ISLAMIK

Editorial

Atas Neraca Apa Nilaian Kita

“Ustaz, saya nk bertanyakan sesuatu”. Pernyataan tersebut menerjah tatkala ustaz ayub usai solat zohor.

“InsyaAllah saya sudi mendengarnya”. Jawapan balas Ustaz Ayub menguntum senyuman meringankan beban yang ditanggung irwan.

“Kenapa kelihatan resah saja irwan, jangan irwan mengadu soal cinta sudah lah” soalan spontan keluar menambah berat lagi beban irwan.

“Ehm, ustaz macam boleh baca je minda saya”

“Begini, saya ada masalah berkenaan pemilihan jodoh, saya harap ustaz boleh tolong saya” irwan terasa separuh bebannya telah dipikul oleh ustaznya itu.

“Boleh saja insyaAllah, apa masalahnya?”

“Saya berada dalam dilema pemilihan. Tiga pilihan. Mana satu yang saya harus pilih?” terang irwan.

“Wah, ini dah macam cinta tiga segi ni” gurau Ustaz Ayub memecah suasana bungkam.

“Tak lah macam tu sekali ustaz. Cuma Ibu saya ada kenalannya untuk saya, guru saya pun ada dan ada juga wanita yang menyatakan hasrat sendiri pun ada.”  

“Jadi apa yang harus saya buat?” irwan meluahkan isi hati yang membelenggunya.

 “Itu ke masalahnya, Kalau macam tu ada yang senang dan ada yang susah”. Ustaz Ayub mula berbelit kata.

“Cuma saya nasihatkan yang mana keputusan yang hendak dibuat semestinya mengikut garisan yang ditetapkan. Dan untuk berbuat perkara tersebut, ada susah dan ada senangnya”. Ustaz Ayub sudah mula serius.

“Apa yang susah dan apa yang senang?”.

“Yang susah ialah keputusan, yang senang ialah pilihan” Ustaz Ayub mula berfalsafah. Menambah lagi kekusutan irwan.
 
“Bila berhadapan dengan situasi macam ini keputusan adalah perkara pokok dan keputusan yang dibuat mestilah bertunjangkan sesuatu. Itulah neraca orang mukmin. Jadi menentukan neraca kita adalah penting tidak kira dalam menghadapi apa jua situasi”. Suara mula berintonasi.

“Habis tu, apa neraca yang tepat dalam soal ni”. Tahap inkuiri irwan sudah memuncak.

“Irwan, awak adalah seorang yang dikenali di universiti dan pernah menjadi pemimpin dan saya yakin awak mampu membuat pilihan yang tepat selain berusaha meminta juga pimpinan daripada Allah”. Pujuk Ustaz Ayub melihat kerut-kerut diwajah Irwan.

“Saya dulu memimpin tidak didasari unsur perasaan, dan sekarang situasinya berlainan”. Jelas Irwan.

“Irwan mungkin pernah mendengar suatu hadis nabi bukan, tentang neraca timbangan seorang mukmin terhadap wanita yang ingin dinikahinya”

“Ya ustaz, pertama harta, keturunan, kecantikan dan agama”. Jelas irwan sambil mengingat kembali urutan empat elemen dalam hadis baginda.

“Ya Irwan, itulah neracanya. Keempat-empat elemen tadi sangat penting dalam menjamin kebahagiaan hidup berumah tangga. Namun, ingat harta tidak kekal kerana harta akan habis. Harta ini juga adalah seorang yang berkedudukan dan termasuk juga akalnya. Itu juga harta. Jika dia kita kahwini hanya kerana cerdik dan memiliki gaji yang besar, nescaya kita tidak akan dihormati lantaran kedudukannya lebih tinggi daripada kita”. Kecantikan mungkin berkekalan tika muda bila sudah tua kecantikan akan hilang, Kerana keturunan juga tidak kekal kerana iman itu tidak boleh diwarisi”. Jelas Ustaz Ayub panjang.

“Sebaliknya jika pilihan utama itu atas tuntutan agama, maka akan berbahagialah kedua-dua tangan Irwan. Kerana dengan memilih yang keempat akan menjawab persoalan satu, dua dan tiga”. Jelas Ustaz Ayub menyimpulkan falsafahnya yang pada awalnya bersimpul.

“Ustaz tentu ada banyak pengalaman soal ni, mungkin ustaz boleh ceritakan pengalaman ustaz buat panduan saya”.

“Wah, nak mengcungkil rahsia saya pula ni”. seloroh Ustaz Ayub membuatkan irwan mula menggukir senyuman.
 
“Bagi ustaz sendiri biarlah kita menilai sesuatu dengan iman dan berperaturan. Pergi dan berjumpa dengan ahli keluarganya. Pergi berjumpa tidak salah untuk kita berkenalan, kita pergi tidak semestinya kita mesti ambil seseorang itu sebagai isteri kita. Tujuannya hanya untuk berkenalan dan setidaknya menjalinkan hubungan silaturrahim sesama islam”


“Irwan, tetapkan tujuan kita untuk berkahwin. Itu yang lebih utama. Jika ustaz, ustaz berkahwin untuk melahirkan generasi yang unggul dalam dunia islam amnya. Untuk itu, pemilihan harus dibuat bermula dari ibunya. Ibu yang ustaz pilih bukan untuk ustaz tetapi untuk anak-anak ustaz nanti”.

“Begitu sekali futuristik bentuk pemilihan tu ustaz” pernyataan tersebut menarik minat irwan.

“Bukan setakat futuristik tapi saintifik” ustaz Ayub mula menyimpul kembali falsafah yang baru saja dilonggarkan.
  
 “Bermaksud pemilihan itu dibuat berdasarkan keturunan. Keturunan yang baik penting dalam membentuk keluarga yang Qurrata A’yun (Penyejuk mata)”.

“Jika pemilihan itu hanya untuk ustaz maka baik ustaz pilih yang cantik, Betul tak?. Tapi kesedaran kepada  keempat elemen tadi mendorong untuk kita memilih bukan hanya untuk kita tetapi untuk mereka-mereka yang lain”. Terang Ustaz Ayub.

“Entah lah ustaz, saya masih tidak berhenti berfikir mengenainya. Saya keliru”. Resah irwan

“Kita keliru sebab kita diarah oleh manusia” Jelas Ustaz Ayub.

“Kita mesti mempunyai jiwa yang bebas dalam memilih, bermaksud bebas darisegi arahan manusia dan meletakkan arahan Allah dan Nabi Muhammad pada peringkat utama. Ustaz nasihatkan buatlah istikharah. Selalu kita minta supaya Allah sedikitpun tidak serahkan diri kita kepada diri kita sendiri dan selalulah minta pertolongan daripadanya. Jangan pula terkeliru dengan petunjukkan Allah berbanding dengan petunjuk yang keliru daripada syaitan.” Muka Ustaz Ayub menunjukkan reaksi kurang senang.

“Maksudnya ustaz” Irwan bingung.

“Maksudnya kita mesti berulang kali meminta dan jangan hanya sekali, kerana syaitan tidak pernah puas dalam menggangu kita. Ikhlaskan diri dan membuat sesuatu dan jangan sesekali hendak mendapatkan nilaian keuntungan dalam membuat pilihan yang akhirnya merugikan kita”. Jelas Ustaz Ayub melihat irwan yang mula mengangguk faham.

 “Irwan, jangan jadikan cinta kita pada manusia cinta kelas kedua. Bermaksud meminggirkan soal agama dan tiap apa yang kita lakukan. Kerana sifat manusia sering berubah-ubah, lemah dan sementara. Hanya Allah yang kekal abadi. Untuk mengekalkan cinta letakkan cinta tuhan berada di tengah. Apa pun jua yang terjadi, kita akan ada rujukan kukuh untuk berpaut”.

“Apa maksud rujukan yang kukuh?”

“Rujukan yang kukuh bermaksud apa yang ditentukan peranannya oleh agama. Manusia merancang dengan cinta, sebalik Allah menentukan dengan cinta. Cinta berdasarkan fitrah sahaja tidak cukup tetapi ia harus dimurnikan dengan  cinta daerah tinggi, dimurnikan daripada elemen tidak jujur dan ikhlas. Dilindungi dari bujukan syaitan dan disalurkan mengikut syariat. Maka jadilah cinta pertama dalam rumah tangga yang menjalankan hak bukan hanya menuntut hak.”

“Susah tentu ada beza antara menjalankan hak dan menuntut hak kan ustaz?” Tanya Irwan tanda setuju.

“Betul, kamu nampaknya dah faham. Buat masa ni ustaz mampu untuk nasihatkan itu sahaja. Pilihlah wanita itu kerana agamanya. Banyak bertanya padanya soal-soal agama sebelum kahwin. Selidik dulu mana yang perlu. Jika agama menjadi ukuran, walau kaya macam mana sekalipun, walau secantik bidadari, walau keturunannya raja. Seorang wanita yang baik, akan tunduk pada suaminya kerana dia mengerti tanpa keredhaan suaminya ia tidak akan mencium bau syurga” jelas Ustaz Ayub sambil wajahnya teruir senyuman yang panjang.

“Betul tu ustaz, saya akan cuba memahaminya. Terima kasih kerana sudi mendengar masalah saya”.

“Ustaz sedia membantu mana yang patut sebagai saudara seislam. Ustaz perlu hadir mesyuarat ni. Kita jumpa lagi”. Kesimpulan itu dibuat sambil Ustaz Ayub menghulurkan tangannya.

Genangan air mata irwan mengenangkan keikhlasan ustaznya itu, dan nasihat yang berguna tidak akan disiakan begitu sahaja. Fikiran irwan masih lagi mencari peluang dan jalan. Sedang menyusun kata bila berbicara nanti dengan mereka.  Jauh disudut hatinya ingin menjaga semua perasaan orang yang berada disekeliling. Namun, dia tahu yang dia tidak mampu dalam soal itu. Kesibukkannya melanda pada akhir sesi pengajian dan biarlah masa terus melukis putih canvas dalam hidupnya. Dengan pimpinan dan petunjuk illahi dia yakin semuanya akan berjalan dengan baik walaupun menghadapi seribu kesulitan.


[1]          Bagi golongan lelaki, Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” Hadith ini telah direkodkan oleh kedua-kedua Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka serta imam hadith yang lain.

Pandangan Pembaca
Tags:

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Scroll to top