ISLAMIK

Editorial

Amanah, Hutang dan Implikasinya



Soalan:
Saya ada seorang rakan yang mana memegang amanah yang berbentuk wang. Apabila tiba tempoh masa wang dikembalikan. Saya perhatikan dia sangat payah untuk mengembalikan wang tersebut dan selalu mengelak apabila bertemu dan seolah-olah cuba melarikan diri dengan mamberi pelbagai alasan. Sebagai seorang rakan, saya tidak mahu masalah kewangan menjejaskan hubungan antara kami hingga menyebabkan pergaduhan. Apakah yang perlu saya lakukan untuk meminta hutang pada seorang rakan saya dan apakah hukum mereka yang cuba berbuat demikian?

Respon:
Setiap manusia dipikulkan diatas bahunya amanah dan akan dipersoalkan pada suatu masa yang ditetapkan. Mengikut soalan yang diberikan berkemungkinan rakan anda telah pun pecah amanah dalam erti kata lain telah menyimpang daripada tujuan asal diamanah itu diberikan kepadanya. Biasanya orang sebegini akan cuba mengelak dan tidak memberikan respon yang positif. Kadang-kadang air mukanya dan perwatakan gerak laku boleh mencerminkan banyak perkara.

Apa yang boleh anda lakukan adalah bertindak dengan bertanya sendiri kepadanya tentang perihal amanah yang dipegang olehnya. Jika dia cuba mengelak, maka cuba berhubung dengan rakannya yang terdekat. Ini boleh membantu dalam proses mengetahui apa status amanah tersebut. Sebaiknya jika anda seorang yang cepat ‘naik angin’, maka elakkan berjumpa dengannya kerana ia akan lebih mengeruhkan keadaan.

Bagi saya sendiri perihal amanah yang bersangkutan dengan kewangan yang menyebabkan kegagalan membayarnya adalah dimasukkan dalam ketegori hutang. Contohnya, jika anda mengamanah sesuatu jumlah wang dan si ‘diberi amanah’ gagal memulangkannya pada masa-masa tertentu dikira sebagai hutang dia pada anda.

Orang yang berhutang akan wujud satu keadaan diri yang negatif yang disebut ‘pembohongan’. Pembohongan berlaku apabila seseorang itu cuba untuk mengelak daripada berjumpa, membayar dan sebagainya.

Hutang Yang Membawa ke Mati
Tidak dinafikan masyarakat sekarang berhutang atas apa jua kondisi. Kerana ianya merupakan satu kemestian bagi masyarakat awam biasa. Seseorang yang berhutang wajib meletakkan dalam dirinya satu ‘perasaan ingin membayar hutangnnya pada kadar yang segera’. Kegagalan membayar hutang akan memberikan implikasi negatif pada pemiutang.

Orang yang sengaja enggan membayar hutang, maka hutang itu akan menjadi penghalang baginya di Hari Akhirat kelak, sekalipun dia melakukan pelbagai ibadah dan amal shalih. Pernah dizaman Rasulullah seorang yang gugur syahid di medan perang kerana memperjuangkan agama Allah tetap tidak akan masuk syurga kerana hutangnya. Rasulullah bersabda:

“Demi nyawaku yang berada di tangan-Nya, bahawa seseorang yang terbunuh di jalan Allah lalu hidup, kemudian terbunuh lagi lalu hidup, kemudian terbunuh lagi lalu hidup (mati syahid tiga kali) padahal dia memiliki tanggungan hutang, dia tidak akan memasuki syurga sehinggalah hutang itu dibayar.”[Shahih Sunan al-Nasa’e, no: 4698]

Seterusnya, anda tidak berdosa kerana tidak menghalalkan hutang tersebut. Namun, jika anda boleh menghalalkannya adalah lebih bagus. Tapi ia amatlah berat mengikut jumlah amanah yang dipertanggunjawabkan itu tinggi (Dalam konteks anda ialah hutang).

“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka (1) berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (2) (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalaulah kamu mengetahui.” [al-Baqarah 2:280]

Wajaran terhadap Pemiutang
Oleh itu, wajib keatas orang yang memegang amanah melaksanakan amanah yang terpikul keatasnya. Membayar hutang adalah satu kewajipan. Selain itu, cubalah berdepan dengan orang yang meminta amanah itu dipegang oleh anda. Tekanan akan dirasai, kerana si ‘pemberi amanah’ akan menghantui anda. Terangkan dengan sejujurnya permasalahan yang berlaku. Ini akan membantu anda mengurangkan rasa tertekan. Cubalah bersikap profesional terhadap diri dan agama.

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ.
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. [al-Mu’minun 23:01]

وَالَّذِينَ هُمْ لأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ.
Iaitu orang-orang yang menjaga amanah dan janjinya. [al-Mu’minun 23:08]

Sesungguhnya kejujuran menunjuk kepada kebaikan dan sesungguhnya kebaikan menunjuk kepada syurga. Sesungguhnya (apabila) seseorang itu melazimkan dirinya dengan kejujuran, nescaya dia akan dikenali sebagai orang yang jujur. Manakala kedustaan menunjuk kepada kejahatan dan sesungguhnya kejahatan menunjuk kepada neraka. Sesungguhnya tidaklah seseorang itu melazimkan dirinya dengan kedustaan melainkan dia dicatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta (Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 6094)

Doa Mengelakkan Diri Daripada Kebergantungan Pada Makhluk
“Ya Allah! Cukupkanlah aku dengan apa yang Engkau halalkan agar aku terhindar dari yang Engkau haramkan dan perkayakanlah aku dengan kurniaan Engkau agar aku tidak meminta-minta dari selain Engkau.”

Doa ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi (Shahih Sunan al-Tirmizi, no: 2822). Ianya mengisahnya, seorang hamba datang kepada Ali bin Abi Thalib menceritakan masalah kewangan yang dia hadapi bagi membebaskan dirinya. Maka Ali mengajar dia doa di atas yang asalnya diajar oleh Rasulullah bagi sesiapa yang mengalami masalah kewangan dan hutang.

Pandangan Pembaca
Tags:

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Scroll to top