Soalan:
Saya
ada seorang rakan yang mana memegang amanah yang berbentuk wang.
Apabila tiba tempoh masa wang dikembalikan. Saya perhatikan dia sangat
payah untuk mengembalikan wang tersebut dan selalu mengelak apabila
bertemu dan seolah-olah cuba melarikan diri dengan mamberi pelbagai
alasan. Sebagai seorang rakan, saya tidak mahu masalah kewangan
menjejaskan hubungan antara kami hingga menyebabkan pergaduhan. Apakah
yang perlu saya lakukan untuk meminta hutang pada seorang rakan saya dan
apakah hukum mereka yang cuba berbuat demikian?
Respon:
Setiap
manusia dipikulkan diatas bahunya amanah dan akan dipersoalkan pada
suatu masa yang ditetapkan. Mengikut soalan yang diberikan
berkemungkinan rakan anda telah pun pecah amanah dalam erti kata lain
telah menyimpang daripada tujuan asal diamanah itu diberikan kepadanya.
Biasanya orang sebegini akan cuba mengelak dan tidak memberikan respon
yang positif. Kadang-kadang air mukanya dan perwatakan gerak laku boleh
mencerminkan banyak perkara.
Apa
yang boleh anda lakukan adalah bertindak dengan bertanya sendiri
kepadanya tentang perihal amanah yang dipegang olehnya. Jika dia cuba
mengelak, maka cuba berhubung dengan rakannya yang terdekat. Ini boleh
membantu dalam proses mengetahui apa status amanah tersebut. Sebaiknya
jika anda seorang yang cepat ‘naik angin’, maka elakkan berjumpa
dengannya kerana ia akan lebih mengeruhkan keadaan.
Bagi
saya sendiri perihal amanah yang bersangkutan dengan kewangan yang
menyebabkan kegagalan membayarnya adalah dimasukkan dalam ketegori
hutang. Contohnya, jika anda mengamanah sesuatu jumlah wang dan si
‘diberi amanah’ gagal memulangkannya pada masa-masa tertentu dikira
sebagai hutang dia pada anda.
Orang
yang berhutang akan wujud satu keadaan diri yang negatif yang disebut
‘pembohongan’. Pembohongan berlaku apabila seseorang itu cuba untuk
mengelak daripada berjumpa, membayar dan sebagainya.
Hutang Yang Membawa ke Mati
Tidak
dinafikan masyarakat sekarang berhutang atas apa jua kondisi. Kerana
ianya merupakan satu kemestian bagi masyarakat awam biasa. Seseorang
yang berhutang wajib meletakkan dalam dirinya satu ‘perasaan ingin
membayar hutangnnya pada kadar yang segera’. Kegagalan membayar hutang
akan memberikan implikasi negatif pada pemiutang.
Orang
yang sengaja enggan membayar hutang, maka hutang itu akan menjadi
penghalang baginya di Hari Akhirat kelak, sekalipun dia melakukan
pelbagai ibadah dan amal shalih. Pernah dizaman Rasulullah seorang yang
gugur syahid di medan perang kerana memperjuangkan agama Allah tetap
tidak akan masuk syurga kerana hutangnya. Rasulullah bersabda:
“Demi
nyawaku yang berada di tangan-Nya, bahawa seseorang yang terbunuh di
jalan Allah lalu hidup, kemudian terbunuh lagi lalu hidup, kemudian
terbunuh lagi lalu hidup (mati syahid tiga kali) padahal dia memiliki
tanggungan hutang, dia tidak akan memasuki syurga sehinggalah hutang itu
dibayar.”[Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 4698]
Seterusnya,
anda tidak berdosa kerana tidak menghalalkan hutang tersebut. Namun,
jika anda boleh menghalalkannya adalah lebih bagus. Tapi ia amatlah
berat mengikut jumlah amanah yang dipertanggunjawabkan itu tinggi (Dalam
konteks anda ialah hutang).
“Dan
jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka
(1) berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (2) (sebaliknya)
bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk
kamu, kalaulah kamu mengetahui.” [al-Baqarah 2:280]
Wajaran terhadap Pemiutang
Oleh
itu, wajib keatas orang yang memegang amanah melaksanakan amanah yang
terpikul keatasnya. Membayar hutang adalah satu kewajipan. Selain itu,
cubalah berdepan dengan orang yang meminta amanah itu dipegang oleh
anda. Tekanan akan dirasai, kerana si ‘pemberi amanah’ akan menghantui
anda. Terangkan dengan sejujurnya permasalahan yang berlaku. Ini akan
membantu anda mengurangkan rasa tertekan. Cubalah bersikap profesional
terhadap diri dan agama.
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ.
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. [al-Mu’minun 23:01]
وَالَّذِينَ هُمْ لأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ.
Iaitu orang-orang yang menjaga amanah dan janjinya. [al-Mu’minun 23:08]
Sesungguhnya
kejujuran menunjuk kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan menunjuk
kepada syurga. Sesungguhnya (apabila) seseorang itu melazimkan dirinya
dengan kejujuran, nescaya dia akan dikenali sebagai orang yang jujur.
Manakala kedustaan menunjuk kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan
menunjuk kepada neraka. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu melazimkan
dirinya dengan kedustaan melainkan dia dicatat di sisi Allah sebagai
seorang pendusta (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6094)
Doa Mengelakkan Diri Daripada Kebergantungan Pada Makhluk
“Ya
Allah! Cukupkanlah aku dengan apa yang Engkau halalkan agar aku
terhindar dari yang Engkau haramkan dan perkayakanlah aku dengan
kurniaan Engkau agar aku tidak meminta-minta dari selain Engkau.”
Doa
ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi (Shahih Sunan al-Tirmizi, no:
2822). Ianya mengisahnya, seorang hamba datang kepada Ali bin Abi Thalib
menceritakan masalah kewangan yang dia hadapi bagi membebaskan dirinya.
Maka Ali mengajar dia doa di atas yang asalnya diajar oleh Rasulullah
bagi sesiapa yang mengalami masalah kewangan dan hutang.
No comments: