ISLAMIK

Editorial

Teriak Hati Andainya Dia Pergi


Adat dalam waktu himpunan memiliki dunia. Yang hidup diselangi yang mati, yang muda diselangi yang tua. Yang sihat diselangi sakit. Ini kerana urusan dunia tulus, tetapi  yang tulus tak selalunya mulus. Ahh! Kenapa bila asyik berbelit kata sebelum langkah bertindak. Apakah kita sendiri tidak jujur pada diri sehinggakan semua perkara jadi tidak kena? Apakah terkadang kita cuba melawan takdir yang Maha Kuasa sedang kita lupa kerdilnya kita?. Terhenyak perasaan dek lamunan rasa yang terkadang jauh tersasar.

Itulah kita yang beridentitikan manusia. Lupa dimana tempat asal hingga mengaburi jalan sebenar tujuan. Hingga terlalu sibuk dengan pesona dunia. Cinta biasanya disusuli air mata, petanda cinta bisa membinasakan atau membahagiakan. Andai dia pergi, apakah kita rasa tersentap lalu direbah? Apakah emosi pada tahap abnormal lalu memadamkan cahaya yang biasanya bersuluh terang?. Ahh! Terlalu banyak persoalan yang bermain difikiran. Bisikan kata terkadang hanya lekaan tidak pula jalan kebenaran.

Teriak hati besar membatasi ketulusan mulus jiwa. Namun selembar kata biasa tidak mungkin memujuk hati dalam keadaan luar biasa. Jiwa dinodai bagai tersiat dek hakisan amuk. Itulah teriak hati besar, kesudahan bungkum tiada bertepi. Namun, lain pula teriak hati kecil. Sentiasa memandang dosa itu dengan hikmah. Tatkala hati besar terasa amuk, lekas di bisikkan cerita nasihat. Nasihatnya sungguh tajam bagai jarum namun disebalik itu terus mengalirkan cecair ketenangan. Alangkah hebatnya hati kecil, kecil tetapi berhati besar. Hati hati besar, selalu mempunyai hati kecil. Maaf, sekali lagi bermain kata. Terimalah bisikan hati kecil Se “Andainya Dia Pergi”.


Andainya Dia Pergi  Jauh
Andainya dia pergi, maka relakanlah dengan sepenuh hati. Kerana bukan kehendak hatinya ingin hilang dimata, akan tetapi kerana tuntunan tanggungjawab yang digalas. Bukan hanya sekadar mencari masa depan yang pudar, tetapi masa depan yang abadi sampai ke syurga bersamamu. Jika kita bertanya siapa yang tidak mahu pergi kesyurga?. Maka sudah tentu yang berkata "ya" manakala "tidak" tinggal sisa.


Perginya bukan sekadar mencari redhamu, tetapi hakikatnya mencari redha ilahi. Tiada rasa bisa dikecap. Tiada noktah bisa terhenti. Tiada rasa boleh dikecap, hanya makna bisa kita garap. Dalam pencarian perlu ada penantian. Dalam penantian perlu ada kesabaran. Dalam kesabaran perlu ada keteguhan. Dalam Keteguhan perlu ada keimanan. Jadikanlah ia rukun menghadapi kejauhan dan penantian.

Jadikanlah kejauhan sebagai medium untuk menghampiri. Bermaksud jika keimanan bertatahkan keteguhan bersendi dalam diri, insyaAllah terjalin mesra ikatan dan simpulan. Sebelum ia pergi, pandanglah wajahnya. Selami hatinya yang terkandung beribu kenangan yang mengusik jiwa. Ternyata bukan harta yang ditagih tapi tagihnya tagih rindu buat bekalan ke penghujung jalan.
Detik yang paling sedih adalah detik ditinggalkan. Kata cendekiawan, jika kita tidak sanggup untuk berpisah lebih baik kita jangan mencipta pertemuan. Sunnatullah, yang jauh bakal mendekat sebaliknya ia dekat bakal menjauh.
Perginya dia jauh dari kita, terkadang masa kita bersamanya. Belum sempat kita bermanja. Belum puas kita tenung wajahnya. Belum sempat habis ukiran kata sayang yang dipahat. Dia telah pergi, jauh meninggalkan kita. Di saat waktu berhenti , terasa amat rugi kita kerana dulunya kita terleka dengan pelbagai tujuan. Hadirnya bagai hembusan angin lalu, bertiup sayu lalu pergi tanpa bertamu.

Alangkah kerasnya hati kita pada waktu itu, kepentingan dia yang tersayang yang kita laungkan sebenarnya dibatasi ketindakikhlasan. Kita pentingkan diri sendiri. Ya, kita. Tika kita diuji dengan perpisahan baru terasa indahnya pertemuan. Air mata mengalir tanpa kita sedari. Dalam penantian menjengah daerah rasa kita bungkam tiada berlagu.

Andainya Dia Pergi  Jauh
Tiada kata bisa dipintal, tiada rasa bisa digambar. Hanya coret-coret kenangan mengimbau kenangan silam. Adakah kita hendak hidup dalam fantasi yang hanya fatamorgana realiti?. Katakan tidak kepadanya. Adakah kita sanggup menghadapi ujian yang berat tanpanya?. Katakan kita mampu melakukannya.

Teriak rasa bagai gegak gempita guruh. Tiada nada bisa keluar tatkala pita suara masih lagi terbuka. Alangkah parahnya keadaan kita pada waktu itu. Sudah pasti ianya salah kita. Kerana mencari kesempurnaan pada seorang manusia. Tiada kesempurnaan pada manusia kecuali junjungan besar Nabi Muhammad yang tercinta. Sifatnya maksum, tiada sedikit dosa tercalit dek jagaan dan didikan langsung Tuhan kita, Allah.

Manusia sering lupa dan alpa. Tapi kita masih lagi mencari kesempurnaan. Lupa kita manusia sememangnya tulus tapi tidak semestinya mulus. Ahh!! Kenapa kau masih cuba memintal kata-kata bohong. Kerana kata ini bukan pintaan biasa. Ia pintalan kebaikan. Manusia ada kekurangan, perlu ditambah sana dan sini. Terimalah kekurangan yang ada pada diri kita. Koreksi diri dan peribadi. Adakah kita layak bersedih sedangkan diri kita masih lagi disayangi oleh Pencipta kita? Katakan pada diri semestinya tidak.

Sayang itu tidak semestinya memiliki. Kerana sayang terpalit kata hembusan rasa walau dalam kejauhan. Sayang itu bersifat universal mampu diberikan pada yang lain. Walaupun hanya sedikit tersisa dek kerana banyak ditumpahkan. Namun, berikanlah yang berbaki. Buatlah amal walaupun sedikit, nescaya jika keikhlasan itu datang, timbangannya berat tiada terkira.

Andainya Dia Pergi  Jauh
Kita perlu membuat kira-kira dalam kehidupan. Bukan kita kedekut tetapi inputnya harus selari dengan output. Seseorang tidak akan mampu memberi jika tidak punya sesuatu. Kira-kira perlu tetapi jangan berkira. Ahh! Sekali lagi bersilat lidah dengan gaya berbunga. Selagi kita tidak tunduk pada nafsu maka teriakan akan kembali menerjah. Wujudkanlah sifat Qanaah dalam diri. Berpada dengan yang ada. Saksikanlah akan muncul bahagia yang dulunya hanya bayang-bayang kini menjadi nyata.

 

Kuatkanlah semangat serta bulatkan tekad. Berpisah di dunia memang sakit, tetapi tidak akan sesakit perpisahan dikala kita mati. Namun, sakitnya mati juga dirasakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. baginda mati dengan cinta terukir dibibir. Lidah basah dengan kata, Ila Rafiqi ‘Ala (Teman Daerah Tinggi) Ila Rafiqi ‘Ala (Teman Daerah Tinggi). Rindunya bertemu pencipta tiada ralat tetapi bulat. Bulat hati menyerahkan segalanya untuk yang mencintainya.

Bukanlah kita pernah membaca tentang cinta. Cintailah yang mencintai, jangan mencintai yang kita cinta. Ahh!! Sekali lagi kau berbelit kata. Bukan, bukan aku sengaja berbelit kata. Cuma sekadar ingin menggunakan ayat yang ringkas tapi tepat. Orang yang kita cintai selalunya manusia. Namun aku tidak mengatakan itu salah, Cuma tidak tepat. Cintailah yang mencinta iaitu Allah. Dialah cinta pertama dan utama kita. Cinta pertama kita, cinta utama kita.

Hati Besar: hati kecil, Kenapa engkau selalu ada untuk menasihatku sedangkan aku selalu melulu dalam tindakan?. Kenapa engkau masih ada tatkala kata-kataku membuat calar padamu. Kenapa kau masih ada titisan kasih padaku sedangkan aku membencimu.

Hati Kecil : Wahai hati besar, engkau milik tuhanmu. Yang menciptamu daripada tiada kepada ada. Kerana Tuhanmu itu tiada mula dan tiada akhir. DIA kekal selamanya. DIA Tunggal, tiada dua mahupun tiga. Tunduk atas ketentuan bukan satu kerelaan tapi kewajipan hamba.

Nota Hati :
Inilah monolog Hati kecil bersama Hati Besar sepanjang cuti . Keduanya harus saling berkait dan berpadu. Hati Besar untuk bergerak, hati kecil untuk memandu. Selembar kemaafan buat teman-teman yang selalu bertanya bila lagi entri baru akan saya siarkan. Ini kerana apa yang saya tulis sedang menjadi ujian buat diri. Lemah saya menghadapinya. Harapan saya agar kamu semua ada disisi buat peneman hidup. Wahai temanku, pesanku agar peliharalah hati agar kedua membawa kita bertemu Tuhan Rabbul Jalil diatas jalan yang lurus. Bersama kita pergi bersama. Mengintai kejauhan dalam mencari keredhaan.

Pandangan Pembaca
Tags:

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Scroll to top