ISLAMIK

Editorial

Cemburu Itu Untuk Lelaki



Soalan :
Wanita ini terkenal dengan sikap cemburunya sehinggakan kadang-kadang membawa kepada cemburu buta. Dalam perhubungan suami dan isteri cemburu memakan perhubungan antara meraka dan membawa kepada keretakan rumah tangga yang agak serius. Persoalannya kemana harusnya cemburu ini hendak disalurkan dengan cara yang betul?

Respon :
Pertamanya dan yang paling utama bila bercakap soal cemburu ialah cemburu itu milik bersama. Suami dan isteri harus memilik rasa itu. Cemburu hakikatnya cinta, cemburu membawa bahagia. Namun, jika cinta dan bahagia yang lahir daripada sifat cemburu disalah erti akan berlaku kepincangan khususnya dalam pendefinisian terhadap cemburu.

Pendefinisian dan Pencerahan
Cemburu merujuk kepada reaksi seseorang yang akan merubah sikapnya samada ia menghala kepada perasaan seperti sedih, kecewa, benci, marah dan sebagainya. Cemburu atau ‘ghirah’ dalam bahasa arab jika dilihat pada perspektif yang lebih luas adalah suatu sifat yang terpuji. Contohnya apabila isteri keluar rumah dalam keadaan memakai pakaian yang tidak menepati syariat. Timbul rasa cemburu pada suami lantas tidak mahu melihat orang lain turut sama melihat perhiasan isterinya. Dengan tegas si suami wajib menyuruh isteri melabuhkan pakaiannya agar selaras dengan islam. Begitu juga dengan anak-anak. Oleh itu, saya tegaskan sifat cemburu perlu ada pada seorang suami agar tidak terkategori dalam golongan lelaki dayus.

Siapakah lelaki dayus? Perbincangan ilmuan islam berkenaan dayus adalah

قالوا يا رسول الله وما الديوث قال من يقر السوء في أهله
[1] Seseorang yang tidak ada perasaan cemburu (kerana iman) terhadap ahlinya (isteri dan anak-anaknya).

 ثلاثةٌ قد حَرّمَ اللهُ - تَبَارَكَ وَتَعَالَى - عليهم الجنةَ : مُدْمِنُ الخمر ، والعاقّ ، والدّيّوثُ الذي يُقِرُّ في أَهْلِهِ الخُبْثَ . رواه أحمد والنسائي .
[2] Tiga golongan yang Allah tidak akan melihat (bermakna tiada bantuan dari dikenakan azab) mereka di hari kiamat : Si penderhaka kepada ibu bapa, si perempuan yang menyerupai lelaki dan si lelaki DAYUS"

وعن عمار بن ياسر عن رسول الله قال ثلاثة لا يدخلون الجنة أبدا الديوث والرجلة من النساء والمدمن الخمر قالوا يا رسول الله أما المدمن الخمر فقد عرفناه فما الديوث قال الذي لا يبالي من دخل على أهله 
[3] Dari Ammar bin Yasir berkata, ia mendengar dari Rasulullah S.A.W berkata : "Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu Si Dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak" lalu sahabat berkata : Wahai Rasulullah, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu Dayus? berkata nabi : "iaitu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya)

Kenyataan Imam Ahmad sangat menarik, beliau berkata “Sesungguhnya asal dalam agama adalah perlunya rasa ambil berat atau kecemburuan (terhadap ahli keluarga) , dan barangsiapa yang tiada perasaan ini maka itulah tanda tiada agama dalam dirinya, kerana perasaan cemburu ini menjaga hati dan menjaga anggota sehingga terjauh dari kejahatan dan perkara keji, tanpanya hati akan mati maka matilah juga sensitiviti anggota (terhadap perkara haram), sehingga menyebabkan tiadanya kekuatan untuk menolak kejahatan dan menghindarkannya sama sekali.

Cemburu itu hakikatnya ialah penjagaan khususnya mengelakkan daripada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Suami atau ayah yang membiarkan ahli keluarga mereka bersenang lenang tanpa adanya rasa ini dibimbangi akan mendatangkan implikasi yang buruk terhadap institusi kekeluargaan. Lebih teruk ia membawa kepada perceraian kerana adanya orang ketiga yang menyelinap masuk hasil daripada lubang-lubang cemburu yang kita biarkan saja tanpa ada sekata dan kawalan.

Diriwayatkan bagaimana satu peristiwa di zaman Nabi, Berkata Ubadah bin Somit r.a : "Jika aku nampak ada lelaki yang sibuk bersama isteriku, nescaya akan ku pukulnya dengan pedangku", maka disampaikan kepada Nabi akan kata-kata Sa'ad tadi, lalu nabi memberi respond : "Adakah kamu kagum dengan sifat cemburu (untuk agama) yang dipunyai oleh Sa'ad ? , Demi Allah, aku lebih kuat cemburu (ambil endah dan benci demi agama) berbandingnya, malah Allah lebih cemburu dariku, kerana kecemburuan Allah itulah maka diharamkan setiap perkara keji  yang ternyata dan tersembunyi."(Riwayat Al-Bukhari & Muslim )

Lihat betapa Allah dan RasulNya inginkan para suami dan ayah mempunyai sifat “menjaga” kepada ahli keluarga dari melakukan sebarang perkara keji dan mungkar, khasnya zina.


Bila Lelaki Menjadi Dayus? – Kredit Dr. Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman

Secara mudahnya cuba kita lihat betapa ramainya lelaki akan menjadi DAYUS apabila:

1. Membiarkan kecantikan aurat, bentuk tubuh isterinya dinikmati oleh lelaki lain sepanjang waktu pejabat (jika bekerja) atau di luar rumah.

2. Membiarkan isterinya balik lewat dari kerja yang tidak diketahui bersama dengan lelaki apa dan siapa, serta apa yang dibuatnya di pejabat dan siapa yang menghantar.

3. Membiarkan aurat isterinya dan anak perempuannya dewasanya terlihat (terselak kain) semasa menaiki motor atau apa jua kenderaan sepanjang yang menyebabkan aurat terlihat.

4. Membiarkan anak perempuannya ber'dating' dengan tunangnya atau teman lelaki bukan mahramnya.

5. Membiarkan anak perempuan berdua-duaan dengan pasangannya di rumah kononnya ibu bapa 'spoting' yang memahami.

6) Menyuruh, mengarahkan dan berbangga dengan anak perempuan dan isteri memakai pakaian yang seksi di luar rumah.

7. Membiarkan anak perempuannya memasuki akademi fantasia, mentor, gang starz dan lain-lain yang sepertinya sehingga mempamerkan kecantikan kepada jutaan manusia bukan mahram.

8. Membiarkan isterinya atau anaknya menjadi pelakon dan berpelukan dengan lelaki lain, kononnya atas dasar seni dan lakonan semata-mata. Adakah semasa berlakon nafsu seorang lelaki di hilangkan?. Tidak sekali-sekali.

9. Membiarkan isteri kerja dan keluar rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna.

10. Membiarkan isteri disentuh anggota tubuhnya oleh lelaki lain tanpa sebab yang diiktiraf oleh Islam seperti menyelematkannya dari lemas dan yang sepertinya.

11. Membiarkan isterinya bersalin dengan dibidani oleh doktor lelaki tanpa terdesak dan keperluan yang tiada pilihan.

12. Membawa isteri dan anak perempuan untuk dirawati oleh doktor lelaki sedangkan wujudnya klinik dan hospital yang mempunyai doktor wanita.

13. Membiarkan isteri pergi kerja menumpang dengan teman lelaki sepejabat tanpa sebarang cemburu.

Terlalu banyak lagi jika ingin saya coretkan di sini. Kedayusan ini hanya akan sabit kepada lelaki jika semua maksiat yang dilakukan oleh isteri atau anaknya secara terbuka dan diketahui olehnya, adapun jika berlaku secara sulit, suami tidaklah bertanggungjawab dan tidak sabit 'dayus' kepada dirinya.

[1] An-Nihayah,2/147 ; Lisan al-Arab, 2/150
[2] Riwayat Ahmad & An-Nasaie: Albani mengesahkannya Sohih  : Ghayatul Maram, no 278
[3] Riwayat At-Tabrani ; Majma az-Zawaid, 4/327 dan rawinya adalah thiqat

Pandangan Pembaca
Tags:

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Scroll to top