ISLAMIK

Editorial

Akidah Harimau Malaya


Tulisan kali ini saya tumpukan pada skuad Harimau Malaya pimpinan Datuk K. Rajagopal. Tidak saya ingin mengulas secara taktikal permainan bola itu sendiri kerana saya kurang mahir mengenainya. Cuma ada dialog antara teman-teman yang sedikit menggugat iman di hati tentang persepsi orang yang berada dibawah kendalian pasukan dan seterusnya elemen ini dimasukkan ke dalam minda masyarakat.

Sejenak saya terfikir bahawa dengan kemajuan yang ada kita sudah lagi tidak kebal daripada serangan musuh-musuh islam itu sendiri. Samada sedar atau tidak. Segalanya seolah bagai angin yang berlalu. Tidak langsung kita sedari bahawa jarum-jarum itu telah masuk dalam sedikit kealpaan yang selama ini menjadi pegangan kita.

Suasana Kedai Makan
Kawan : “Malaysia menentang Indonesia malam ni game agak menarik. Malaysia bermain agak bagus malam ini, semua jentera semua bahagian hidup”

Saya: “Erm, nampaknya begitulah ia lebih bagus daripada perlawanan menentang Singapura.”

Kawan: “Cantik juga baju jersi Harimau Malaya ni, Aku beli yang warna kuning belang-belang tu. Biru macam tu tak beli lah pula”

Saya: “Oh ya, dah lama tak tengok meraka pakai baju tu apabila bermain diatas padang, kenapa ya? Bukan ke itu baju home?”

Kawan: “Katanya baju tu kalau pakai kalah, bawa nasib tak baik”

Saya: “Macam tu pula??”

Mendengar kata-kata itu menguatkan hujah apabila saya melihat ulasan siaran langsung RTM sebelum sepak mula permainan tentang jersi yang patut dipakai oleh Malaysia. Hujah pengulas pada masa itu, memang ada spekulasi bahawa baju berbelang kuning itu membawa nasib tak baik apabila perlawanan besar yang melibatkan skuad Harimau Malaya.



Skop Perbincangan
Sindrom begini agak membimbangkan saya, khususnya kerana ia melibatkan soal kepercayaan dan akidah. Lebih memburukkan keadaan apabila ianya telah menular dalam pemikiran masyarakat dan menjadi kepercayaan secara tidak langsung. Mungkin bagi mereka yang sedar dan punya ilmu tentangnya akan berhati-hati. Tapi bagaimana dengan sebahagian yang lain?

Apabila menularnya keadaan ini dibimbangi kepercayaan bahawa memakai baju itu akan membawa sial mungkin akan wujud. Mungkin saja akan datang bukan setakat baju, malah ia akan menular kepada benda-benda yang yang mungkin menyebabkan kekalahan sukad Harimau Malaya. Ia akan menjadi barah yang  masyarakat tidak sedar. Apabila parah, ubatnya pun akan sukar dicari. Sedarlah.

Syariatullah dan Sunnatullah
Ketahuilah bahawa tidak ada sial (Tatayyur/Tiyarah) pada sesuatu benda. Semua benda yang berlaku ada sebab dan akibatnya. Fahami syariatullah dan sunnatullah sangat penting dalam kehidupan individu muslim. Syariatullah ialah syariat dan hukum hakam yang ditentukan oleh Allah s.w.t kepada hambanya. Manakala suannatullah ialah peraturan alam yang Allah s.w.t aturkan buat alam ini.

Jika kalah maka adakah layak disalahkan baju? Warnanya? Jenis kainnya?. Adakah bukti sainstifik bahawa benar warna, jenis, baju itu memberikan kekalahan? Jika tidak, maka salahnya apa? Mungkin saja salah taktikalnya, Jenis latihannya dan bermacam lagi faktor lain. 

Yang salah bukannya baju.
Yang salah bukannya warna.
Yang salah bukannya kain.
Yang pasti salah ialah mempercayai sial yang membawa kesyirikan.

“Mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik, mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik. (Baginda mengulanginya tiga kali).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3910]

Menurut kepercayaan orang Arab jahilyyah jika mereka akan mengadakan safar (perjalanan) maka mereka terlebih dahulu akan melepaskan burung (tiyarah). Jika burung tersebut terbang ke arah kanan rumah maka mereka akan gembira tetapi jika sebaliknya terbang ke arah kiri maka mereka akan bersedih hati kerana itu petanda musibah akan menimpa dan mereka selanjutnya akan menangguhkan pemergian.
Rasulullah s.a.w. bersabda :

اَلطِّيَرَةُشِرْكٌ،اَلطِّيَرَةُشِرْكٌ
Ertinya : Tiyarah itu syirik , tiyarah itu syirik ( HR Abu Daud dan Tarmidzi - Menurut Tarmidzi : Sahih )

Nasihat Buat Pedoman

Ingatkah kita kepada apa yang dikatakan oleh nabi kita Muhammad s.a.w?

Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk" lalu seorang lelaki bertanya : "apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?" Jawab Nabi : “Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya" 
[At-Tabrani, no 3227, 3/228 ; Al-Haithami : Dhoif kerana perawi bernama Ismail Bin Qais]

Saya yang kerdil ilmunya ini, menutup nasihat kata ini dengan memohon agar masyarakat dan pemain-pemain khususnya yang beragama islam yang berpegang dengan kidah yang shahih untuk tidak mempercayai perkara sebegini. Jika jurulatih (Datuk K. Rajagopal) atau sesiapa saja untuk sekadar hanya memakai baju biru (away) itu atas arahan sahaja. Tidak sampai mempercayai adanya sial padanya.

Begitu juga dengan peminat-peminat bola sepak tempatan (termasuk saya) supaya tidak ada manifestasi yang lebih berhubung dengan perkara sebegini kerana jika dibiarkan kepercayaan ini masuk ke dalam minda iainya memberi impak besar kepada kita. 

Jaga islam yang ada pada kita.
Kalimah agung dan yang terpenting. Antara kita dan islam.
Tiada Tuhan Melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah

اللَّهُمَّ لاَ يَأْتِى بِالْحَسَنَاتِ إِلاَّ أَنْتَ ، وَلاَ يَدْفَعُ السَّيِّئَاتِ إِلاَّ أَنْتَ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِك

Ya Allah, tiada yang dapat mendatangkan kebaikan kecuali Engkau, dan tiada yang dapat menolak keburukan kecuali Engkau, dan tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan izin Engkau. [Riwayat  Abu Daud] 


Pandangan Pembaca
Tags:

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Scroll to top