Buku ini amat berguna dengan menekankan beberapa Bahagian yang cukup menarik,
1. Bahagian satu – Nota Hati Seorang Anak
2. Bahagian dua – Nota Hati Seorang Suami
3. Bahagian tiga – Nota Hati Seorang Ayah
4. Bahagian empat – Nota Hati Seorang Lelaki
Dapat dilihat bagaimana penulis memperlihatkan tanggungjawab langsung seorang lelaki dalam empat demensi yang sama tapi berbeza. Buku ini mengunkap persoalan kehidupan, dimana ujian hidup adalah satu didikan langsung daripada Tuhan, insya-Allah, kita akan dapat kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi hidup ini. Talian hayat kita akan sentiasa “tersambung” dengan Tuhan. Percayalah, Allah mendidik kita melalui kesusahan, kesenangan, pujian mahupun cercaan. Bila bertemu kesusahan, Allah mendidik kita tentang sabar. Bila bertamu kesenangan, Allah mengajar kita erti kesyukuran. Bila si miskin datang, itu peluang untuk mengamalkan sifat pemurah. Tetapi bila si kaya menjengah, jangan pula terjejas sifat qanaah. Ingat, Tuhan mendidik kita pada setiap masa, peristiwa dan manusia.
Semua itulah yang terpapar melalui kisah dan peristiwa yang ditulis begitu menarik, jelas dan indah dalam buku Nota Hati Seorang Lelaki ini. Membacanya, seolah-olah melalui lembaran-lembaran kehidupan dengan sorotan mata hati yang seni dan murni. Hakikatnya hidup adalah sebuah sekolah yang mana orang, situasi dan kondisi yang menjadi punca ujian itulah sebenarnya guru kita. Sentiasa ada maksud tersirat yang perlu kita pelajari daripada semua itu. Inilah inti pati daripada buku Nota Hati Seorang Lelaki yang sedang anda tatap ini.
Hadapilah ujian hidup dengan mencari maksud di sebalik takdir-takdir Allah itu. Dengarlah suara tarbiah dan dakwah yang berbisik setiap kali kita diuji. Kebaikan dan keburukan hanya ada pada penilaian insan, tetapi di sisi Allah apa yang ditakdirkan-Nya pasti satu kebaikan. Carilah kebaikan itu. Dan inilah yang cuba dipandu oleh penulis menerusi kata-katanya yang bersahaja tetapi dalam maknanya.
No comments: