ISLAMIK

Editorial

Lelaki: Jadilah Ibu Untuk Anakmu





Musim cuti ini memberikan banyak masa. Kerehatan yang muncul selepas kesibukkan yang melanda sebelum muncul kembali musim kesibukkan yang serupa malah lebih sibuk pada tahun hadapan. Kerehatan memberi ruang kepada kita meneliti segenap ruang dalam kehidupan yang semakin mencabar ini. Teringat saya pada kata-kata seorang agamawan (yang sudah terlupa namanya) bahawa dunia ini Allah jadikan semakin cantik. Semakin kita menghampiri berakhirnya zaman ini, ia semakin menarik.

Lantas dalam kita mendepani arus kemodenan yang serba laju dan cepat. Terasa seperti dunia ini semakin rancak berputar. Siang, malam berganti dengan begitu cepat. Tulisan ini saya memberi fokus pada soal “persediaan tanggangjawab dan amanah” kepada seorang yang bernama LELAKI. Dibalik kesibukkan keperluan dan kehendak yang mendesak. Wanita dan lelaki terkejar-kejar dengan pelbagai urusan pekerjaan. 


Alhamdulillah, bagus. Anda sudah menunaikan tanggungjawab, tapi bagaimana pula dengan amanah iaitu melaksanakan tugas tersebut dengan sepenuh hati. Semua perkara itu perlu dilatih, berlatih untuk bertanggungjawab dan beramanah. Ia perlu bermula sebelum, semasa dan selepas. Terimalah kalam kala hari dingin, Lelaki: Jadilah Ibu Untuk Anakmu.

Kata Orang Tua-Tua
Orang tua yang penuh dengan petua dan kata-kata yang mereka lebih ‘makan garam dahulu’ memang tidak dinafikan. Namun, dunia berubah. Pernah bukan kita mendengar kata-kata; “wanita akhirnya perlu ke dapur juga”. Kononnya tidak kira sebesar manapun status pekerjaan mereka dan pendidikan akhirnya mereka ini perlu ke dapur (melakukan tugas rumahtangga). 

Ini memberikan konotasi kepada tanggungjawab seorang wanita dalam konteks urusan rumahtangga. Namun ia sering disalah erti oleh seorang lelaki. Baca saja dimana-mana juga, banyak rungutan, keluhan, rintihan wanita yang penat. Sudahlah terpaksa bekerja dalam membantu si suami dalam urusan kewangan rumahtangga. Balik ke rumah masih perlu melakukan kerja di rumah sedang si suami berehat bersenang lenang. 

Si suami membaca surat khabar, melayari internet atau mungkin saja tertidur. Cinta yang dilaungkan sebelum perkahwinan jelas hanya manis di bibir namun pahit di lidah usahkan mahu ditelan oleh sang isteri. Cinta yang ada tidak diterjemahkan dalam bentuk perlakuan. “Aduh, penatnya dia boleh berehat dan tengok saja saya berpenat. Bukan nak tolong”. Begitu kurang lebih bunyi rintihannya.

Bebanan Seorang Bernama Wanita
Wanita dijadikan oleh Allah sangat unik. Bagi saya sebagai seorang lelaki agak sukar untuk dijelaskan sifat mereka secara holistik. Mereka mampu melakukan pelbagai kerja dan penuh sabar. Mungkin atas dasar itu agaknya Allah melantik mereka sebagai penyeri dalam sesebuah rumahtangga.  Ramai para ibu yang bekerja demi membantu si suami ditambah lagi dengan kerja mereka di rumah. Subhanallah! sungguh besar peranan seorang bernama wanita. 

Lihat saja ibu kita yang mendidik kita dalam rangka tumbesaran kita hingga kepada siapa kita sekarang. Dari awal pagi mereka telah bersiap sedia dengan segala kelengkapan yang kita perlukan. Tidak pula si ibu merenget kerana melakukan banyak perkara. Ya, ianya atas dasar sayang, tanggungjawab dan amanah.

 
Sudah disiapkan baju untuk kita,
makanan dan minuman,
kelengkapan seharian,
semuanya lengkap dan tersedia.

Jika dulu semasa musim berbuah cinta. Setiap gerak gerinya si suami sentiasa berpesan, “Jaga diri baik-baik”. Jika sakit maka si suami membawa si isteri ke hospital. Ironinya apabila selepas perkahwinan hal tersebut tidak lagi berlaku. Jika isteri hendak pergi kema-mana “belikan saya surat khabar” (contoh), tidak dipesan lagi diri si isteri untuk dijaga dengan baik dan berhati-hati. Jika si isteri sakit “biasalah, awak tu dah berumur”. 

Si isteri menanggung pelbagai bebanan. Petanda berlalu musim cinta yang penuh bunga. Lebih menakutkan lagi apabila pasangan tidak langsung menyedari musim telah beralih arah. Panas dan tidak selesa. Menimbulkan banyak impak yang pelbagai. Berlaku keadaan yang dingin hingga membawa kepada ketidakbahagiaan dan perceraian. Adakah ini yang kita mahu? 

Lelaki ini, harus memahami tanggungjawab dan amanah. Mana janji kononnya akan ‘hidup bersama’ yang kita luahkan dulu. Analoginya, Jangan dilupa benih lafaz ikrar dan janji yang kita taburkan dulu. Hasilnya perlu kita tuai. Jika hasilnya tiada maka benih yang kita tanam itu tidak menjadi. Hanya tinggal janji yang kosong. Kerana tidak sering kita bajai.

Lelaki yang Qawwam
Surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”.

Qawwam bermaksud (jama’:yang bermaksud banyak lelaki) bersifat umum dan dikhususnya kepada suami. Ia berasal daripada perkataan ‘qaim’ yang bererti bertanggungjawab, memenuhi keperluan prihatin, memimpin, mengambil berat terhadap kaum wanita selain tanggunjawab utama iaitu memberi nafkah yang dijelaskan dalam ayat tadi.

Ia tidak bereti andalah boss (dalam erti kata yang ekstrim) dalam rumahtangga. Bukan hanya memimpin semata-mata tapi lebih kepada rasa keberadaan bersama isteri dalam segenap hal. Cubalah tonjolkan ciri itu dalam diri ke luar. Dalam rumah dan tangga itu, andalah boss, pekerja, mandur dan sebagainya. Sesuaikan peranan itu.

Lelaki: Jadilah Ibu Untuk Anakmu
Ya, jadilah ibu untuk anakmu nanti. Bagaimana? Jawabnya ialah bersedialah daripada anda bujang. Jadikan diri kita pemuda yang bervisi, yang melihat jauh kehadapan. Dengan itu kita akan mengarah jiwa raga dan jantung hati kita bergerak kearah yang kita mahu. Bersedialah! Ia bukan sekadar laungan tapi usaha yang berterusan.

 
1. Wujudkan kesedaran dan kemahuan
Disegenap ruang itu, cuba perhatikan dan letakkan peluh kepenatan itu terhadap ibu kita. Letakkan empati yang tidak berbelah bagi. Cubalah untuk memahami kerja mereka. Dari pagi hingga petang, tugasnya sebagai isteri tidak pernah berhenti. Kakinya sentiasa kesana-kemari. Jarinya basah dek basuhan pinggan mangkuk yang banyak dan tidak kunjung habis. Fikirannya sibuk memikirkan hdangan dan masakan apa yang terbaik untuk keluarganya. Lenguh badannya di tempat kerja yang bertimbun. Sedarkan diri untuk semua itu. 

2. Sentiasa menolong ibumu
Jenguklah selalu dicorong dapur itu. Dia masih lagi menjalankan amanahnya sebagai ibu dan isteri. Bunyi pinggan dan mangkuk silih berganti. Ringankan tanganmu menolongnya. Basuh pinggan, basuh baju, memasak, tolong siapkan ramuan dan rempah. Jika kita menganggap semua yang diatas bukan kerja seorang lelaki. Maka ia satu kesilapan yang amat besar. Buang stigma itu jauh dari kita.

Ia bukan merendahkan martabatmu sebagai seorang suami bila berkahwin nanti. Malah, ia menjadikanmu lelaki bertanggungjawab. Anda telah memenangi satu pertandingan. Pertandingan? Ya, situasi menang-menang.  Isteri anda sudah bekerja membantu anda. Tiba pula giliran anda membantunya di rumah. Bukan hanya melihat.

3. Jangan pernah berhenti
Bererti dalam melakukan kebaikan jangan hanya suam-suam kuku. Sebaliknya perlu ada suatu daya ‘Burning desire’ dalam diri. Kita biasanya hendakkan perubahan dan agak sukar melakukannya pada peringkat awal. Tetapi setelah melakukannya maka perlu kita kekalkan daya itu. Agar kita dapat nikmati perubahan demi perubahan yang berlaku dalam kehidupan.

Percayalah, dengan tiga mekanisme diatas anda tidak akan kekok bila untuk menolong isteri anda. Hak keduanya akan tertunai. Perkahwinan ialah bukan setakat perkongsian hati tapi jiwa dan perilaku. Berbincang dan berusahalah dalam segenap aspek.

Apa yang penting? Komunikasi.
Sepertimana kata ramai pakar motivasi bahawa kebahagian bukan datang dengan meminta sebaliknya memberi. Ia tidak akan hadir apabila kita sentiasa menuntut hak sebalik hadir apabila kita memberikan hak. “Dia sepatutnya buat itu”, “ini bukan kerja saya”, mungkin ungkapan yang perlu dielakkan. Antara keduanya, selain beberapa hak penting yang lain seperti nafkah dan sebagainya. Perlu diperhatikan ialah hak berkomunikasi. Ia jalan bagi penyelesaian masalah. Jujur dalam tindakan dan baik sangka antara elemen terpenting. 


Neraca Keadilan Atas Tanggungjawab dan Peranan
Islam sebagai agama yang adil telah meletakkan hak dan tanggungjawab bagi setiap suami dan isteri. Masing-masing ada peranannya. Apabila seorang isteri dan suami menolak hak dan tanggungjawab tersebut, bererti dia menolak neraca keadilan Islam dan menggantikannya dengan neraca keadilan buatannya sendiri.

"Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." [al-Nisa’ 4:32]


Pandangan Pembaca
Tags:

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Scroll to top