ISLAMIK

Editorial

Katakan Kita Bukan di dalaam Drama Melayu

Menjelang musim cuti sekolah ini, perasaan berbaur. Mungkin diri sering merasa kosong dengan ilmu. Semakin banyak dicari semakin terasa hausnya. Itulah kelebihan ilmu sentiasa terasa manis walaupun sentiasa dicari dan membawa keselamatan. Namun, ilmu tanpa amal ibarat pohon tiada buah. Namun buah juga banyak jenis, ada yang elok dan ada yang tidak. Inilah analogi ilmu, jika salah sumbernya maka salah keluarannya. Begitulah kupasan persoalan yang akan saya coretkan.

Saya pernah menyebut bahawa setiap pada yang kita ucapkan merupakan medan ujian buat kita. Bila ia datang menjengah kita ketika mana kita tidak bersedia untuk menanggungnya. Semakin kita berpegang teguh dengan sesuatu makin kita akan terasa berat dengannya. Maklumlah, adab sebuah cabaran akan datang rintangan yang mehnah yang menguji keteguhan.

Walimatul urus, bunyinya agak mengembirakan khususnya membicarakan soal munakahat. Persoalan ini saya coretkan atas dasar minda ligat memikirkan tentangnya. Harapan juga diletakkan agar apa yang ditulis dapat dipraktikkan sebaik mungkin. Bimbang ia menjadi ujian yang bakal terkena pada diri.

“Berapa hantaran kali ni?”.
“Dalam lingkungan 10 ribu, Itu baru kerja biasa-biasa. Kalau golongan profesional mesti lagi mahal”.
“Agak-agak berapa tu?”.
“Emm, belas-belas ribu lah rasanya”.

Ini antara dialog yang meniti dibibir kebanyakkan orang yang setiap kali tiba musim perkahwinan ini. Ditanya dulu tentang hantaran dan belanja yang perlu diselenggara sepanjang berlakunya majlis. Tidak termasuk lagi tentang persiapan kecil kecilan yang besar-besaran. Kad jemputan, kenduri, sewaan peralatan dan berbagai lagi.

“Taboo” di antara Adat dan Ibadat
Masyarakat melayu banyak terikat dengan adat yang pastinya sedikit sebanyakkan membebankan. Mana tidaknya apabila hantaran itu terlalu mahal, dan perlu disediakan pula hadiah yang berbalas maka sudah tentu membebankan. Jika bakal menantu itu, sudah memperolehi pekerjaan yang bagus dan cukup bersedia darisegi adat maka silakan. Cuma jangan membazir. Tapi macam mana pula dengan mereka yang tidak berkemampuan?. Adakah kita mesti menangguhkan perkahwinan hanya disebabkan beberapa asbab sampingan seperti adat?. 


Definisi Mahar
Mahar berasal daripada perkataan Arab. Di dalam al-Quran istilah mahar disebut dengan al-sadaq, al-saduqah, al-nihlah, al-ajr, al-faridah dan al-‘aqd. Menurut istilah syara’ mahar ialah suatu pemberian yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri dengan sebab pernikahan.

Mengikut Tafsiran Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan “mas kahwin “ bererti pembayaran perkahwinan yang wajib dibayar di bawah Hukum Syara’ oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan, sama ada berupa wang yang sebenarnya dibayar atau diakui sebagai hutang dengan atau tanpa cagaran, atau berupa sesuatu yang menurut Hukum Syara’, dapat dinilai dengan wang.

Terdapat banyak dalil yang mewajibkan mahar kepada isteri antaranya firman Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 4 :

“Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan ( isteri ) akan mas kahwin mereka itu sebagai pemberian ( yang wajib ). Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian dari mas kahwinnnya, maka makanlah ( gunakanlah ) pemberian tersebut sebagai nikmat yang baik lagi lazat “

Bezanya dengan Hantaran
Hantaran tidak wajib dalam Islam, tetapi menjadi adat dalam masyarakat setempat. Walaupun bakal suami tidak wajib memberi tetapi kalau tidak memberinya, akan dipandang sebagai kurang adab. Walaupun masyarakat tidak menghinanya, tetapi dia sendiri akan rasa malu dengan keadaan itu. Itulah nilai adat seperti wajib juga.

Adat seperti ini dibenarkan oleh Islam tetapi sepatutnya kadar hantaran itu tidaklah membebankan lelaki, malah sebaiknya mengikut keikhlasan bakal suami berdasarkan kemampuannya. Dalam keadaan ini, ramai yang tidak menyedari bahawa adat yang dilaksanakan di kebanyakan tempat melanggar hukum dan adab Islam. Sebenarnya hantaran mengikut adat itu ditentukan keluarga wanita. Malah sesetengah tempat bukan ibu bapa yang menentukannya tetapi ada wakil yang diberi kuasa menentukannya. Di sinilah kadang-kadang kadarnya membebankan pihak lelaki terutama yang tidak berpendapat tinggi.

Berdasarkan itu, hantaran yang membebankan seperti yang diamalkan pada hari ini, itulah antara yang menyebabkan lelaki lambat berkahwin atau wanita sukar dipinang lelaki. Selain itu adalah tidak benar dan tidak wajar sesuatu perkahwinan itu ditanggung kosnya oleh lelaki yang hendak berkahwin. Sebaliknya ibu bapa wanita menanggung semua kos kerana majlis itu untuk mengisytiharkan perkahwinan anaknya. Begitu juga Ibu bapa lelaki mereka juga harusa bertanggungjawab membuat kenduri di rumahnya bagi mengisytiharkan bahawa anaknya sudah berkahwin.


Ibadah yang Tersia
Pembaziran dengan mensiakan ibadat adalah sesuatu hal yang “taboo” dalam masyarakat, sesuatu konsep yang susah hendak diubah. Terdapat juga mensia-siakan ibadah kerana adat. Mana tidaknya, ada sesetangah ahli keluarga yang terlalu sibuk dengan melayani tetamu sampai lupa melayani Tuhan mereka. Tidak solat adalah “top crimes” dalam islam.  

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Allah telah berfirman: “Aku telah memfardhukan ke atas umatmu solat lima waktu. Aku telah sungguh-sungguh berjanji dengan Diri-Ku, bahawa sesiapa yang menjaga solat tepat pada waktu maka Aku bertanggungjawab untuk memasukkannya ke dalam syurga. Sebaliknya, sesiapa yang tidak menjaga solat, Aku langsung tidak bertanggungjawab ke atasnya.” (hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Solat adalah hak utama Allah ke atas hamba-hambanya. Meninggalkan solat, seolah-olah kita sedang meremehkan hak Allah. Maha Suci Allah daripada memerlukan hamba-hambanya untuk rukuk dan sujud kepada-Nya demi menjadikannya Tuhan yang Maha Agung. Allah tidak memerlukan kita menyembahnya, tetapi kitalah yang memerlukan Allah. Kita memerlukan Allah dalam segala-galanya. Sehingga untuk terus bernafas pun, kita memerlukan udara yang disediakan oleh Allah, hidung yang diciptakan oleh Allah, saluran tenggorok yang dijadikan oleh Allah, paru-paru yang berfungsi hanya dengan izin Allah.

Majlis Walimah yang Punah
Nabi sendiri tidak melarang umat untuk berhibur, namun had dan sempadan terhadap sesuatu itu perlu dijaga. Majlis walimah yang dihiasi dengan nyanyian lagu yang bukan-bukan malah pemilihan liriknya yang merapu makin menambah kusut. Ditambah pula dengan persembahan yang tidak sepatutnya ada seperti persembahan seni bela diri yang tidak elok. Mana tidaknya persembahan itu seolah-olah yang benar berlaku, sepakan dan tujahan yang kuat sudah tentu menyakitkan mereka yang membuat persembahan. Persoalan saya, salahkah jika kita hanya dengan persembahan marhaban sahaja?

Ditambah pula jika kanak-kanak kecil yang tidak tahu apa-apa, seolah-olah dialak bagaikan ayam menyambung sungguh menjengkelkan. Tidak pasti aurat sudah tak terjaga jika kaki itu, diangkat 90 darjah ditambah lagi dengan seluar pendek dan tidak berbaju. Saya terkadang berfikir kenapa kita sanggup mencemarkan perkara yang mulia dengan perbuatan kotor. Persoalan saya, salahkah jika kita minta kanak-kanak tadi menyanyikan lagu-lagu nasyid yang baik buat kita?


Sesuatu yang kurang diberikan perhatian adalah pengantin. Sepatutnya pengantin wajib melayan tetamu yang datang. Dan mana mungkin itu terjadi, majlis persandingan saja sudah menelan begitu banyak masa. Tambahan pula dengan aktiviti bergambar Indoor dan Outdoor. Majlis yang sepatutnya ingin memperkenalkan pengantin sudah menjadi majlis makan-makan biasa, yang tinggal hanya ibu dan bapa yang melayani tetamu yang hadir. Persoalan saya, salahkah untuk kita mengambil gambar ‘outdoor’ pada hari berikutnya?

Manakala darisegi kad jemputan pula, sudahlah dihabiskan ratusan malah ribuan ringgit untuk itu. Salah pula dalam mentakwil dan memahami sejarah. Bukankah biasa kita membaca kad-kad jemputan yang terdapat doa di dalamnya. Seperti doa yang biasanya kita lihat pada kad-kad kahwin. Tahukah kita terdapat banyak khilaf ulama’ yang mempertikaikan adakah Zulaikha berkahwin dengan Nabi Yussuf?- Dr. Abdul Basit Abdul Rahman

"Ya Allah, Satukanlah hati kedua mempelai ini seperti Engkau satukan hati Adam dan Hawa, Yusuf dan Zulaikha dan seperti Engkau satukan hati Muhammad SAW dan Siti Khadijah. Semoga Allah memberkati dan menghimpunkan kamu berdua kebaikan dan keberkatan di dunia dan akhirat “

‘Orang Kita’ Yang Suka Sangka-Sangka (jugdmental)
‘Orang kita’ selalu membuat penilaian yang melulu. Sangka yang banyak sangka-sangka. Jika kena dengan syariat kenapa harus sangka-sangka.

Orang kita selalunya sangka:
Jika walimahnya biasa-biasa disangka tidak meriah,
Jika walimahnya meriah disangka menunjuk,
Jika sepadan disangka bakal bercerai,
Jika tak sepadan disangka tak pandai memilih,
Jika Kahwin awal disangka ada salah dimana-mana,
Jika kahwin lewat disangka tak laku,
Jika tak kahwin disangka mandul,
Jika kahwin-kahwinan disangka gatal.

Lalu kita sering bertanya kenapa ‘orang kita’ selalu sangka-sangka. Sangkaan yang buruk sebenarnya datang daripada hati yang sakit. Hati yang tersemat sifat mazmumah yang meruntuh. Fikirannya pesimis ditambah negatif. Diberi alasan sangka buruk itu kadang-kadang ingin berhati-hati. Lupa kita banyak hati terluka akibat sangka-sangka.

 

Tanamkan sifat positif, umpama lebah yang sentiasa mencari madu. Kerana ‘orang kita’ yang berbahagia adalah bahagia melihat ‘orang lain’ bahagia. Kurangkan sangka-sangka dan lebihkan doa.

Orang kita sepatutnya berkata:
Jika walimahnya meriah dikatakan moga ditambah rezekinya,
Jika walimahnya biasa-biasa dikatakan syukur dengan rezeki yang ada,
Jika sepadan dikatakan semoga kekal,
Jika tak sepadan didoakan kebahagiaan,
Jika kahwin awal dikatakan boleh elak maksiat dan tambah pahala,
Jika kahwinnya lewat dikatakan alhamdullillah ada yang sudi,
Jika tak kahwin dikatakan mungkin tiada rezeki,
Jika kahwin-kahwinan subhanallah moga berlaku adil.

Jangan Berputus Asa.
Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya dialah jua yang Maha Pengampun; lagi Maha Mengasihani”. Al-Zumar:39


Nota Hati:
Moga tulisan kali ini tidak menjadi ujian buat diri yang kian lama kian kalah. Terkadang terpaksa beralah, kerana orang yang mengalah tidak selalunya kalah.

Pandangan Pembaca
Tags:

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Scroll to top