Tulisan kali ini disepanjangnya saya letakkan nilai air mata kehampaan, pendustaan, kerapuhan dan penuh persoalan. Manakan tidaknya, sebagai manusia kita akan sentiasa mengharapkan sesuatu yang baik yang menjadi tunjang kearah satu kehidupan yang baik. Persoalannya adakah kita membina penghidupan yang baik. Kehidupan mungkin hanya cukup sekadar makan, pakai, tidur, kerja dan pelbagai urusan lain. Tapi penghidupan memerlukan daya usaha yang lebih. Iaitu sebagai khalifah Allah dimuka bumi ini.
Antara motivasi dan nilai diri mesti seiring. Jika lagu ia diibaratkan sebagai nada dan irama. Jika jari kita ibaratkan seperti isi dengan kuku. Jika badan kita ibaratkan ia seperti kulit dan daging. Keduanya saling bersangkutan. Dahulu, apabila ada orang bertanyakan saya tentang kenapa berhenti menulis buat seketika, jawabnya kerana saya diuji dengan apa yang saya tulis. Ya, itu sebab saya berhenti menulis. Mungkin apa yang saya tulis belum mampu sepenuhnya saya capai.
Bagi saya nilai diri seseorang bergantung terhadap penyerapan dan penghasilan ubat bernama “motivasi”. Tidak kira samada ia berbentu inside out atau outside in. Semuanya harus saling bergantungan. Demi Allah sebagai umat islam, saya merasakan kita patut membinanya daripada luar ke dalam dan barulah kita dapat menghasilkan motivasi dalam ke luar. Ini yang dikatakan kitaran motivasi.
Kadang-kadang nilai diri kita lemah hasil daripada faktor persekitaran yang begitu menekan kita. Dalam apa jua bentuk samada orang- orang sekeliling ataupun banyaknya idea yang tidak tetap bagi kita untuk pegang. Tahap nilai diri kita akan turut sama menurun akibat turunnya motivasi. Lemah, kaku dan tidak bermaya. Ya, badan kita akan menzahirkannya.
Disaat itu, orang disekeliling kita akan menyedari yang kita tidak lagi seperti biasa. Kita mengharapkan keteguhan khususnya daripada orang yang berada disekeliling, namun tetap gagal. Kerana mereka pun tidak merasai kerana mereka cuma mengerti.
Bukan kita tidak mahu berubah
Setiap manusia saya percaya mereka mengimpikan sebuah perubahan. Namun, apa yang membataskan mereka adalah acuan pemikiran mereka. Minda bawah sedar mereka memainkan stigma yang begitu negatif. Ia berbeza dengan orang yang memberi motivasi. Stigma minda mereka sentiasa positif. Apa yang perlu dilakukan bagi mereka-mereka yang mempunyai stigma positif ini adalah dengan membantu orang stigma negatif bukan mengikut cara mereka. Tetapi mengikut pengdekatan yang mampu stigma negatif lakukan.
“aku tidak boleh berubah kerana aku malas”
“aku bukan tak mahu buat tapi aku tak pandai”
“aku bukan tidak ada kesedaran tapi ia susah”
Mungkin bagi mereka yang mempunyai stigma positif akan merasakan alasan yang mereka berikan merupakan perkara atau masalah yang mudah dan boleh diatasi oleh mereka. Tapi bagi mereka yang mempunyai stigma negatif ia adalah terlalu sukar. Mereka seharusnya memahami orang lain atau apa yang disebutkan “memasukkan kaki kedalam kasut seseorang”. Baru terasa bagaimana keadaannya.
Berubah adalah bergantung pada tahap manusia mencarinya serta rahmat dan kasih sayang Allah terhadap hambaNYA.
Dan kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang memberikan hidayah dan pertunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal kami tidak sekali-kali akan memperoleh pertunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan Kami dengan membawa kebenaran". Dan mereka diseru: "Itulah Syurga yang memberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan". [Al-A’raf: 43]
Beza Antara Terasa Dan Merasai
Kita ini manusia dan hati kita selalu dibolak-balik. Kita tidak meletakkan perasaan yang sama seperti orang lain. Kita hanya nilai diri mereka dengan cara yang salah. Meraka hanya terasa tetapi mereka tidak cuba merasai. Ia menunjukkan meraka gagal dalam merasai nilai. “Intrinsic value” yang agak rapuh sebegini membentuk satu ketidaksefahaman antara manusia.
Kita kurang memahami masalah orang lain. Kerana kita hanya fikir masalah kita sendiri. Kita lebihkan masalah kita menjadi satu prioriti utama dengan mengetepikan parioriti orang yang lain. Langsung tidak kita fikirkan bagaimana susahnya orang lain meletakkan parioriti dalam hidup dan tanpa segan silu kita mengubahnya mengikut selera dan kehendak kita.
Contohnya, jika kita tahu ada orang yang tidak mampu memberikan sesuatu perkara yang kita mahukan. Kemudiannya kita memaksa dalam pelbagai bentuk. Pernah atau tidak kita berfikiran adakah mereka itu mampu memberikan apa yang kita mahu. Jawapannya “tidak”, kita tidak pernah fikir.
Teringat kata-kata As-Syahid Imam Hassan Al-Banna “Kalaupun orang lain membaling kita dengan batu. Kita jadilah pokok yang mampu mengembalikan buah sebaik sahaja menerima batuan kasar”. Dalam konteks ini. Secara analoginya, adakah orang yang tidak mampu menjadi pohon yang rendang dan mengembalikan buah sedangkan ia tidak langsung punyai buah. Yang ada hanya ranting-ranting dan daun-daun. Itulah yang dikembalikan.
