Kehidupan merupakan untaian cabaran yang mesti ditempuhi oleh ramai daripada kita. Dan tidak ramai yang mampu menghadapi kesedihan diri disebabkan ujian. Sering diadukan kepada yang bukan ahli menyebabkan masalah sering timbul tenggalam. Itulah antara sebab Nabi Muhammad s.a.w menganjurkan agar ummatnya membuat sesuatu itu dengan sederhana. Ini kerana apabila kita diuji dengannya kita tidak terlalu menderita.
Menyedari sesuatu hakikat itu adalah sesuatu yang perlu. Perkara yang diciptakan tidak kekal sebaliknya yang kekal ialah hanyalah yang Maha Pencipta. Oleh itu, perkaitan (mafhum mukhalafah) dengan ayat yang pertama ialah lakukanlah sehabis daya untuk memenuhi kehendak pencipta yang tahu keterbatasan manusia dan besederhana dalam memenuhi kehendak manusia yang kadang-kadang tidak terbatas.
Dikesempatan dan keterbatasan waktu, ramai sahabat-sabahat yang bertanya tentang beberapa soalan. Berat hati juga ingin menjawabnya. Kerana saya bukan mujtahid untuk mengeluarkan hukum. Cuma saya orang hikmah yang hanya boleh memberikan nasihat. Walaupun, ada waktu dan ketika saya gagal menasihatkan diri sendiri. Allah, lemahnya diri ini. Terimalah soalan dan jawapan ini buat dirimu, pembaca isi hatiku.
Soalan:
Hafifi, kenapa manusia ini cepat berubah, hari semalan nampak biasa-biasa sahaja? Tiba-tiba hari ini lain pula jadinya. Saya betul-betul tak faham.
Jawapan:
Jelas saya hanya tersenyum ketika meminjamkan telinga buat sahabat saya ini. Pernah saya memberitahu bahawa manusia ini mempunyai potensi yang sangat baik untuk berubah. Ya, berubah. Perubahan juga membawa kepada beberapa faktor yang signifikan dalam kehidupan. Manusia berubah terhadap persekitaran, masa, kesan emosi dan pengaruh spiritual dalaman. Untuk kita mengenali perubahan kita mesti membuka hati seluasnya dalam memahami manusia.
Banyak sungguh perangai manusia, banyak sungguh pandangan manusia. Kadang-kadang membuatkan kita lelah disamping resah dalam memperjuangkan hak dan tanggungjawab. Menyedari hakikat itu, kita terkadang jatuh ke jurang paling dalam ditengah kehidupan. Lalu timbul persoalan yang selama ini hanya berdiam diri dalam lautan kehidupan. Apa yang timbul (perubahan) itu tidak kita kenali, kerana selama ini kita tidak pernah melihatnya. Itulah sifat manusia. Berubah membentuk satu sifat yang baru.
Berdoalah kepada Allah agar apa yang kita perjuangankan tidak hanya manis dibibir tapi kelat dan pahit apabila ditelan tambah pula diperut ia meragam. Biarlah manis, ditelan dibibir sedap dan diperut khasiat. Kita lemah sebagai insan. Apa yang diimpikan tidak selalu menjadi kenyataan. Zaman sekarang realiti mampu juga berubah menjadi fantasi. Oleh itu, sandaran kepada Allah dengan meletakkan ilmu adalah tuntutan yang mesti dalam kehidupan.
Soalan:
Hafifi, agak susah untuk ‘ana’ memahami nilai sebuah perkataan? Percakapan tidak selari dengan perbuatan. Al-hasil menjadikan ‘ana’ keluh kesah dan tidak terarah.
Jawapan:
Geli hati bercampur resah untuk saya menjawab persoalan tersebut. Tambah pula sahabat itu menggunakan gelaran ‘ana’ (gelaran ganti nama bahasa arab bermaksud saya) buat dirinya. Saya terfikir, kenapa harus digunakan gelaran itu. Sudah jadi ‘rojak ayam’ Bahasa Melayu. Saya mengeluh panjang. Saya menjawab dengan hanya satu soalan untuk dirungkaikan. Kamu pernah dengar pepatah “Tafsiran Patah Perkataan”. Dia menjawab dengan “tidak”. Sebelum menjawab persoalan yang saya sendiri ajukan, saya menerangkan bahawa sangat berbeza antara komunikasi jarak dekat dan jarak jauh. Komunikasi jarak jauh akan membunuh hubungan kita dengan manusia jika tidak kena masa dan tempat. Begitu juga kamunikasi jarak dekat, cuma risikonya agak kurang.
Bila kita menggunakan medium jarak jauh dengan teknologi telefon bimbit dan pesanan ringkas. Namanya pun sudah pesanan ringkas. Nilai empati jarang ada dalam kamunikasi dan kalau ada pun sukar untuk orang yang membaca memahaminya. Perkataan “ok” atau “baik” bagi menjawab suruhan dan menjawab persetujuan boleh yang menjadi adat agak terasa kurang abad. Jawapan yang ringkas boleh memberikan pelbagai maksud.
Mungkin sibuk atau tidak mahu mengendahkan sesuatu suruhan. Dan menyebabkan salah faham berlaku. Jika kita pandai meletakkan perasaan atau empati pada situasi jarak dekat seperti “insyaAllah saya akan melakukannya dengan baik, lagipun kamu mesti banyak kerja untuk diselesaikan”, maka pesanan itu juga ringkas tetapi agak kurang ringkas tapi diletakkan empati didalamnya dan ia lebih mudah untuk difahami dan dihayati walaupun agak panjang. Bahasa panjang tak mengapa jangan bahasa terlanjang, Malu kita. Dia hanya tergelak dengan jawapan itu.
Berbalik kepada persoalan awal. Kata orang sekeping gambar itu mampu ditafsirkan kepada seribu perkataan . Begitu juga kita, mesti menjadi orang yang boleh menafsirkan patah perkataan menjadi berjuta gambar. Saya meninggalkannya dengan kata itu untuk difikirkan, kerana bila sukarnya mendapatkan jawapan akan kekal lama ingatan kita terhadapnya.
Soalan:
Saya risau tentang solat saya dan juga zikir selepas solat. Kadang-kadang apabila balik daripada kuliyah bersama kawan-kawan, untuk singgah di surau terasa macam hendak menunjuk-nunjuk pun ada dalam ibadah. Begitu juga zikir, apabila solat sendirian tidak berzikir berlaku sebaliknya dalam solat berjemaah.
Jawapan:
Menjawab soalan tersebut neuron-neuron otak saya gagal mencari jawapan dalam bahasa mudah dan bentuk yang ringkas. Bagi saya sendiri, sesuatu yang berat itu perlu dipaksa. Sepertimana kita mengangkat sesuatu yang berat, mesti dipaksa kuderat untuk mengangkatnya. Begitulah juga solat,berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.
Imam Al-Ghazali pernah menyebut dalam ihya’ Ulumuddin bahawa biarpun kita berzikir tetapi hati kita lalai. Ia tetap memberi kesan. Sekurangnya mulut kita tidak mengucapkan kata-kata dusta dan bohong. Terlepas daripada beberapa banyak lagi dosa mulut. Ingat solat ialah terapi, jiwa dan raga. Jika kita sedih, Beribadahlah sehingga kita letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati kita dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat kerana sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW bila terasa gundah, diadukan kesedihan kepada Allah.
Soalan:
Hafifi, bagaimana kita nak memberitahu seseorang yang putus cinta bahawa dia mesti meneruskan kehidupannya. Apakah terapi paling mujarab dalam masalah ini? Maaf saya tanya bukan untuk saya. Ini untuk orang lain.
Jawapan:
Saya menarik nafas panjang. Resah ingin menjawab berkali-kali persoalan cinta. Biasalah, bila di alam dewasa dan remaja semua akan hadapi perasaan sebegini. Saya menafsirkan dia bertanya mewakili dirinya sendiri sambil menguntum bunga dibibir senyum. Saya menjelaskan bahawa seseorang manusia itu mesti memahami ilmu hakikat (bukan ajaran tarikat yang salah). Ia bermaksud memahami asal kejadian sesuatu perkara.
Yang hidup pasti mati, yang muda pasti tua, yang bertemu pasti berpisah. Manakala yang berpisah pula kelak akan bertemu. Semua itu atas kehendak Allah. Yang kekal hanya Allah, pentadbir dan penguasa alam. Menyedari hakikat itu, manusia sentiasa melihat Allah mendidiknya dari semua aspek hidup. Walaupun kadang-kadang pahit untuk ditelan. Namun, untaian hikmah sentiasa diharapkan.
Kita perlu bersangka baik kerana Allah. Pernah saya menyebut bahawa sangka baik kita pada Allah adalah punca bahagia. Tidak dikurniakan kita rumah yang besar dan mewah tapi sebaliknya dikurniakan anak dan isteri yang soleh. Tidak dikurniakan kereta yang mewah tapi dikurniakan rezeki yang berkat. Tidak dikurniakan pangkat yang besar tapi dikurniakan pekerjaan yang selesa kita menjalankannya. Banyak lagi contoh baik sangka, berbaiklah dengan takdir.
Sesuatu yang diberikan kepada kita ialah pinjaman. Kita tidak boleh marah jika pinjaman itu ditarik kembali oleh tuannya. Begitu juga dengan jodoh, ia dipinjamkan, kelak bila diambil jangan kita buruk sangka dengan Allah. Rasa yang perlu ada pada kita “Tunduk Yang Paling Tinggi”. Redha dengan apa yang berlaku, tunduk atas kekuasaannya. Kita hamba, kita lemah. Sentiasa perlukan Allah dalam kehidupan lebih dari kita perlukan udara untuk bernafas.
Jadikanlah hubungan kita dengan manusia umpama pokok cinta yang sentiasa menggugurkan buah yang manis biarpun dilempar dengan batu. Kadang-kadang dahan-dahan pokok itu patah, cubalah menggugurkan buah yang baik. Pernah saya beritahu, cintailah sesuatu itu berpada-pada kerana apa yang kita cintai akan menguji kita. Setidaknya bila sesuatu itu diletakkan secara sederhana kita tidak akan terlalu menderita dengannya.
Soalan:
Hafifi, bagaimana saya nak menghadapi ujian hidup? Sering kalah dan kadang-kadang rasa tidak tertanggung.
Jawapan:
Saat diajukan soalan itu, linangan air matanya keluar jernih membasahi kelopak mata. Matanya menangis akibat hatinya turut menangis. Apa yang tergambar diluar dalam hasil dari dalam. Saya memujuknya dengan seribu kata. Akhirnya saya serahkan pada masa untuk air dimata dan hati keluar hingga tiada lagi.
Saya menjelaskan bahawa Allah tidak akan menguji kita dengan apa yang kita tidak boleh untuk tanggung. Namun ia agak susah bukan?. Kita selalu berfikir menggunakan akal tanpa mengira soal iman. Menggunakan akal tepat tapi tidak akan jelas tanpa iman. Oleh itu, carilah hikmah dalam mengharungi ombak ujian hidup. Mengapa kita terpilih dan dipilih untuk ujian itu? Serahkan kepada Allah, katakan kita yang terpilih. Dalam kita mengharungi arus kehidupan. Kita akan berjumpa dengan hikmah-hikmah yang Allah sentiasa janjikan untuk kita atas segala ujiannya.
Bertawakkal untuk ditarbiah oleh Allah. Tarbiah yang mahal buat kita mendekatkan diri kita kepadanya. Membentuk keyakinan atas qada’ dan qadar yang ditentukan. Ujian juga akan menghapuskan dosa. Nabi isa pernah berkata “belum dikatakan seseorang itu mengenal Allah, sebelum dia gembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya kerana berharap supaya diampunkan kesalahannya”. Terimalah tarbiah takdir.
Saat saya menasihatnya hanya sendu mengganti bicara. Tiada kata bisa terucap, hanya tadahan telinga yang tidak boleh tertutup dan terus gagah mendengarnya. Saya cuba meletakkan empati padanya. Jika aku dipilih untuk ditarbiah dengan ujian berat akan terus tangan berjari sepuluh ini diangkat “YA ALLAH, pilihlah aku untuk tabah”.
Disaat Hujan Kenangan Menangis
Saat titisan air itu turun
Turun bersama kenangan mengusik sendu
Dalam sejuk ruang tangisan
Jangan biarkan aku sendiri disaat penuh pilu
Saat titisan air hujan jatuh
Basah aku dengan kenangan memukau waktu
Daunan yang basah nampak kehijauannya menyerlah
Titisnya jatuh kebumi mendesir menyisir sayu
Allah, Kuberitakan luka dan derita
Kuadukan untaian kata nan layu
Kepada Tuhan maha pengasih maha berkuasa
Lindungi aku daripada hujan kenangan lalu
No comments: