ISLAMIK
Pesanan Seorang Tokoh Agama
Dikala mendengar bacaan sayu daripada Syeikh Muhammad Musa, terasa diri ini ingin berkongsi tentang ucapan seorang tokoh agama yang terkenal di Malaysia. Sentuhannya cukup memukau dengan kilauan mutiara umpama keluar daripada mulutnya. Sungguh ia sukar dicari ganti dengan kebanyakkan tokoh agama. Allah telah kumpulkan hati-hati yang hidup untuk bersama dengan agamaNya, sebagaimana sentuhan pada jiwa yang mempunyai nyawa. Terimalah pesanan beliau ini sebagai hiasan dinding hatimu.
Assalamualaikum,
Marilah sama kita mengucapkan syukur kehadrat Allah s.w.t kerana dengan rahmat dan kurnianya, maka Allah s.w.t memanjangkan usia dan umur kita. Lalu kita sempat bertemu dihari yang mulia ini, mudah-mudahan kita dalam suasana bertakwa kepada Allah. Dalam suasana masing-masing menjaga hak-hak Allah dan mampu bangun sebagai seorang individu muslim yang amat bertakwa kepada Allah.
Kerana setiap hari kita perlu menasihati diri kita, sebaik saja kita bangun daripada tidur kita telah kita mengucapkan syukur kerana Allah menghidupkan kita. Berikah nasihat kepada tubuh kita dan nyatakan beberapa perkara:
1. Wahai tubuh, hari ini engkau bertambah hampir untuk bertemu dengan Allah. Bila mana engkau mati nanti orang akan menyenang kamu beberapa hari sahaja. Mungkin sehari dua orang akan menangisi kamu.
2. Wahai mata, engkau akan dihisap oleh Allah s.w.t. Awasilah apa yang akan kamu lihat hari ini.
3. Wahai tangan, janganlah engkau memegang sesuatu yang diharamkan oleh Allah kerana Allah akan menghisab kamu nanti. Dimana kamu tidak akan mampu menjawanya dihadapan Allah s.w.t.
Demikianlah kita menasihati seluruh anggota tubuh badan kita agar patuh kepada Allah. Kerana nasihat yang baik ialah kita mampu menasihati diri kita sendiri sebelum orang lain menasihati kita. Oleh kerana itu janganlah tertipu dengan dua perkara.
Jangan tertipu dengan usia yang muda, kerana kita menjangka seolah-olah kita lambat lagi untuk berjumpa dan bertemu dengan Allah. Jangan tertipu dengan muda kerana mati bukan syarat tua. Dan jangan tertipu dengan tubuh badan yang sihat. Mungkin kita tidak ada sebarang penyakit. Tetapi ingat, kematian tidak syarat sakit. Orang yang kuat boleh meninggal dunia sebagaimana yang sakit boleh meninggal dunia.
Oleh kerana itu, semua manusia mesti bersiap sedia dalam menghadapi hari-hari yang akan datang dan benar-benar menjadi hamba Allah s.w.t. sekiranya kita mampu menjadi seorang individu muslim yang bangun ditengah-tengah masyarakat dan mampu memberi manfaat kepada orang lain, lalu kita lakukan perkara tersebut kerana sesungguhnya kita akan dinilai oleh Allah tentang apa yang kita lakukan.
Ternyata bukan umur yang menjadi nilai, yang penting ialah apa yang diisi dalam umur itulah yang menjadi penilaian yang penting. Kerana sesungguhnya usia dan umur bukan milik kita. Ia merupakan hak Allah dan terpulang kepada Allah untuk menentukan umur kita. Yang penting pada kita ialah bukan saja umur yang panjang, tapi apa yang kita isi dengan umur tersebut.
Alangkah ruginya kita bila Allah kurniakan umur yang panjang, tiba-tiba kita mengisi usia tersebut dengan menjauhkan diri dengan Allah. Kita melakukan maksiat dan derhaka pada Allah, seolah-olah kita tidak akan kembali kepada Allah s.w.t.
Lihatlah gelagat sebahagian manusia, yang sombong dengan Allah. Ditubuhnya jelas tanda-tanda ketuaan yang jelas. Namun, dimana iman dan takwanya? Sepatutnya kita sedar yang kita tidak patut derhaka kepada Allah. Kita mungkin boleh bercakap, boleh mengeluarkan idea, boleh menegur dan sebagainya, namun ingatlah kita hamba Allah s.w.t. jangan sekali-kali bertindak seolah kita tidak ada Allah s.w.t.
Perhatikan orang yang bertindak dengan hatinya tanpa iman. Dia mengucapkan kata-kata derhaka kepada Allah. Seolah-olah tidak ada iman dan tidak ada akidah. Dimanakah nilai muslim yang ada pada kita. Allah tidak ciptakan mulut untuk derhaka kepadanya, tidak mencipta akal untuk memikirkan bagaimana hendak berbuat maksiat kepada Allah. Oleh itu, bertindak mesti ingat yang kita ada Allah.
Ada perkara yang boleh kita tuturkan, dan ada yang tidak. Kata yang kita tutur itu mestilah selaras dengan kehendak Allah dan rasulNya. Dan mungkin dalam perkara lain kita diberi kebenaran selama tidak bercanggah dengan perintah Allah. Marilah kita melihat sebagaimana peristiwa yang berlaku digambarkan ketakwaan seorang hamba Allah yang digambarkan memalui seluruh tingkah lakunya.
Jika seorang melakukan sesuatu dan inginkan sanjungan daripada manusia. Ia belajar tinggi untuk orang memanggilnya doktor, dengan gigih dia mendapat harta yang banyak, agar orang memanggilnya jutawan. Dia membanyakkan derma terkadang dengan niat agardia dipanggil sebagai dermawan. Apakah kesan kita terhadap pujian manusia. Adakah menambah ego kita?.
Demikian kata ulama, manusia berasal daripada air mani yang tidak ada kekuatan sedikitpun. Lalu ia membesar. Dengan asalnya itu dia menjadi bangkai yang tidak ada harga. Bangkai ikan masih lagi boleh dimakan, namun bangkai manusia hanyalayak dimakan oleh cacing-cacing di dalam tanah.
Demikianlah agar kita tidak sombong dengan Allah s.w.t. Agar tidak juga sombong dengan makhluk Allah.
Agar kita tidak derhaka dan takabur kepada Allah, kerana Allah maha agung untuk kita jadikan diri kita sombong dan takabur.
Sesungguhnya nilai kekuatan iman dan akidah itu, berpaksi kepada tauhid dan berpaksikan ilmu yang ada pada kita. Seseorang itu tidak mungkin melakukan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan dan tidak meungkin ia terdorong untuk melakukan ibadah tanpa ilmu dan keyakinan. Oleh kerana itu, apabila hati manusia jauh daripada ilmu.
Bagaimanakah hidayah hendak masuk di dalam hatinya? Bagaimana penyesalan orang yang tidak mendengar nasihat yang baik? Ada kuliyah dia tidak hadir, ada forum dia tidak hadir, habis malam dengan maksiat pada Allah. Habis siangnya dengan derhaka kepada Allah. Bagaimana hati hendak takutkan Allah? Tentu akan lahir hati yang bertambah keras, jauh dan jauh daripada rahmat Allah.
Bilamana seseorang itu tidak mahu melakukan kebaikan, akan terdedah penyesalan sepertimana yang digambarkan oleh Allah dalam firmanNya. Mereka menyatakan kalaulah waktu di dunia dahulu aku mendengar, kemudian aku menerima nasihat tentulah aku tidak akan dihumban ke nereka Sa’e. Timbul penyesalan dalam hatinya, kenapa aku buat maksiat kepada Allah?.
Kerana telinganya tidak mendengar pernah mendengar nasihat, kerana hatinya tidak pernah menerima ketukan nasihat yang baik. Bagaimana hendak melakukan perubahan kalau telinga tidak pernha mendengar nasihat. Telinga mendengar perkara yang lagha yang menjauhkan dia daripada rahmat Allah.
Manusia tidak lahir sebagai wali Allah. Hatta wali-wali Allah sekalipun, mereka tidak lahir terus menjadi wali. Mereka itu lahir dengan belajar dan mendalami. Mereka menambahkan rasa takut pada Allah, tambahkan ibadah pada Allah, mereka sentiasa takut kepada Allah. Sedikit demi sedikit mereka memperbaiki diri mereka. Mereka baiki akhlak dan hubungan mereka dengan Allah. Maka layaklah mereka mendapat gelaran kekasih Allah. Semata-mata mereka berusaha mencari jalan-jalan kebaikan.
Jika kita lihat sewaktu tokoh-tokoh islam yang terkenal dalam sejarah. Mereka meninggal dalam usia yang cukup muda dengan penuh ketakwaan yang menyebabkan kita memikirkan diri kita. Lalu kita bertanya kepada diri kita, bandingkan amalan kita dengan mereka. Umar bin Abdul Aziz, diriwayatkan meninggal dunia dalam umur 37 tahun. Kita hari ini, bagaimana umur kita jika 37 tahun? Ketakwaan kita, warak kita, zuhud kita, ibadah kita, adakah sedang menghampirkan diri pada Allah.
Semoga Allah s.w.t merahmati kita dan menjanjikan kebaikan untuk kita bersama. Kerana sesungguhnya nilai nasihat itu, tidak lain hanyalah amalan. Dan sesuatu itu berguna bila kita dapat mengamalkanNya. Jika kita hanya mendengar tetapi tidak mampu kita amalkan maka ia tidak lebih daripada menjadi halwa telingan yang kosong.
Sekian,
Tuan Ibrahim Tuan Man
Sungguh, indah sekali ucapan yang beliau berikan. Nilai ucapan itu atas dasar ilmu dan iman bukan atas dasar kebencian membuak atau atas dasar kepartian. Nescaya akan terbit sinar iman yang membuahkan amalan dalam setiap detik masa dan bait kata.
Bicara jiwa: Pengertian seorang Abang (Akhi)
Hadirnya menyemai benih mujahadah, Terbitnya melengkap diri, Kelemahan bukan untuk dirintih, Tapi peluang untuk saling melengkap, Terkadang terhiris terguris menguji perasaan, Terkadang senyumnya ku rindu, Terkadang peribadi ini ingin berbicara, Orang yang ku maksudkan ialah MUHAMMAD FAZLI BIN CHE LAH.
Waktu dan saat memang senantiasa menyemburui kita, masa tak mampu kita tepis dikala malam bertemu siang. Namun, kita selalu menyatakan setiap sesuatu datangnya dari Allah secara berpasang, Malam dan siang, lelaki dan perempuan, bumi dan langit, kehidupan dan kematian, pertemuan tentunya berakhir dengan perpisahan. Itulah adat resam dunia yang nikmatnya dititipkan sementara buat ummat. Itulah ungkapan setiap kali berakhirnya usrah kami.
Selama mamasuki IPGM KSM, banyak mehnah yang dilalui bersama, semuanya dek kerenah program yang menekan kesuma. Sering dalam segala tiap sesuatu aku bertanya: Abang, macam mana nak buat? Abang, betul ke buat macam nie?.. inilah ayat yang mungkin tidak akan keluar lagi melalui pita suara ku. Soalnya kepada siapa lagi?
Peristiwa 1
Tika malam menjelang malam, ditempat yang menjadi kecintaan kami surau Al-Firdaus. Masalah “PA system” sememangnya menjadi permasalahan utama kami. Dia yang banyak mengajar bagaimana memasukkan kabel-kabel dengan betul. “Kabel ni kalau cucuk sini speaker luar tak bunyi” katanya. Mungkin selepas ini terpaksa aku “tunning”nya sendiri. Soalnya dengan siapa lagi?