Membentuk Nilai Sayang Dalam Diri
Antara cabaran kita pada zaman yang bersifat sendiri atau berseorangan “nafsi-nafsi” adalah suasana dimana susah membentuk nilai sayang dalam diri. Sayang terhadap diri sendiri, orang lain, kaum keluarga, sahabat adalah bermula dengan mujuhadah. Tanda sayangkan diri adalah takut melakukan kemungkaran kerana dibimbangi kelak diri dijilat neraka. Nilai sayang pada umah dan masyarakat adalah untuk mengajak mereka sama-sama menyayangi diri dengan melakukan kebaikan.
Bayangkan terlalu sukarnya hidup tanpa kasih dan sayang. Kerana dengan kasih sayang akan timbul bahagia. Orang yang kehilangan kasih sayang akan merasakan diri mereka jauh terjunam dalam lembah kebinasaan. Jika kita meletakkan nilai sayang, maka rasa marah kita akan reda. Jika kita ditolak akibat mengajak masyarakat kearah kebaikan. Kita tidak akan marah. Itu hebatnya nilai kasih dan sayang.
Nabi Muhammad s.a.w apabila berdakwah ke Taif, dilempar dengan batu. Namun, apabila malaikat menawarkan hempakan gunung kepada penduduk taif maka dengan rasa kasih dan sayang Rasulullah memaafkan mereka dengan seribu pengharapan. Jika mereka tidak mahu beriman, mungkin anak cucu mereka mengikut dakwah. Ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Kesalahan Meletakkan Persamaan
Antara ayat yang menjadi kebiasaan adalah “Dia boleh buat macam kenapa kita tak boleh”. Tahukah kita yang mana “dia dan “kita” adalah tidak sama. Manakan boleh kita meletakkan persamaan manusia dengan manusia lain tanpa melihat kepada pokok atau asas kepada nilai persamaan yang dibentuk. Lelaki dan perempuan tidak sama. Masyarakat bandar dan desa tidak sama. Negara asia dan eropah tidak sama.
Kita tahu manusia dibekalkan dengan kepelbagaian darisegi kebolehan dan kecenderongan pemikiran. Islam sebagai agama yang lengkap menghargai kepelbagaian manusia. Kelebihan diletakkan sama dengan kecenderongan seseorang. Medan dakwah sangat luas dan bukan tugas kita untuk menyempitkannya pada hal dan keadaan tertentu. Luaskan dan pemudahkan. Jika kita menyempitkan medan susah ini akan menjadi lebih susah.
Analisis pemikiran
Bila kita berbicara tentang pemikiran, saya telah membuat beberapa penilaian. Dimana saya perhatikan orang yang banyak berfikir biasanya rambut mereka akan kian hilang dikepala. Mungkin, ia berbunyi agak lucu jika diperhatikan secara biasa-biasa. Namun, bagi orang-orang begini mereka selalu berfikir dalam hendak membentuk nilai terutama dalam sistem pemikiran mereka.
Orang islam juga harus begitu, harus lebih fokus dalam berfikir. Jika rambut kita gugur sekalipun, jangan biarkan ia gugur hanya dengan sia-sia. Pastikan gugurnya itu, membenihkan buah fikiran yang bernas. Manfaat buat semua. Tapi realiti itu tak seindah fantasi, usahkan nak berfikir ditahap yang berbentuk idea dan reka cipta malah hendak berfikir soal kehidupan pun tidak mampu. Bukankah Allah menggalakkan kita berfikir?
Orang yang berjaya, mereka membentuk apa yang dinamakan sistem diri. Mereka menentukan bagaimana diri mereka diproses atas sistem yang mereka pilih. Ini kerana apa yang kita pilih membentuk karektor diri, samada kita mebentuk karektor diri orang yang berjaya atau orang yang gagal. Orang yang gagal biasanya menentukan sistem hidup berdasarkan takdir yang buruk. Mereka telah tentukan takdir mereka dengan karakter buruk yang mereka bentuk. Sebalik mereka yang memiliki ciri orang yang berjaya adalah berusaha bagi mencapai takdir yang baik. Kadang-kadang saya bertanya pada diri, adakah itu yang saya lakukan dalam hidup?
Nilai Diri Terhadap Kesusahan
Hidup ini medan ujian. Jangan diminta hidup yang senang tapi mintalah hidup yang tabah. Jangan minta hidup yang senang kerana hidup tidak pernah senang kerana sentiasa ada halangan. Tapi hati ini, hati kita. Boleh berubah. Mintalah hati yang sentiasa tabah dalam mencari jalan penyelesaian.
Ambil masa, jangan cepat melatah. Kadang-kadang bukan kita tak mahu, tapi kurang mampu. Allah itu dekat dengan kita, mintalah kepadaNYA. Teringat saya kata-kata Dr. Ustaz Tariq Ramadan "When I pretend to be strong, no one sees my hidden tears except Allah. When I'm sad and need a shoulder to cry on, no one supports me but Allah. Pleasing a human is very difficult, pleasing Allah is the easiest. People sometimes punish me for mistakes I have not done, Allah ignores and excuses the one that i did. This is Allah, The Greatest, The Most Almighty, The Most Beneficent, The Most Merciful, and all praises belongs to Him."
No comments: