupnya. Dengan pimpinan dan petunjuk illahi dia yakin semuanya akan berjalan dengan baik walaupun menghadapi seribu kesulitan.


[1]          Bagi golongan lelaki, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” Hadith ini telah direkodkan oleh kedua-kedua Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka serta imam hadith yang lain.

Katakan Kita Bukan di dalaam Drama Melayu

Menjelang musim cuti sekolah ini, perasaan berbaur. Mungkin diri sering merasa kosong dengan ilmu. Semakin banyak dicari semakin terasa hausnya. Itulah kelebihan ilmu sentiasa terasa manis walaupun sentiasa dicari dan membawa keselamatan. Namun, ilmu tanpa amal ibarat pohon tiada buah. Namun buah juga banyak jenis, ada yang elok dan ada yang tidak. Inilah analogi ilmu, jika salah sumbernya maka salah keluarannya. Begitulah kupasan persoalan yang akan saya coretkan.

Saya pernah menyebut bahawa setiap pada yang kita ucapkan merupakan medan ujian buat kita. Bila ia datang menjengah kita ketika mana kita tidak bersedia untuk menanggungnya. Semakin kita berpegang teguh dengan sesuatu makin kita akan terasa berat dengannya. Maklumlah, adab sebuah cabaran akan datang rintangan yang mehnah yang menguji keteguhan.

Walimatul urus, bunyinya agak mengembirakan khususnya membicarakan soal munakahat. Persoalan ini saya coretkan atas dasar minda ligat memikirkan tentangnya. Harapan juga diletakkan agar apa yang ditulis dapat dipraktikkan sebaik mungkin. Bimbang ia menjadi ujian yang bakal terkena pada diri.

“Berapa hantaran kali ni?”.
“Dalam lingkungan 10 ribu, Itu baru kerja biasa-biasa. Kalau golongan profesional mesti lagi mahal”.
“Agak-agak berapa tu?”.
“Emm, belas-belas ribu lah rasanya”.

Ini antara dialog yang meniti dibibir kebanyakkan orang yang setiap kali tiba musim perkahwinan ini. Ditanya dulu tentang hantaran dan belanja yang perlu diselenggara sepanjang berlakunya majlis. Tidak termasuk lagi tentang persiapan kecil kecilan yang besar-besaran. Kad jemputan, kenduri, sewaan peralatan dan berbagai lagi.

“Taboo” di antara Adat dan Ibadat
Masyarakat melayu banyak terikat dengan adat yang pastinya sedikit sebanyakkan membebankan. Mana tidaknya apabila hantaran itu terlalu mahal, dan perlu disediakan pula hadiah yang berbalas maka sudah tentu membebankan. Jika bakal menantu itu, sudah memperolehi pekerjaan yang bagus dan cukup bersedia darisegi adat maka silakan. Cuma jangan membazir. Tapi macam mana pula dengan mereka yang tidak berkemampuan?. Adakah kita mesti menangguhkan perkahwinan hanya disebabkan beberapa asbab sampingan seperti adat?. 


Definisi Mahar
Mahar berasal daripada perkataan Arab. Di dalam al-Quran istilah mahar disebut dengan al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-‘aqd. Menurut istilah syara’ mahar ialah suatu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab pernikahan.

Mengikut Tafsiran Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan “mas kahwin “ bererti pembayaran perkahwinan yang wajib dibayar di bawah Hukum Syara’ oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syara’, dapat dinilai dengan wang.

Terdapat banyak dalil yang mewajibkan mahar kepada isteri antaranya firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 4 :

“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan ( isteri ) akan mas kahwin mereka itu sebagai pemberian ( yang wajib ). Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnnya, maka makanlah ( gunakanlah ) pemberian tersebut sebagai nikmat yang baik lagi lazat “

Bezanya dengan Hantaran
Hantaran tidak wajib dalam Islam, tetapi menjadi adat dalam masyarakat setempat. Walaupun bakal suami tidak wajib memberi tetapi kalau tidak memberinya, akan dipandang sebagai kurang adab. Walaupun masyarakat tidak menghinanya, tetapi dia sendiri akan rasa malu dengan keadaan itu. Itulah nilai adat seperti wajib juga.

Adat seperti ini dibenarkan oleh Islam tetapi sepatutnya kadar hantaran itu tidaklah membebankan lelaki, malah sebaiknya mengikut keikhlasan bakal suami berdasarkan kemampuannya. Dalam keadaan ini, ramai yang tidak menyedari bahawa adat yang dilaksanakan di kebanyakan tempat melanggar hukum dan adab Islam. Sebenarnya hantaran mengikut adat itu ditentukan keluarga wanita. Malah sesetengah tempat bukan ibu bapa yang menentukannya tetapi ada wakil yang diberi kuasa menentukannya. Di sinilah kadang-kadang kadarnya membebankan pihak lelaki terutama yang tidak berpendapat tinggi.

Berdasarkan itu, hantaran yang membebankan seperti yang diamalkan pada hari ini, itulah antara yang menyebabkan lelaki lambat berkahwin atau wanita sukar dipinang lelaki. Selain itu adalah tidak benar dan tidak wajar sesuatu perkahwinan itu ditanggung kosnya oleh lelaki yang hendak berkahwin. Sebaliknya ibu bapa wanita menanggung semua kos kerana majlis itu untuk mengisytiharkan perkahwinan anaknya. Begitu juga Ibu bapa lelaki mereka juga harusa bertanggungjawab membuat kenduri di rumahnya bagi mengisytiharkan bahawa anaknya sudah berkahwin.


Ibadah yang Tersia
Pembaziran dengan mensiakan ibadat adalah sesuatu hal yang “taboo” dalam masyarakat, sesuatu konsep yang susah hendak diubah. Terdapat juga mensia-siakan ibadah kerana adat. Mana tidaknya, ada sesetangah ahli keluarga yang terlalu sibuk dengan melayani tetamu sampai lupa melayani Tuhan mereka. Tidak solat adalah “top crimes” dalam islam.  

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Allah telah berfirman: “Aku telah memfardhukan ke atas umatmu solat lima waktu. Aku telah sungguh-sungguh berjanji dengan Diri-Ku, bahawa sesiapa yang menjaga solat tepat pada waktu maka Aku bertanggungjawab untuk memasukkannya ke dalam syurga. Sebaliknya, sesiapa yang tidak menjaga solat, Aku langsung tidak bertanggungjawab ke atasnya.” (hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Solat adalah hak utama Allah ke atas hamba-hambanya. Meninggalkan solat, seolah-olah kita sedang meremehkan hak Allah. Maha Suci Allah daripada memerlukan hamba-hambanya untuk rukuk dan sujud kepada-Nya demi menjadikannya Tuhan yang Maha Agung. Allah tidak memerlukan kita menyembahnya, tetapi kitalah yang memerlukan Allah. Kita memerlukan Allah dalam segala-galanya. Sehingga untuk terus bernafas pun, kita memerlukan udara yang disediakan oleh Allah, hidung yang diciptakan oleh Allah, saluran tenggorok yang dijadikan oleh Allah, paru-paru yang berfungsi hanya dengan izin Allah.

Majlis Walimah yang Punah
Nabi sendiri tidak melarang umat untuk berhibur, namun had dan sempadan terhadap sesuatu itu perlu dijaga. Majlis walimah yang dihiasi dengan nyanyian lagu yang bukan-bukan malah pemilihan liriknya yang merapu makin menambah kusut. Ditambah pula dengan persembahan yang tidak sepatutnya ada seperti persembahan seni bela diri yang tidak elok. Mana tidaknya persembahan itu seolah-olah yang benar berlaku, sepakan dan tujahan yang kuat sudah tentu menyakitkan mereka yang membuat persembahan. Persoalan saya, salahkah jika kita hanya dengan persembahan marhaban sahaja?

Ditambah pula jika kanak-kanak kecil yang tidak tahu apa-apa, seolah-olah dialak bagaikan ayam menyambung sungguh menjengkelkan. Tidak pasti aurat sudah tak terjaga jika kaki itu, diangkat 90 darjah ditambah lagi dengan seluar pendek dan tidak berbaju. Saya terkadang berfikir kenapa kita sanggup mencemarkan perkara yang mulia dengan perbuatan kotor. Persoalan saya, salahkah jika kita minta kanak-kanak tadi menyanyikan lagu-lagu nasyid yang baik buat kita?


Sesuatu yang kurang diberikan perhatian adalah pengantin. Sepatutnya pengantin wajib melayan tetamu yang datang. Dan mana mungkin itu terjadi, majlis persandingan saja sudah menelan begitu banyak masa. Tambahan pula dengan aktiviti bergambar Indoor dan Outdoor. Majlis yang sepatutnya ingin memperkenalkan pengantin sudah menjadi majlis makan-makan biasa, yang tinggal hanya ibu dan bapa yang melayani tetamu yang hadir. Persoalan saya, salahkah untuk kita mengambil gambar ‘outdoor’ pada hari berikutnya?

Manakala darisegi kad jemputan pula, sudahlah dihabiskan ratusan malah ribuan ringgit untuk itu. Salah pula dalam mentakwil dan memahami sejarah. Bukankah biasa kita membaca kad-kad jemputan yang terdapat doa di dalamnya. Seperti doa yang biasanya kita lihat pada kad-kad kahwin. Tahukah kita terdapat banyak khilaf ulama’ yang mempertikaikan adakah Zulaikha berkahwin dengan Nabi Yussuf?- Dr. Abdul Basit Abdul Rahman

"Ya Allah, Satukanlah hati kedua mempelai ini seperti Engkau satukan hati Adam dan Hawa, Yusuf dan Zulaikha dan seperti Engkau satukan hati Muhammad SAW dan Siti Khadijah. Semoga Allah memberkati dan menghimpunkan kamu berdua kebaikan dan keberkatan di dunia dan akhirat “

‘Orang Kita’ Yang Suka Sangka-Sangka (jugdmental)
‘Orang kita’ selalu membuat penilaian yang melulu. Sangka yang banyak sangka-sangka. Jika kena dengan syariat kenapa harus sangka-sangka.

Orang kita selalunya sangka:
Jika walimahnya biasa-biasa disangka tidak meriah,
Jika walimahnya meriah disangka menunjuk,
Jika sepadan disangka bakal bercerai,
Jika tak sepadan disangka tak pandai memilih,
Jika Kahwin awal disangka ada salah dimana-mana,
Jika kahwin lewat disangka tak laku,
Jika tak kahwin disangka mandul,
Jika kahwin-kahwinan disangka gatal.

Lalu kita sering bertanya kenapa ‘orang kita’ selalu sangka-sangka. Sangkaan yang buruk sebenarnya datang daripada hati yang sakit. Hati yang tersemat sifat mazmumah yang meruntuh. Fikirannya pesimis ditambah negatif. Diberi alasan sangka buruk itu kadang-kadang ingin berhati-hati. Lupa kita banyak hati terluka akibat sangka-sangka.

 

Tanamkan sifat positif, umpama lebah yang sentiasa mencari madu. Kerana ‘orang kita’ yang berbahagia adalah bahagia melihat ‘orang lain’ bahagia. Kurangkan sangka-sangka dan lebihkan doa.

Orang kita sepatutnya berkata:
Jika walimahnya meriah dikatakan moga ditambah rezekinya,
Jika walimahnya biasa-biasa dikatakan syukur dengan rezeki yang ada,
Jika sepadan dikatakan semoga kekal,
Jika tak sepadan didoakan kebahagiaan,
Jika kahwin awal dikatakan boleh elak maksiat dan tambah pahala,
Jika kahwinnya lewat dikatakan alhamdullillah ada yang sudi,
Jika tak kahwin dikatakan mungkin tiada rezeki,
Jika kahwin-kahwinan subhanallah moga berlaku adil.

Jangan Berputus Asa.
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya dialah jua yang Maha Pengampun; lagi Maha Mengasihani”. Al-Zumar:39


Nota Hati:
Moga tulisan kali ini tidak menjadi ujian buat diri yang kian lama kian kalah. Terkadang terpaksa beralah, kerana orang yang mengalah tidak selalunya kalah.

Kahwin Muda : kebun atau Kuburan Cinta?


Artikel ini ditulis khas buat sahabat-sahabat yang ingin menjengah jauh ke alam syurga. Syurga yang dihiasi dengannya hilai tawa, rajuk petunjuk malah mahligai berteduh buat ahli usrah (keluarga). Syurga yang bermula dari rumah “Baiti Jannati”. Tajuknya mungkin agak pesimis dan kadang-kadang prejudis. Manakan tidaknya bila disebut kahwin maka perasaan seronok akan membatasi kemurungan, riang gembira memayungi gegak gempita guruh (Kebun). Jarang sekali kita membicarakan soal rintangan, dugaan mahupun cabaran (Kuburan).

Ramai diantara pelajar IPTA mahupun IPTS yang ingin membina mahligai ini. Terutamanya bila sering mendengar kuliyah-kuliyah berkenaan zina, perhubungan dan sebagainya. Ada yang berkata ‘Oh, aku kena kahwin kalau macam ni, elak zina”. Katanya salah seorang ahli qaryah dengan nada gurauan. Dan tidak dinafikan itu alasan kebanyakkan mereka. Saya tidak mengatakan ini salah dan itu betul. Cuma kita perlu melihat banyak aspek lain lagi untuk mengelak zina lebih daripada satu jalan sahaja iaitu perkahwinan.

Isu nafkah, isu hak dan tanggungjawab antara suami isteri, isu tanggungan anak dan isu agama mesti diperhatikan. Ingat bahawa ketidaksediaan kita dari aspek itu akan menjerumus perkahwinan tidak menjadi kebunan percintaan yang boleh dipetik hasilnya akan tetapi ia juga boleh membawa kepada kuburan percintaan yang ditinggalkan bila tidak lagi bernyawa. Saya bukanlah seorang yang telah berkahwin, tapi sekadar mengambil ibrah daripada orang-orang berjaya dan juga gagal dalam mengharungi alam ini. Bacalah dengan nama Tuhanmu gugusan kata ini.


Kebunan Percintaan
Perkahwinan diasaskan oleh cinta kemudian diakhiri dengan tanggungjawab. Cinta merupakan kepatuhan sementara tanggungjawab ialah bebanan. Bila sahaja kita melafazkan “aku terima nikahnya” ia bermakna kita berkata “aku bertanggungjawab keatasnya”. Betul bukan cinta telah menjadi penghias kepada tanggungjawab? Maka segalanya terletak diatas bahu si lelaki, terutamanya perkara melibatkan maruah dan dosa. Jika tidak dijaga selayaknya himpunan pahala berganda boleh bertukar menjadi gugusan dosa yang bertimbun.

Kebunan itu tidak boleh dipisahkan daripada aspek islam sebagai pendukung kehidupan. Islam adalah fitrah maka jalannya adalah juga selari dengan fitrah manusia. Islam terdiri daripada 3 aspek utama akidah (keimanan), syariat (peraturan) dan akhlak. Akidah ialah aspek iman yang mana mesti menjadi dasar kepada pembinaan kerukunan rumah tangga.

Selalu kita mengaitkan perkahwinan dengan istilah akan terbinanya sebuah masjid. Masjid merupakan tempat ibadah yang suci dan didasari pembinaanya atas dasar iman, tertegak diatas peraturan dan lahir daripadanya akhlak. Apabila mahligai itu didasari oleh iman diawalannya maka apabila wujudnya krisis, ia akan lebih mudah kerana kita boleh kembali ke dasar tadi iaitu iman. Kita berkahwin kerana apa? Adakah kerana cinta ? kerana ikut sunnah? Kerana ikut-ikut? Kerana ingin membentuk keluarga bahagia? Ataupun kerana Allah Azzawajalla.

Bila kita berjaya untuk membentuk ‘Basic Structure’ maka senang untuk dirujuk daripada apa jua permasalahan. Persoalan memenuhi hak tidak lagi menjadi persoalan utama kerana hak Allah didahulukan lebih mengatasi hak suami isteri. InsyaAllah bila hak yang pertama didahulukan maka yang utama akan diutamakan. Allah didahulukan Keluarga diutamakan.

Bila ini berlaku keduanya akan membentuk suatu perjalanan yang penuh berperaturan berlandaskan syariat. Hidup penuh berperaturan ini menjamin keduanya berada pada landasan kepatuhan. Agar apabila berjauhan tidak gundah,berpisah tidak gelisah. Si suami boleh memainkan peranan dan bertindak selayaknya atas dasar peraturan. Suami adalah ‘king control’ dalam sesebuah kebunan percintaan, mengawal, mendukung, melindung dan mendidik. Bila tugas ini selari dengan syariat maka akan lahirnya aspek akhlak.

Akhlak terbina atas dasar kepatuhan yang sudah sedia ada yang menjadi ‘rules of life’ peraturan kehidupan yang mesti dipupuk sejak pertama kebunan percintaan tadi terbina. Anak-anak akan merasakan indahnya apabila mempunyai ayah dan ibu berpegang pada syariat tidak hanya adat. Syariat bererti mendidik dan adat hanyalah menjaga. Bila mana ketiga-tiga faktor ini berlegar dalam ruang lingkup keluarga maka kita akan berjaya membina masjid dipertengahan malah hingga ke penghujung. Bukan sekadar pada permulaan. Ayah sebagai imam, ibu sebagai bilal dan anak-anak sebagai makmum.

Mulakanlah Sesuatu Yang Baik Itu Dengan Kebaikan
Berbalik soal pembinaan masjid bahawa adat mestilah kalah dengan ibadat. Terdapat adat-adat dalam majlis perkahwinan yang selayaknya dikaji semula. Soal membatalkan air sembahyang, kenduri walimah secara berlebihan (pembaziran) terdapat unsur nyanyi-nyanyian, mas kahwin yang tinggi dan bermegah dengannya (RM 8,888 dan sebagainya) adalah contoh sesuatu yang baik tetapi diselangi keburukan. Bukankah Nabi menyebut sebaik-baik wanita yang dikahwini ialah yang rendah maharnya?

Cubalah untuk mengubah cara itu berlandaskan syariat. Kita sebenarnya kadang-kadang mesti melawan arus. Mesti diantara kita yang sering bertanya “kalau pihak keluarga perempuan atau lelaki hendak buat juga macam mana? Bagi saya jalan yang terbaik berunding. Sediakan hujah dan bercakap. Ingin bercakap bukan sahaja dengan mulut tetapi dengan hati yang penuh berhati-hati. Meskipun ditolak oleh pihak keluarga, yakinlah yang sebenarnya kita telah melakukan pada yang sepatutnya. InsyaAllah jika dilakukan dengan berhati-hati maka akan lunak hati lain yang mendengarnya. Cuba untuk berlebih kurang tetapi penuh dihiasi dengan komitmen yang tinggi.

Cinta Tiga Segi
Seorang Ilmuan pernah berkata kepada saya bahawa percintaan tidak cukup hanya berdua. Kurang keseronokkannya dan nilai tambah dalam perhubungan.

“Macam mana tu ustaz?” soalan ini terus tercetus kerana menggambarkan seolah-olah berkahwin lebih daripada satu baru ia mempunyai nilai tambah.

“Saya berkata begitu sebab bila hanya hanya bercinta iaitu antara lelaki dan perempuan, maka tidak akan ada yang menjamin si suami atau si isteri akan selamanya setia pada kita. Mungkin saja dihadapan kita pijak semut pun tak mati tapi dibelakang gajah yang sebesar itu dilanyaknya” jawabnya dengar nada gurauan.

“Kalau begitu siapa yang menjamin kesetiaan antara mereka” saya bertanya mahukan penjelasan walaupun jawapan ringkasnya sudah berada dalam minda.

“Tak lain adalah kita menjadikan Allah sebagai kayu ukur terhadap kesetiaan dan kepatuhan. Katakan padanya samada suami atau isteri yang kita mencintainya kerana Allah. Maka cinta itu akan segar dan sentiasa mekar” jelasnya lagi.

Inilah yang menjadi idaman semua, cinta ibarat bunga mekar tidak hanya kembang hanya diwaktu pagi (awalan). Dan ianya akan mudah dirujuk (kembali kepada persoalan pertama iaitu iman). Jika kasih kita kepada isteri bertambah bermakna bertambahlah kecintaan kita kepada Allah. Sebaliknya jika kecintaan kita kepada isteri kita sudah berkurang bermakna kurang juga cinta kita kepada Allah.

 
Kitaran Perkahwinan

Dengan meletakkan Allah sebagai key performance indicatoria akan lebih bersifat maknawi, lebih kukuh dan mengukuhkan. Persoalan ibadah akan menghiasi dinding-dinding kesepian. Mencintai ialah hak Allah yang mewujudkan kita daripada hak ketiadaan. Yang memelihara kita dengan nikmat yang tidak terhingga. Daripada kegelapan berlapis tiga (kegelapan malam, alam rahim dan mata) hingga ke dunia.

Jika ini dapat dilakukan semoga dengannya “berjauhan kita tidak gundah, berpisah tidak gelisah”

Suami Bertuan Dimata Beraja Dihati
Sejak kebelakangan ini berlaku banyak kes perceraian yang membimbangkan. Kajian mendapati tidak ramai pasangan-pasangan muda yang mampu bertahan sehingga mencecah 10 tahun perkahwinan mereka iaitu 59.9 peratus iaitu daripada sebanyak 135,136 perkahwinan didaftarkan pada 2009, manakala 27,116 kes perceraian pula direkodkan pada tahun berkenaan. Sebagai imam dimana letaknya kekuatan lelaki yang tidak mampu untuk mempertahankannya.

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ
 Ertinya : Lelaki itu adalah ketua ke atas wanita disebabkan kerana kurniaan yang diberikan kepada mereka dan disebabkan nafqah yang mereka berikan.. ( Al-Nisa : 34)

Pernahkan kita mendengar perkahwinan ibarat belayar dengan bahtera manakala persekitaran ialah ombak lautan? Tanpa bekalan yang cukup, kesediaan dan kukuhnya bahtera yang dibina oleh ketua maka bahtera yang dibina sudah tentu tidak akan mampu bertahan. Bila bahtera tadi pecah, maka posisi nakhoda akan terjejas (suami), anak dan isteri jatuh didalam lautan masalah (perceraian). Kasih sayang sudah berbagi antara cinta dan air mata. Benar sekali jika perkahwinan boleh sahaja menjadi kuburan percintaan, menguburkan perkahwinan yang terbina dengan cinta.

Bukan Soal Cepat Atau Lambat Tetapi Bersedia Atau Tidak
Persoalan diatas terjawab dengan ilmu. Bagi saya pasangan muda haruslah menyediakan diri dengan ilmu berumah tangga. Dan ia tidak semestinya dengan membaca semata-mata tetapi mengutip hikmah-hikmah daripada orang yang lebih tua. Bukan hanya Ilmu munakahat yang mesti menjadi pokok perbincangan tetapi ilmu-ilmu yang mendukung tertegaknya munakahat seperti, tauhid, feqah dan saya cadangkan buku Muhimmah Fil Ilmi Hadis (kemanisan dalam mempelajari hadis),  berkenaan taktik berumah tangga tidak kurang juga ekonomi.

Kesediaan darisudut pengukuhan kewangan adalah penting tetapi tidaklah sampai ke tahap terpenting. Pernahkan kita mendengar “everything needs money but money isn’t everythings”. Perlu difikirkan bagaimana hendak menyara hidup terutamanya bagi si suami. Terdapat juga pandangan pesimis daripada ibubapa, “kau nak bagi makan apa pada isteri kalau masih belajar, nak bagi makan pasir?” Mendengarnya menjadikan pasangan muda yang ingin berkahwin agak pedih lagi memeritkan bukan? Saya serahkan kepada anda fikirlah jalan yang terbaik dan kebanyakkan kita tahu jawapannya.


Ibubapa ini terkadang risau bukan marahnya itu rajuk. Bagi ibubapa yang berada mungkin mereka tidak kesah kerana masih lagi mampu mengisi kekurangan itu tapi bagi yang kurang berada bagaimana? Kadang-kadang semua itu menyindir kita. Seolahnya kita mendapatkan segalanya yang mungkin sedangkan sebenarnya tidak. Mereka sebenarnya tidak menyindir cuma sekadar merajuk. Pujuklah.

“Kata orang dunia ini agak  pelik sedikit. Kadang-kadang kita dikaburi masa yang singkat sehinggakan kita terlupa masa yang panjang kerana mengejar masa yang singkat. Sedangkan masa yang panjang adalah yang hakikat. Jangan kita hanya memandang yang benar sebaliknya pandanglah disebalik yang benar. Jika benar itu mengaburi kebenaran”

Ilmu tidak akan habis sebaliknya ia satu proses. Belajar perlu sebelum, semasa dan selepas perkahwinan. Cubalah bersedia daripada pelbagai sudut. Belajar sebelum adalah berseorangan, belajar semasa sudah pasti berdua dan belajar selepas adalah bertiga malahan lebih (bersama anak-anak).

Piawaian Berkasih
Sebelum perkahwinan ramai pasangan yang membina mahligai yang kononnnya nanti akan dihiasi dengan pengharapan. Berharap selepas kahwin ada itu dan ini, kereta yang besar, rumah yang mewah, anak-anak yang berjaya tidak kurang juga suami dan isteri yang romantik dan memahami. Semuanya yang indah-indah belaka. Bukan salah untuk berharap tetapi jangan pula harapan tinggal angan-angan.

Terimalah seadanya dan cuba untuk berbuat apa yang patut. Kita selalu mengidamkan sesuatu yang lebih daripada sedikit kelebihan. Cubalah untuk memahami dan meneliti. Perkahwinan bukan satu pengakhiran tapi ia sebuah permulaan. Sesudah berkahwinan segala baru sahaja bermula kerana zina yang ingin dielakkan pada awal perbincangan tadi telah semakin berat. Mengelak dari sesuatu untuk berhadapan dengan sesuatu. Itulah yang kita lakukan.

Tidak hanya kita mahukan kereta yang besar tapi kita mahukan kereta, rumah, anak-anak yang berkat. Untuk itu suami dan isteri mestilah mencari yang berkat. kita selalu berterima kasih dan mengatakan “she or he is the answer of my prayer”. Pada permulaan segalanya akan kelihatan baik dan lama-lama ia akan berubah. Bersedia untuk perubahan itu. Setiap pasangan akan mula menunjukkan wajah sebenar ketika telah lama berumah tangga. Bila saja rasa cinta itu terbeban dengan tanggungjawab dan tersisih daripada keseronokkan.

Kata-kata yang dulunya berbunga hilang serinya, kuntuman kasih muncul hanya sekali sekala. Bagai bunga kembang tak jadi. Bila mana mencapai kepenatan, kaki sudah lenguh, hati sudah jemu dan lain-lain berkaitan kerja Rumah tangga. Untuk mencapai kebahagiaan mesti dulu mengenal erti kesengsaraan kerena dengannya akan lahir pengawasan dan penelitian.

Berkahwin memang seronok tapi bukan untuk seronok-seronok. Ia mengharapkan kekuatan samada kejiwaan mahupun kepatuhan. Kejiwaan untuk kekuatan dan kepatuhan untuk ketenangan. Saya pernah menjelaskan bahawa hati wanita berbeza dengan hati lelaki (tekan disini). Lelaki biasanya akan terbeban dek kerana kesibukkannya mengurus rumah tangga.

 

Lelaki yang dulunya lebih romantis akan kehilangan nadanya dek kerana bebanan kerja. Ironinya isteri yang dulunya sopan sudah semakin banyak tuturnya. Manakan tidak keletihan pada tulang-tulang sudah pergi ke tarikan urat-urat mulut yang tidak henti-henti mengeluh akibat kepenatan. Memasak, mengemas, membasuh pakaian menyebabkan wanita berkelakuan seperti itu.

Oleh itu jangkalah apa yang tidak disangka.Kata orang lama, wanita itu bagaikan angin lalu. Bila dia bertiup sayu maka terlena kita dibuatnya. Bila angin mula berubah menjadi ribut kalut kita dan bila ia berubah menjadi taufan lari lintang pukang kita. Begitulah sebaliknya.