Peristiwa 2
Kenangan terindah selalunya apabila kami dijodohkan dengan program keagamaan. Bermula dengan Minggu Kebudayaan dan Kesenian Islam, Minggu Penghayatan Islam, Malam Aman Palestin, dan banyak lagi. “Abang, Projektor tak ada, macam mana? Tak apa nanti saya urus dengan Jabatan Teknologi Maklumat” diwajahnya tiada langsung wajah risau, mungkin ini yang patut aku belajar, ya.. macam mana mengendali Stress. Masih mekar diingatan waktu berhadapan dengan masalah skrin. Kami terpaksa mengankat skrin yang berat di dewan besar untuk sesi tayangan khas, walaupun lelah tulang empat kerat menanggung kami gagahi jua. Sewaktu taklimat Minggu Penghayatan Islam aku pernah berkata “yang memotivasikankan saya untuk memngambil tugas ini adalah Abang Fazli, Abang Nabil dan Asyraf masih ada disisi. Ini kerana telah penat jiwa ini mengendalikan program ini. Namun, kerana ingin melihat program berlandaskan islam di IPGM KSM.
Peristiwa 3
Peristiwa ini akan segar diingatan, Program Khatam Al-Quran 2009. Dimana aku tidak sempat untuk menghadirinya pada sebelah petang kerana terhambat dek tugasan yang belum lagi siap. Sesampai ku lihat semua telah bertadarus dengan ikhlas kerana Allah. Sayu hati ini kerana tidak dapat berada dipentas itu, dalam kejauhan merasa sebak kerana selama sebulan ramadhan aku sentiasa hadir untuk bertadarus, namun ku tingglkan beberapa kali kerana pulang kerumah. Aku lihat beberapa rakan yang rapat turut berada di pentas. Saat dudukku di tikar nun jauh dibawah handfon bergetar tanda pesanan ringkas masuk,
“Kenapa lambat” tanyanya.
“Hehe. Saja nak abang fazli dengan adik yang lain” balasku dengan rasa penat.
Seusai majlis semua rakan lain turun dari pentas semua menyembur kata-kata provokasi. “tak payah, kita semua tunggu dia, datang lambat” kata mereka. Kata-kata itu aku tanamkan jauh ke mental bumi. Sesudah kami berbuka puasa aku melangkah ke surau untuk solat maghrib dan dalam waktu yang mendesak aku bertanya “ Abang Fazli marah ker?” “Entahlah Hafifi, susah nak diungkap dengan kata-kata” katanya lalu masuk ke bilik PA system tempat kami meluahkan idea bagaimana mahu melunakkan pembesar suara.
Itu antara rentetan peristiwa yang menghiasi kamar indah perkenalan bersama sahabat. Kepada semua sahabat yang seakidah ingat hargailah saat kita masih bersama, tatkala datang perpisahan ia menjadi mahar yang indah buat kita kenang bersama. Percayalah kekadang Allah menghilangkan seketika mentari, kemudian DIA datangkan guruh dan kilat. Puas kita meratap di mana serinya mentari… rupa-rupanya Allah ingin mengurniakan pelangi yang indah. Oh, itu rupanya hikmah berpisah. Malah kadangkala tempoh berjauhan seperti itu, yakni semasa hati dan emosi sangat lembut sekali, adalah ketika yang paling sesuai dimanfaatkan untuk mendidik jiwa. Berbicara dari jauh kekadang lebih mendekatkan. Benar sekali kata pepatah, “jauh-jauh berbau bunga.”
SMS 1
Salam.. Abang Fazli… saya ucapkan terima kasih kerana selama ini banyak member erti untuk hidup dan agama. Tanpa abang Fazli susah untuk saya jadi imam dan pemimpin yang baik… selama ini jika ada sikap saya yg mengecewakan, saya minta maaf banyak kerana x mampu nak jadi mcm abang Fazli harapkan… segala jasa yang dicurahkan saya akan ingat sampai mata saya tertutup.
Ya Allah ke harap engkau muliakan sahabatku ini, Bahagiakan keluarganya, sihatkan tubuh badannya, berkatilah rezekinya, kuatkanlah imannya, berilah kenikmatan dalam beribadah, dijauhkan dari fitnah, diberikan kejayaan yang cemerlang serta suburkanlah benih keislaman dengan penuh rasa kasih sayang tanpa alasan.
Terima kasih ABANG FAZLI daripada saya MUHAMMAD HAFIFI...
Nota Kaki : Maaf gambar itu kabur, sengaja buat sebab Abang Fazli memang tidak suka gambarnya di alam maya :-)
Pesanan: Pada Jalan Kebenaran dan Kesabaran

“Hidup bererti keletihan. Setiap hari kita dihambat kesibukan dunia, beramallah untuk menghadapi alam seterusnya biarpun kita keletihan didunia, kerana kita tidak mahu diakhirat juga keletihan itu menghambat diri. Pastikan kita hanya letih sekali iaitu didunia bukan diakhirat. Pendek kata jangan sampai letih dua kali” – Terima Kasih Akhi.
Tulisan Pembukaan
Papan kekunci berbunyi lagi, jam menunjukkan pukul 3 pagi. Masa terbaik dalam mencorak suatu lakaran hati penuh perHATIan. Minda ini terus tenggelam dalam benak penuh kesyahduan, meniti segala yang mungkin namun masih tidak pasti. Ajaklah mata hati kita berfikir tentang kebesaran kurniaan tuhan yang tidak berbelah bagi, biarkan ia tenggelam didalam hati menjadi kuburan sampai akhirat. Tulisan kali ini menarik minda anda menerobos soal pesanan. Pesanan bagi yang leka dan alpa.

(1) Demi Masa! (2) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; (3) Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah Al-‘Ashr)
Sosiobudaya Arab dan Melayu
Dalam hidup kita sering dipaparkan dengan satu persimpangan yang harus dipilih. Oleh itu soal pemilihan amat penting. Pandanglah ke hujung timur barat, masyarakat yang diturunkan Nabi Muhammad S.A.W untuk menyebarkan satu gedung kenikmatan Syurga iaitu ISLAM. Addin yang satu-satunya KAFFATAN. Orang Arab terkenal dengan sikapnya yang kasar. Singkaplah YOUTUBE perhatikan gelagat mereka. Walaupun mereka bergurau tapi gurauan itu agak kasar jika diperhati dari sisi pandangan kita, masyarakat bangsa merdeka mudah lupa MELAYU.
Ajaran Sejarah
Sejarah mengajar kita, kerasnya hati orang arab ini sehinggakan Khalifah Umar R.A ketika zaman jahiliyyah sanggup menanam anak beliau hidup-hidup. Ketua Angkatan tentera Rasullullah iaitu Khalid Al-Walid membunuh bapa saudara Baginda saidina hamzah sebelum beliau memeluk islam. Namun Saidina Umar R.A ketika mendengar Surah Taha, hati bergelinang penuh takjub tatkala ayat ini bergema dan memeluk islam dengan erat:
“Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.(2) Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah (3)”(Surah Taha Ayat 2 dan 3)
“Nah, lihat masyarakat Arab. Mereka apabila ditegur tentang sesuatu kesalahan, mereka terus memeluk erat dan mencium sahabat mereka yang menegur” Kata seorang rakan yang belajar ditanah kering kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Namun lain ceritanya dengan sebahagian masyarakat Melayu, selembut-lembut hati orang Melayu apabila ditegur terus meronta penuh kebencian.

Kesal menuju Kekecewaan
Kesal kerana sepatutnya dia bersikap syukur kerana ada yang berpesan, pesanan membina bahagia bukan pesanan runtuhan jiwa yang jatuh. Melarikan diri bukan jalan penyelesaian, Lari daripada masalah ia menujukkan jiwa yang lemah dan kaku. Bertindaklah segera mampu mengubat segala yang terluka. Namun, penyelesaian harus berhikmah, bait kata perlu disusun agar yang lain tidak turut terkena biasnya.
Biasakanlah lidahmu mengucapkan “Maafkan saya”. Memohon maghfirah yang perlu, lahir dari hati yang ikhlas. Bukan berdiam seribu bahasa ungkapan rasa tak terucap. Elakkan diri dari mengumpat kerana ia seperti memakan daging saudaramu. Ungkapan hanya setakat yang perlu.
Berkenalan Dengan Cinta dan Jodoh
Malam
ini, hujan membasahi segenap ruang lingkup kehidupan. Hujan didalam
tidak kurang lebatnya dengan hujan diluar. Tulisan ini lahir setelah
lama jari tidak menemui idea yang sekali-sekala dicanang oleh minda.
Tidak selari antara keduanya, kosong. Namun, tetap tetap dan perlu
gagahi jua kerana ini antara medium yang paling disukai dulu dan mungkin
selama hayat yang ada. Sebuah coretan yang lahir dari hati dengan penuh
berhati-hati. Dengan hati yang baik dan niat yang jitu mampu
menggerakkan seluruh panca yang lain untuk bekerja.
Banyaknya masalah yang kita hadapi lebih mematangkan kita dalam segenap aspek kehidupan. Ia tidak boleh dipelajari dengan ketebalan buku beratus ringgit dipasaran. Tidak juga dengan banyaknya duit dilaburkan untuk mencari sebuah makna dan erti semua perkara. Asam garam yang setiap manusia lalui adalah merupakan modal terbesar dalam segenap aspek kehidupan. Kali ini saya bawakan dua cerita untuk kita berkenalan dengan cinta dan jodoh.
Banyaknya masalah yang kita hadapi lebih mematangkan kita dalam segenap aspek kehidupan. Ia tidak boleh dipelajari dengan ketebalan buku beratus ringgit dipasaran. Tidak juga dengan banyaknya duit dilaburkan untuk mencari sebuah makna dan erti semua perkara. Asam garam yang setiap manusia lalui adalah merupakan modal terbesar dalam segenap aspek kehidupan. Kali ini saya bawakan dua cerita untuk kita berkenalan dengan cinta dan jodoh.
Cerita pertama: Berkenalan Dengan Cinta
Di
sebuah kedai makan itu, terpaku menungnya bukan kepalang. Mungkin
melihat betapa dirinya masih jauh mengejar sesuatu yang tidak pasti.
Betapa sakitnya perkara yang tidak pasti. Tergantung, lesu dan layu.
“Jauh termenung, macam ada sesuatu yang difikirkan” suara Mizan mengejutkan Shauki.
“Terkejut aku, sekurangnya bagi lah salam dulu” balas Shauki.
“Saja bergurau, tinggal beberapa bulan lagi kita bersama. Nanti susah nak jumpa lepas ni” Mizan senyum bergurau.
“Kita dah lama bersahabatkan Mizan?”
“Emm, lama atau tak dah dekat 4 tahun. Ni kenapa? Macam ada masalah. Cerita lah,
walaupun aku senior insyaAllah akan cuba difahami masalahnya” Mizan
bertanya sambil bergurau memujuk sahabatnya yang merupakan junior bawah
setahun darinya.
“Masalah dengan perasaan agaknya” luah Shauki perlahan.
“Dah agak dah, tengok air muka pun tahu, biasa lah masuk semester 6 ni masalahnya lain sikit.” wajah Mizan lebar tersenyum. Lirikan senyum Shauki membalas hambar.
“Aku sukakan seorang perempuan ni, tapi katanya ada masalah” luah Shauki.
“Masalah yang agak sukar juga nak diatasi antara masalahnya ialah jemaah” sambungnya.
“Masalah jemaah ke masalah orang dalam jemaah?” soal Mizan menduga.
“Macam
ni, aku pernah meluahkan perasaan hendak merisiknya, tapi katanya nak
istikharah dulu. Lepas tu dia buat keputusan. Katanya dia tolak atas
alasan dia jemaah lain sedangkan aku jemaah lain. Jadi nak cari orang
jemaah yang sama katanya” luahan Shauki selemah tekadnya.
“Atas sebab itulah dia tolak yer.
Bagi aku sendiri mereka yang sebenarnya memahami manhaj tarbiah tidak
kira dia dalam jemaah apa malah NGO sekalipun perlu melihat perkara ini
dari aspek yang luas. Kerana soal memilih jodoh tidak ditentukan oleh
jemaah yang seseorang itu. Memilih pemimpin kepada sebuah rumah tangga
perlu lebih dari itu. Niatnya, lakunya mesti selari dengan ajaran islam.
Jemaah adalah alat untuk mencapai tujuan, islam ialah matlamat. Bagi
aku, sesiapa yang tidak tahu membezakan alat dan matlamat adalah orang
yang tidak faham konsep berada dalam satu-satu jemaah” terang Mizan.
“Aku dah buntu dan tak tahu apa nak buat” Wajah Shauki mencuka, katanya sepahit peria.
“Shauki
tidak ada yang lebih berharga nilai seorang wanita dan lelaki melainkan
ditengah ada seorang wali. Ada baiknya jika kau berjumpa dengan
ayahnya. Bincangkan baik-baik. Bukan setakat berjumpa murabbinya yang
hanya pentingkan nilai jemaah semata-mata. Mungkin keputusannya pada
awal banyak dipengaruhi oleh murabbinya menyebabkan dia bertindak
sebegitu”. Penjelasan Mizan membenihkan harapan.
“Aku pun fikir begitu, mungkin tidak cukup dengan hanya sekali cuba. Betul tak?” soal Shauki.
“Itu
maksud aku tadi, semangat perlu ada. Cinta ini perjuangan. Tiada apa
yang mampu mengatasi kekuatan cinta melainkan tuhan dan syariat yang
telah ditetapkan. Cinta itu sabar, murah hati, dan penuh kelembutan.
Namun tegas dalam tekadnya bagi memberi kebahagiaan pada yang lain.”
Jelas Mizan serius.
“Wah, jadi ahli falsafah pula sahabat aku ni”. Senyum Shauki terkadang menguntum.
“Insan
mesti jadi ahli falsafah dalam hidupnya baru terasa hangatnya masalah.
Jika kita tidak dapat apa yang kita mahu setelah apa yang kita
perjuangkan. Maka jangan mengalah. Tetapkan nilai dan tujuan barulah
senang bergerak atas apa yang kita hendak perjuangkan”. Tangan Mizan
singgah di bahu Shauki. Ia seolah mengalirkan motivasi terus berjuang
menghadapi apa yang rasakan susah.
Itulah cinta (dalam konteks penceritaan), cinta yang tulus tidak
bersandar pada nilai tukaran. Ia tidak mengharapkan balasan kerana jika
kita mengharapkan balasan khususnya daripada manusia maka ketika itu
kita akan dilanda dukacita. Kerana kebanyakkan manusia memang sukar
menghargai sesuatu. Lihat saja betapa banyak nikmat yang Allah s.w. beri
kepada manusia. Disia-siakan oleh ramai manusia.
Setiap
perbuatan baik dan cinta yang kita berikan pada orang lain, dicatatkan
dalam “buku kehidupan pencipta” dan dia membalas sesuai dengan waktunya.
Carilah cinta itu bukan hanya kerana seseorang tapi kerana pencipta
yang mencipta seseorang yang telah melimpahkan cintanya pada sekalian
banyak makhluk.
Cerita kedua: Berkenalan Dengan Jodoh
Peluh
membasahi seluruh bajunya. Agaknya mungkin juga hatinya turut dibasahi
lebih lama dari itu. Disebuah pada permainan badannya direhatkan atas
waktu tertentu yang jarang juga digunakan untuk aktiviti sukan. Mungkin,
letihnya raga akan merehatkan jiwanya buat seketika. Dia kelihatan
berseorangan.
“Salam, seorang je abang hensem?” sapaan kawan jelas menghilangkan bungkam Razlan.
“Ehh, wassalam. Dari mana?”
“Dari asrama, terus jog ke sini. Nampak kawan aku ni sorang je. Singgah lah kejap” jawabnya Firdaus tersenyum lebar.
“Anak sulong ni berat juga tanggungjawabnya kan?”
“Emm, agak berat dan memang berat. Kenapa tiba-tiba keluar soal anak sulong? ” jawapan disusuli pertanyaan.
“Rancang nak kahwin awal, tapi duit jadi kekangan. Nak tolong keluarga lagi, adik-adik.” Luah Razlan
“Oh, itu rupanya masalah kawan aku ni”
“Kalau
dikatakan nak kahwin awal mesti ada perancangan. Perancangan yang
diikuti dengan tindakan barulah terbit rasa tanggungjawab. Kalau nak
katakan kahwin awal menjejaskan kredibiliti sebagai seorang anak pun,
rasanya itu satu andaian yang meleset” terang Firdaus.
“Meleset? Aku tak faham. Yang aku tahu ekonomi je yang meleset”
“Macam
ni, berdua sebenarnya bagi aku akan mengukuhkan ekonomi, bayangkan
satu-satu benda itu dibebankan pada kita seorang saja. Bayaran bil,
rumah sewa, kereta kita pakai seorang kita tanggung seorang diri. Bila
berdua ini kita kongsi, semuanya bayar berdua. tak lah kita bayar seorang diri. Betul tak?”
“Betul juga tu, tapi bagaimana bayaran nak memulakan satu perkahwinan?” soalnya tajam.
“Itu
pentingnya komunikasi dalam pemilihan jodoh samada sesuai atau tidak
dengan kita. Komunikasi sebelum, semasa dan selepas sangat penting. Jika
kita duduk bersidai dan hanya bermonolog, bila masanya kita akan
bertemu jalannya.” Terang Firdaus tegas.
“Jodoh hal lain, perkahwinan hal lain begitu juga kewangan” bantah Razlan.
“Sebenarnya
semua itu deretan perkara yang berlainan tapi saling memerlukan.
Semuanya harus diperhatikan dalam segenap segi. Jodoh yang baik
menentukan perkahwinan yang baik, perkahwinan yang baik menentukan
Akidah Harimau Malaya
Tulisan kali ini saya tumpukan pada skuad Harimau Malaya pimpinan Datuk K. Rajagopal. Tidak saya ingin mengulas secara taktikal permainan bola itu sendiri kerana saya kurang mahir mengenainya. Cuma ada dialog antara teman-teman yang sedikit menggugat iman di hati tentang persepsi orang yang berada dibawah kendalian pasukan dan seterusnya elemen ini dimasukkan ke dalam minda masyarakat.
Sejenak saya terfikir bahawa dengan kemajuan yang ada kita sudah lagi tidak kebal daripada serangan musuh-musuh islam itu sendiri. Samada sedar atau tidak. Segalanya seolah bagai angin yang berlalu. Tidak langsung kita sedari bahawa jarum-jarum itu telah masuk dalam sedikit kealpaan yang selama ini menjadi pegangan kita.
Suasana Kedai Makan
Kawan : “Malaysia menentang Indonesia malam ni game agak menarik. Malaysia bermain agak bagus malam ini, semua jentera semua bahagian hidup”
Saya: “Erm, nampaknya begitulah ia lebih bagus daripada perlawanan menentang Singapura.”
Kawan: “Cantik juga baju jersi Harimau Malaya ni, Aku beli yang warna kuning belang-belang tu. Biru macam tu tak beli lah pula”
Saya: “Oh ya, dah lama tak tengok meraka pakai baju tu apabila bermain diatas padang, kenapa ya? Bukan ke itu baju home?”
Kawan: “Katanya baju tu kalau pakai kalah, bawa nasib tak baik”
Saya: “Macam tu pula??”
Mendengar kata-kata itu menguatkan hujah apabila saya melihat ulasan siaran langsung RTM sebelum sepak mula permainan tentang jersi yang patut dipakai oleh Malaysia. Hujah pengulas pada masa itu, memang ada spekulasi bahawa baju berbelang kuning itu membawa nasib tak baik apabila perlawanan besar yang melibatkan skuad Harimau Malaya.
Skop Perbincangan
Sindrom begini agak membimbangkan saya, khususnya kerana ia melibatkan soal kepercayaan dan akidah. Lebih memburukkan keadaan apabila ianya telah menular dalam pemikiran masyarakat dan menjadi kepercayaan secara tidak langsung. Mungkin bagi mereka yang sedar dan punya ilmu tentangnya akan berhati-hati. Tapi bagaimana dengan sebahagian yang lain?
Apabila menularnya keadaan ini dibimbangi kepercayaan bahawa memakai baju itu akan membawa sial mungkin akan wujud. Mungkin saja akan datang bukan setakat baju, malah ia akan menular kepada benda-benda yang yang mungkin menyebabkan kekalahan sukad Harimau Malaya. Ia akan menjadi barah yang masyarakat tidak sedar. Apabila parah, ubatnya pun akan sukar dicari. Sedarlah.
Syariatullah dan Sunnatullah
Ketahuilah bahawa tidak ada sial (Tatayyur/Tiyarah) pada sesuatu benda. Semua benda yang berlaku ada sebab dan akibatnya. Fahami syariatullah dan sunnatullah sangat penting dalam kehidupan individu muslim. Syariatullah ialah syariat dan hukum hakam yang ditentukan oleh Allah s.w.t kepada hambanya. Manakala suannatullah ialah peraturan alam yang Allah s.w.t aturkan buat alam ini.
Jika kalah maka adakah layak disalahkan baju? Warnanya? Jenis kainnya?. Adakah bukti sainstifik bahawa benar warna, jenis, baju itu memberikan kekalahan? Jika tidak, maka salahnya apa? Mungkin saja salah taktikalnya, Jenis latihannya dan bermacam lagi faktor lain.
Yang salah bukannya baju.
Yang salah bukannya warna.
Yang salah bukannya kain.
Yang pasti salah ialah mempercayai sial yang membawa kesyirikan.
“Mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik, mempercayai nasib yang baik atau buruk pada burung adalah syirik. (Baginda mengulanginya tiga kali).” [Shahih Sunan Abu Daud, no: 3910]
Menurut kepercayaan orang Arab jahilyyah jika mereka akan mengadakan safar (perjalanan) maka mereka terlebih dahulu akan melepaskan burung (tiyarah). Jika burung tersebut terbang ke arah kanan rumah maka mereka akan gembira tetapi jika sebaliknya terbang ke arah kiri maka mereka akan bersedih hati kerana itu petanda musibah akan menimpa dan mereka selanjutnya akan menangguhkan pemergian.
Rasulullah s.a.w. bersabda :
اَلطِّيَرَةُشِرْكٌ،اَلطِّيَرَةُشِرْكٌ
Ertinya : Tiyarah itu syirik , tiyarah itu syirik ( HR Abu Daud dan Tarmidzi - Menurut Tarmidzi : Sahih )
Nasihat Buat Pedoman
Ingatkah kita kepada apa yang dikatakan oleh nabi kita Muhammad s.a.w?
Tiga perkara lazim yang sukar dibuang oleh umatku : mengganggap sial, hasad dengki dan bersangka buruk" lalu seorang lelaki bertanya : "apakah yang boleh menghilangkannya wahai Rasulullah ?" Jawab Nabi : “Jika kamu datang perasaan hasad dengki beristighfar lah kamu kepada Allah, apabila kamu bersangka buruk, janganlah kamu membenarkan sangkaan itu, dan apabila kamu menganggap sial belaku, abaikan dan jangan endahkannya"
[At-Tabrani, no 3227, 3/228 ; Al-Haithami : Dhoif kerana perawi bernama Ismail Bin Qais]
[At-Tabrani, no 3227, 3/228 ; Al-Haithami : Dhoif kerana perawi bernama Ismail Bin Qais]
Saya yang kerdil ilmunya ini, menutup nasihat kata ini dengan memohon agar masyarakat dan pemain-pemain khususnya yang beragama islam yang berpegang dengan kidah yang shahih untuk tidak mempercayai perkara sebegini. Jika jurulatih (Datuk K. Rajagopal) atau sesiapa saja untuk sekadar hanya memakai baju biru (away) itu atas arahan sahaja. Tidak sampai mempercayai adanya sial padanya.
Begitu juga dengan peminat-peminat bola sepak tempatan (termasuk saya) supaya tidak ada manifestasi yang lebih berhubung dengan perkara sebegini kerana jika dibiarkan kepercayaan ini masuk ke dalam minda iainya memberi impak besar kepada kita.
Jaga islam yang ada pada kita.
Kalimah agung dan yang terpenting. Antara kita dan islam.
Tiada Tuhan Melainkan Allah, dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah
اللَّهُمَّ لاَ يَأْتِى بِالْحَسَنَاتِ إِلاَّ أَنْتَ ، وَلاَ يَدْفَعُ السَّيِّئَاتِ إِلاَّ أَنْتَ ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِك
Ya Allah, tiada yang dapat mendatangkan kebaikan kecuali Engkau, dan tiada yang dapat menolak keburukan kecuali Engkau, dan tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan izin Engkau. [Riwayat Abu Daud]
Lelaki: Jadilah Ibu Untuk Anakmu
Musim cuti ini memberikan banyak masa. Kerehatan yang muncul selepas kesibukkan yang melanda sebelum muncul kembali musim kesibukkan yang serupa malah lebih sibuk pada tahun hadapan. Kerehatan memberi ruang kepada kita meneliti segenap ruang dalam kehidupan yang semakin mencabar ini. Teringat saya pada kata-kata seorang agamawan (yang sudah terlupa namanya) bahawa dunia ini Allah jadikan semakin cantik. Semakin kita menghampiri berakhirnya zaman ini, ia semakin menarik.
Lantas dalam kita mendepani arus kemodenan yang serba laju dan cepat. Terasa seperti dunia ini semakin rancak berputar. Siang, malam berganti dengan begitu cepat. Tulisan ini saya memberi fokus pada soal “persediaan tanggangjawab dan amanah” kepada seorang yang bernama LELAKI. Dibalik kesibukkan keperluan dan kehendak yang mendesak. Wanita dan lelaki terkejar-kejar dengan pelbagai urusan pekerjaan.
Alhamdulillah, bagus. Anda sudah menunaikan tanggungjawab, tapi bagaimana pula dengan amanah iaitu melaksanakan tugas tersebut dengan sepenuh hati. Semua perkara itu perlu dilatih, berlatih untuk bertanggungjawab dan beramanah. Ia perlu bermula sebelum, semasa dan selepas. Terimalah kalam kala hari dingin, Lelaki: Jadilah Ibu Untuk Anakmu.
Kata Orang Tua-Tua
Orang tua yang penuh dengan petua dan kata-kata yang mereka lebih ‘makan garam dahulu’ memang tidak dinafikan. Namun, dunia berubah. Pernah bukan kita mendengar kata-kata; “wanita akhirnya perlu ke dapur juga”. Kononnya tidak kira sebesar manapun status pekerjaan mereka dan pendidikan akhirnya mereka ini perlu ke dapur (melakukan tugas rumahtangga).
Ini memberikan konotasi kepada tanggungjawab seorang wanita dalam konteks urusan rumahtangga. Namun ia sering disalah erti oleh seorang lelaki. Baca saja dimana-mana juga, banyak rungutan, keluhan, rintihan wanita yang penat. Sudahlah terpaksa bekerja dalam membantu si suami dalam urusan kewangan rumahtangga. Balik ke rumah masih perlu melakukan kerja di rumah sedang si suami berehat bersenang lenang.
Si suami membaca surat khabar, melayari internet atau mungkin saja tertidur. Cinta yang dilaungkan sebelum perkahwinan jelas hanya manis di bibir namun pahit di lidah usahkan mahu ditelan oleh sang isteri. Cinta yang ada tidak diterjemahkan dalam bentuk perlakuan. “Aduh, penatnya dia boleh berehat dan tengok saja saya berpenat. Bukan nak tolong”. Begitu kurang lebih bunyi rintihannya.
Bebanan Seorang Bernama Wanita
Wanita dijadikan oleh Allah sangat unik. Bagi saya sebagai seorang lelaki agak sukar untuk dijelaskan sifat mereka secara holistik. Mereka mampu melakukan pelbagai kerja dan penuh sabar. Mungkin atas dasar itu agaknya Allah melantik mereka sebagai penyeri dalam sesebuah rumahtangga. Ramai para ibu yang bekerja demi membantu si suami ditambah lagi dengan kerja mereka di rumah. Subhanallah! sungguh besar peranan seorang bernama wanita.
Lihat saja ibu kita yang mendidik kita dalam rangka tumbesaran kita hingga kepada siapa kita sekarang. Dari awal pagi mereka telah bersiap sedia dengan segala kelengkapan yang kita perlukan. Tidak pula si ibu merenget kerana melakukan banyak perkara. Ya, ianya atas dasar sayang, tanggungjawab dan amanah.
Sudah disiapkan baju untuk kita,
makanan dan minuman,
kelengkapan seharian,
semuanya lengkap dan tersedia.
Jika dulu semasa musim berbuah cinta. Setiap gerak gerinya si suami sentiasa berpesan, “Jaga diri baik-baik”. Jika sakit maka si suami membawa si isteri ke hospital. Ironinya apabila selepas perkahwinan hal tersebut tidak lagi berlaku. Jika isteri hendak pergi kema-mana “belikan saya surat khabar” (contoh), tidak dipesan lagi diri si isteri untuk dijaga dengan baik dan berhati-hati. Jika si isteri sakit “biasalah, awak tu dah berumur”.
Si isteri menanggung pelbagai bebanan. Petanda berlalu musim cinta yang penuh bunga. Lebih menakutkan lagi apabila pasangan tidak langsung menyedari musim telah beralih arah. Panas dan tidak selesa. Menimbulkan banyak impak yang pelbagai. Berlaku keadaan yang dingin hingga membawa kepada ketidakbahagiaan dan perceraian. Adakah ini yang kita mahu?
Lelaki ini, harus memahami tanggungjawab dan amanah. Mana janji kononnya akan ‘hidup bersama’ yang kita luahkan dulu. Analoginya, Jangan dilupa benih lafaz ikrar dan janji yang kita taburkan dulu. Hasilnya perlu kita tuai. Jika hasilnya tiada maka benih yang kita tanam itu tidak menjadi. Hanya tinggal janji yang kosong. Kerana tidak sering kita bajai.
Lelaki yang Qawwam
Surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”.
Qawwam bermaksud (jama’:yang bermaksud banyak lelaki) bersifat umum dan dikhususnya kepada suami. Ia berasal daripada perkataan ‘qaim’ yang bererti bertanggungjawab, memenuhi keperluan prihatin, memimpin, mengambil berat terhadap kaum wanita selain tanggunjawab utama iaitu memberi nafkah yang dijelaskan dalam ayat tadi.
Ia tidak bereti andalah boss (dalam erti kata yang ekstrim) dalam rumahtangga. Bukan hanya memimpin semata-mata tapi lebih kepada rasa keberadaan bersama isteri dalam segenap hal. Cubalah tonjolkan ciri itu dalam diri ke luar. Dalam rumah dan tangga itu, andalah boss, pekerja, mandur dan sebagainya. Sesuaikan peranan itu.
Lelaki: Jadilah Ibu Untuk Anakmu
Ya, jadilah ibu untuk anakmu nanti. Bagaimana? Jawabnya ialah bersedialah daripada anda bujang. Jadikan diri kita pemuda yang bervisi, yang melihat jauh kehadapan. Dengan itu kita akan mengarah jiwa raga dan jantung hati kita bergerak kearah yang kita mahu. Bersedialah! Ia bukan sekadar laungan tapi usaha yang berterusan.
1. Wujudkan kesedaran dan kemahuan
Disegenap ruang itu, cuba perhatikan dan letakkan peluh kepenatan itu terhadap ibu kita. Letakkan empati yang tidak berbelah bagi. Cubalah untuk memahami kerja mereka. Dari pagi hingga petang, tugasnya sebagai isteri tidak pernah berhenti. Kakinya sentiasa kesana-kemari. Jarinya basah dek basuhan pinggan mangkuk yang banyak dan tidak kunjung habis. Fikirannya sibuk memikirkan hdangan dan masakan apa yang terbaik untuk keluarganya. Lenguh badannya di tempat kerja yang bertimbun. Sedarkan diri untuk semua itu.
2. Sentiasa menolong ibumu
Jenguklah selalu dicorong dapur itu. Dia masih lagi menjalankan amanahnya sebagai ibu dan isteri. Bunyi pinggan dan mangkuk silih berganti. Ringankan tanganmu menolongnya. Basuh pinggan, basuh baju, memasak, tolong siapkan ramuan dan rempah. Jika kita menganggap semua yang diatas bukan kerja seorang lelaki. Maka ia satu kesilapan yang amat besar. Buang stigma itu jauh dari kita.
Ia bukan merendahkan martabatmu sebagai seorang suami bila berkahwin nanti. Malah, ia menjadikanmu lelaki bertanggungjawab. Anda telah memenangi satu pertandingan. Pertandingan? Ya, situasi menang-menang. Isteri anda sudah bekerja membantu anda. Tiba pula giliran anda membantunya di rumah. Bukan hanya melihat.
3. Jangan pernah berhenti
Bererti dalam melakukan kebaikan jangan hanya suam-suam kuku. Sebaliknya perlu ada suatu daya ‘Burning desire’ dalam diri. Kita biasanya hendakkan perubahan dan agak sukar melakukannya pada peringkat awal. Tetapi setelah melakukannya maka perlu kita kekalkan daya itu. Agar kita dapat nikmati perubahan demi perubahan yang berlaku dalam kehidupan.
Percayalah, dengan tiga mekanisme diatas anda tidak akan kekok bila untuk menolong isteri anda. Hak keduanya akan tertunai. Perkahwinan ialah bukan setakat perkongsian hati tapi jiwa dan perilaku. Berbincang dan berusahalah dalam segenap aspek.
Apa yang penting? Komunikasi.
Sepertimana kata ramai pakar motivasi bahawa kebahagian bukan datang dengan meminta sebaliknya memberi. Ia tidak akan hadir apabila kita sentiasa menuntut hak sebalik hadir apabila kita memberikan hak. “Dia sepatutnya buat itu”, “ini bukan kerja saya”, mungkin ungkapan yang perlu dielakkan. Antara keduanya, selain beberapa hak penting yang lain seperti nafkah dan sebagainya. Perlu diperhatikan ialah hak berkomunikasi. Ia jalan bagi penyelesaian masalah. Jujur dalam tindakan dan baik sangka antara elemen terpenting.
Neraca Keadilan Atas Tanggungjawab dan Peranan
Islam sebagai agama yang adil telah meletakkan hak dan tanggungjawab bagi setiap suami dan isteri. Masing-masing ada peranannya. Apabila seorang isteri dan suami menolak hak dan tanggungjawab tersebut, bererti dia menolak neraca keadilan Islam dan menggantikannya dengan neraca keadilan buatannya sendiri.
"Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Kerana) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." [al-Nisa’ 4:32]
-
Tulisan kali ini mengajak untuk saya dan anda menelusuri soal jalan. Jalan yang dibentangkan seluas-luasnya. Direnung setiap perkara yang te...
-
Kata Hukamak, Manusia lahir dengan tangisan. Manusia mati juga dengan tangisan. Apakah yang membezakan keduanya? Tangisan semasa terhadap du...
-
Jiwa RagaKu Sudah lama jari ku tidak menari, menari melukis kata yang selalu bermain difikiran. Ia meronta kesunyian kerana sudah lama terpe...
-
Buku ini amat berguna dengan menekankan beberapa Bahagian yang cukup menarik, 1. Bahagian satu – Nota Hati Seorang Anak 2. Bahagian dua – No...
-
Adat dalam waktu himpunan memiliki dunia. Yang hidup diselangi yang mati, yang muda diselangi yang tua. Yang sihat diselangi sakit. Ini kera...
-
Buku ini merumuskan kunci-kunci untuk kejayaan disampaikan dalam format yang mudah dan ringkas tetapi tepat. Rasulullah s.a.w. dan para saha...
-
Perkaitan dengan usrah Di IPGM KSM banyak kumpulan usrah yang mendokongi segelintar pelajar namun pelajar harus memahami metodologi yang buk...
-
Tulisan kali ini saya tumpukan pada skuad Harimau Malaya pimpinan Datuk K. Rajagopal. Tidak saya ingin mengulas secara taktikal permainan bo...
-
Khabaran buat Semua 12 hari terasa lama jari tidak menekan papan kekunci bagi menulis sesuatu. Tulisan pada kali ini terasa agak berat. Mung...
-
Sajak kali ini nukilan khas seseorang yang amat rapat denganku dahulu hingga sekarang. Mengajar banyak erti dalam kehidupan tatkala berada...