Warkah Kata Buat Permulaan Kita

Untuk bakal suamiku,
Wahai bakal suamiku, sesungguhnya dirimu amat ku nanti dalam perjalanan hidup ini. Di siang mahupun malam hari. aku tulis surat ini dari hati moga ia menjadi lakaran permulaan yang indah buat kita. Pertamanya aku ingin mengucapkan setinggi terima kasih kerana sudi mengambilku sebagai isteri. Terasa tidak lengkap kiranya aku hanya hidup bersendirian di alam ini tanpamu. Kebahagiaan kita sekeluarga berada di tangan mu. Dikaulah yang menjadi peneraju dan nakhoda rumah tangga ini. Aku tahu tugas dan amanah ini sangat berat. Ia menagih keikhlasan, keimanan dan kejujuran yang tinggi daripada mu.

Semasa engkau melamarku wahai suami, masa itu syukurnya hanya Allah yang tahu. Air mata ini mengalir tidak terasa, mengalirkan kegembiraan penuh makna. Udara itu senang untuk digapai. Rasa yang tidak pernah ku alami. Hargailah aku selalu.

Wahai suamiku, rindu itu buah cinta. Jika ia tiada maka cinta tidak akan berbuah dan layu. Oleh itu hidup denganmu aku berharap rindu itu sentiasa bersemi. Biarpun terkadang diisi dengan air mata dan kesakitan. Namun, perasaan itulah yang sentiasa ada buat kita. Suamiku, bahtera yang kita bina ini ku harap sentiasa utuh dalam perjalanan kita bersama. Kau suamiku adalah pelindung dan pengemudi bahtera ini.

Aku berharap pengorbanan yang bakal kita lalui adalah merupakan pahit ubat yang menjadi penyembuh. Tidak aku pengharapkan pengorbananmu semahal nabi Allah Muhammad s.a.w terhadap Khadijah, mahupun seutuh kasih nabi Allah Ibrahim terhadap anaknya Ismail. Suamiku, pengorbanan itu sesuatu yang perlu diwaktu susah dan senang. Kerana ianya adalah mahar segala janji mahar yang paling berharga daripadamu.

Suamiku, aku berharap cinta kita terikat bersama dengan cinta kita terhadap Allah. Jika berkurang maka ditambah, jika bertambah maka syukur. Di dalam hidup, aku berharap kepadamu tidak mengangapku terlalu sempurna kerana aku hanya insan biasa. Bimbinglah tanganku dalam melayari lautan ganas bersamamu. Sesungguhnya engkau adalah cerminan bagiku. Jika berjaya engkau maka berjayalah aku, jika gagal maka gagallah aku. Ya Allah, terima kasih kerana dia ada dihati dan jiwaku.

Sekian daripadaku,
Bakal Isterimu

 

Untuk bakal isteriku,
Dalam batasan perjalanan waktu, saat hampir diikat denganmu terasa lapang dada ini. Pilihanku terhadapmu ku harap mendapat restu ilahi. Tidak ada daya dan upaya aku untuk menentukan yang terbaik buat dirimu. Hanya DIA tempat berharap. Dalam bertatih di dunia ramai yang telah singgah mengajar berbagai erti. Hadirnya kamu wahai isteriku, ku harap dapat kau ajarkan aku erti marah, rajuk, rindu dan sayang.

Kesetiaan dan pengorbanan mu sebagai isteri dan ibu amat kutagih. Bersama didalamnya kita bina keyakinan dan kesepaduan. Tanpa pengobanan maka tidak ada kebahagiaan. Marilah kita sama-sama belajar untuk melepas sesuatu demi menuntut sesuatu yang lebih berharga. Semoga menjadi insan terindah dalam mengharungi lautan mahupun denai kebahagaian.

Sesungguhnya hati ini setia padamu, padamu aku letakkan cinta terhadap seorang isteri. Agar engkau dapat menjagaku urusan dunia dan akhiratku. Sesungguhnya tipu daya tika ini sangat menakutkan. Dengan hadirmu wahai isteriku akan menambah seribu keyakinan dalam diriku. Menempis segala kekusutan dan tohmahan. Kerana hidup kita terlalu singkat, aku berharap kepadamu wahai isteriku agar kita tidak berlebihan atau berkurangan dalam segenap hal. Didalam surat ini ada kegembiraan, pengharapan dan keredhaan. Tatapilah ia buat bekalan kita nanti.

Sekian daripadaku,
Bakal Suamimu

Nota Hati:
Baru sahaja berjaya menyiap beberapa artikel untuk dimuatkan di dalam blog. Disamping itu dapat juga memenuhi beberapa jemputan kahwin kawan-kawan dan juga saudara mara. Selain itu, mengatur beberapa jadual untuk beberapa aktiviti termasuk bertemu dengan kawan-kawan lama yang masih segar di ingatan.

Di kesempatan ini, aku Ucapkan Selamat Berbahagia di Alam Rumahtangga buat:
1. Rosmawati dan Nik Faizul (Maahad Pengajian Islam)
2. Abd. Ghafar dan Humairah (Ipg Kampus Sultan Mizan)

   بارك الله لكما وبارك عليكما
وجمع بينكما في خير
Semoga Allah memberkati anda semua dan menghimpunkan anda dalam kebaikan

Jika Isteri Kita Sakit


Di satu petang, kita balik dari pejabat dengan hati yang penuh harapan, harapan disambut oleh isteri dan anak-anak di depan pintu. Pintu diketuk dan salam diberi. Apabila pintu dibuka, hanya anak sahaja yang menjawab salam. Bagi anak perempuan kita cium pipinya dan anak lelaki pula kita usap kepalanya. Kebiasaannya, emak mereka juga akan menyambut dengan tersenyum simpul. Tetapi tiada pada petang ini. Kita pun terus ke bilik untuk meletakkan beg kita. Kita ke bilik tidur dan dapati isteri kita terbaring berselimut atau yang serupa dengan itu.

Kita pun bertanya, "Sakit ke?"... Isteri kita diam dengan wajah yang menggambarkan dia memang sakit. Kita pun terus ke dapur bancuh minuman sendiri dan minum depan TV. Lima minit kemudian isteri kita turun dan terus ke dapur menyediakan makanan untuk malam. Disebabkan kita nampak dia boleh ke dapur dan sediakan makanan maka kita pun terus ke bilik study sambung kerja pejabat atau keluar rumah untuk bermain badminton atau cuci kereta. 





Dalam hati kita berkata,'isteri tu taklah teruk sangat sakitnya, sebab nampak dia boleh berjalan ke dapur. Cuba kita selami, apa pula hati isteri kita berkata."Alhamdulillah, Abang dah balik, nanti nak ajak abang ke klinik jumpa doktor dan ambil ubat. Badan ni tak larat nak bangun. nanti dia naik ke bilik baru nak bersiap tukar pakaian ke klinik."

Abang pun tanya, "Sakit ke?" Dalam hatinya,
"Hai takkan tak nampak orang tengah sakit ni, tanya pulak. Tengok tu, dia buat tak peduli aje.. tengok TV pulak, sepatutnya ajaklah ke klinik"

Sambil turun ke dapur hatinya berkata, "Orang sakit, dia bukan peduli, tapi kalau dia yang sakit, macam-macamlah dia suruh kita buat untuk dia kalau dah tak dapat bangun sangat, baru terhegeh-hegeh nak tolong usung ke klinik." 

Maka diusahakan juga ke dapur walaupun dirinya sakit, untuk berbakti pada anak-anaknya.

Suami-suami yang dimuliakan, isteri kita mempunyai jiwa 'anak kecil' apabila dia terkena demam, sakit kepala dan sebagainya dan lebih-lebih lagi. Walaupun sakitnya itu tidak seberapa pada pandangan kita, tetapi sangat besar ertinya di sisi mereka. Mereka memerlukan kita membelai mereka sebagaimana doktor membelai pesakitnya yang datang mengadu sakit minta diubati. Mereka tidak minta di belai berjam-jam. Kalau lebih sekalipun, hanya lebih sikit daripada doktor.

Suami sepatutnya mesti menjadi doktor yang pertama dulu. Bila nampak dia terbaring atau duduk yang menggambarkan dia sedang sakit. Maka, hendaklah terus mengadapnya sebaik saja kita masuk ke rumah. Bila tanya pada anak, "Emak mana?" Anak jawab, "Dalam bilik ".  Dan belailah bagaimana doktor membelai pesakitnya. Dapatkan suhu badannya walaupun dia tak demam - letaklah tangan di dahinya atau tengkoknya.

Peganglah lengannya untuk mengira denyutan jantungnya walaupun kita tak tahu kadar yang menunjukkan dia tu memang sakit. Dengarlah bunyi paru-parunya bila dia bernafas dengan meletakkan tapak tangan kita di belakangnya dan urut sedikit walaupun kita tidak menggunakan alat yang doktor guna itu.

Sentuhan-sentuhan begini sudah cukup untuk menyembuh psikologinya. Tanyalah dia bila dia kena demam... dsb supaya dia luahkan penyakit psikologinya dulu dengan menceritakan puncanya dan offer cepat-cepat nak bawa ke klinik agar dia boleh berfikir dan menilai tahap sakitnya sama ada berbalui untuk di bawa ke klinik. Sebab kekuatan psikologinya telah diperolehinya dari "doktor yang disayangi" ini. Tidak perlu lagi dari doktor perubatan yang lain.

Biasanya dia akan kata, "Tak apalah bang, demam ni sikit aje, ...." Jika ini jawapannya, maka Alhamdulillah, ini bermakna hati dan jiwanya telah puas dan kuat dengan belaian kita dan dia REDHA akan demamnya itu. Begitu juga kepada si isteri jika suami anda sakit.
Scroll to top