ISLAMIK

Editorial

Hujan Kenangan Kita


Tulisan kali ini mungkin bersifat agak peribadi. Dengannya saya membuka emosi dalam setiap bait tulisan yang ada. Usai sudah perjuangan lima tahun lebih bergelar seorang guru pelatih. Namun, rasanya seolah baru semalam bermula. Kenangan pertama kali menjengah tatkala menjelang musim tengkujuh di pantai timur. Sewaktu itulah masa perkenalan kita bersama bermandi hujan di bumi ulul albab. 
Tempat itu mengajar kita banyak erti dalam kehidupan. Sentiasa kita mendambarkan ilmu dan bersama kita merendahkan diri, menimba pelbagai rencah di dalam perigi ilmu. Pelbagai rencah sudah kita telusuri dalam program yang disusun atur. Pahit, manis, suka, duka, semua kita lalui bersama. Alangkah indahnya saat itu. Ia tidak akan kembali, dan kalaupun ia kembali suasananya tidak tidak lagi serupa.
Mungkin juga kita tidak suka saat-saat sebegini. Waktu itu kita selalu berkata “alahai, lamanya lima tahun. Aharap cepat-cepat habis”. Mungkin sekarang kita merasa “cepatnya masa berlalu, rasanya baru berkenalan semalam”. Kita ini, patut lebih banyak belajar untuk menghargai sesuatu. 
Waktu kita belajar, kita hargai.
Waktu kita kerja, juga kita hargai.
Waktu kita sakit, kita hargai.
Waktu kita sihat, juga kita hargai.
Waktu kita bersama, kita hargai.
Waktu kita berpisah, juga kita hargai.
Ini kerana apabila kita meletakkan sesuatu harga pada sesuatu. Sudah tentu kita tidak mahu kehilangan sesuatu itu dengan mudah. Kita akan lebih menjaganya, melindunginya, mewarnainya dengan pelbagai warna-warna kebaikan. Pilihlah jalan mana yang kita inginkan. Nescaya dengannya kita akan beroleh banyak manfaat. 
Kelas Kenangan Kita
Inginkah lagi, disini kelas kita. Di sini kita bersama-sama ketawa, kita bersama-sama menangis dengan pelbagai masalah kelas. Dengan pelbagai wadah kegembiraan. Semuanya bagai angin yang lalu. Hilang dek tingkap cermin berwarna hitam lutsinar. Di sini kita berlajar untuk yakin diri, cekal dalam segala hal, mengintai tirai kelemahan dan kekuatan. 
 
Masihkah tidak kita rindui suasana ini. Setelah lima tahun bersama. Banyak lakaran kenangan sepanjang berada di dalamnya. Derap kasut pensyarah, leteran mereka. Walaupun terkadang ianya tidak ubah seperti suasana sekolah. Suasana ini tidak lagi akan kita kecapi dalam waktu terkehadapan. Alangkah indah dan cerianya waktu dan saat itu. 
Bergaduh, bertelingkah mungkin itu sudah menjadi perkara lumrah bagi kita. Pabila tiap-tiap kali kita berbincang. Entah berapa kali perkara yang sama berulang. Sedarilah bahawa itulah warna yang kita coretkan sepanjang berada di dalamnya. Kita rindui saat waktu itu pabila ia tidak lagi kembali.
Surau Kenangan Kita
Masih teringat dan terbayang saat kita bersama disini. Allahuakbar, Allahuakbar. Suara itu memanggil. Bagai bisa lagi kita dengar melalui corong-corong telinga. Suara alunan yang merdu mengejutkan kita tatkala subuh dan waktu-waktu yang lain. Sungguh indah, asyik. Dalam himpunan bait-bait kata, kita ubah menjadi gubahan laku yang lain. 

Di sini tempat kita belajar banyak perkara. Imam, bilal, siak malahan makmum. Saling kita bertukar-tukar kedudukan istimewa itu. Sungguh, sukar lagi bagi kita mengecap suasana yang sama. Di sinilah kita belajar banyak perkara. Talakki ilmu Quran hingga ke alunan tarannum, masalah fiqh sampai ke makmum, ilmu hadis hingga ke isu semasa. Program-program yang pernah dijalankan, diskusi, forum dan berbagai lagi. Semuanya bagai baru semalam.
Menggamit rasa, mengundang rindu. Suasana asmaul husna masih lagi terasa hangatnya. Hangat tangan tika bersalaman. masih terasa dan terngiang-ngiang di gegendang. Di sini kita berlajar erti ukhuwwah, dakwah, maufakat, berkat, semuanya bagai menjadi satu dalam bungkusan rima kehidupan, sepadu malah kukuh. Masalah di dalamnya kita jadikan hamparan, kita lihat bersama. Kita cari mana yang terkoyak. Kita sama-sama jahit, kita warnakan. Inilah kenangan kita. Kenangan kita bersama.
Kafe Kenangan Kita
Akal yang kuat bermula dari jisim yang kuat, begitu katanya. Tingkah dan gerak laku, momentumnya bermula disini. Pelbagai coretan, perbincangan bermula. Saat kita menjamah saja lauk dan pauk, kita selangi ia dengan jalinan kata buat penambah selera. Semuanya bagai berpadu. Kita hiasi dengan gelak dan tawa.
Mungkin saja, suasana ini sukar untuk kita perolehi. Mungkin saja, jarang lagi mendengar gelak tawa kawan-kawan yang lain. Suasana hiruk pikuk berkenaan masalah kelas, tugasan dan berbagai lagi. Mungkin selepas ini jarang lagi kita telusuri saat-saat sebegitu.
Dewan Kenangan Kita
Di sini segala perkara remeh dan temeh berlaku. Kelam kabut majlis-majlis sudah menjadi perkara biasa. Dari separa formal hinggalah majlis yang agak formal. Terima kasih buat semua jawatankuasa yang sering saja mengorbankan masa mereka untuk memastikan kelancaran aktiviti di dalamnya. Pentas itu menjadi saksi segala macam kerenah pihak atasan hinggalah yang paling bawah. 
 

Di sinilah kita titiskan peluh keringat, kita lontaran pandangan, soalan yang membina bukan meruntuh. Mendengar ucapan orang atasan yang kadangkala membuatkan orang bawahan tertidur, ada juga yang teliti, menjadi pendengar yang baik. Apabila tiba majlis kesenian, sering saja dewan itu bergemerlapan dengan pelbagai lantunan cahaya. 
Masih lagi terdengar suara-suara dicorong pembesar suara. Menambah lagi kesayuan apabila mengingatkannya. Kita sama-sama beratur, memegang microfon yang dulunya kita agak gementar apabila memegangnnya. Sungguh dewan ini memberi banyak pengalaman yang berguna buat kita. Entah bila lagi keadaan seperi ini mampu kita kecapi. 
Gignasium Kenangan Kita
Di sini banyak membina kekuatan. Kita belajar banyak perkara. Kokurikulum yang bersifat rasmi hinggalah kepada penganjuran pelbagai acara sukan. Disini jatuh bangun kita, luka dan calar sudah menjadi perkara biasa. Walaupun begitu, kita tidak serik mengunjunginya. 

Pelbagai kemahiran kita belajar, dari kemahiran tangan hinggalah kepada kemahiran strategi. Pelbagai penilaian kita lalui. Semuanya bagai sukar untuk dikecap dimana-mana tempat lain. Masih ingat lagi waktu itu, tangan sama-sama kita rapatkan. Diiringi jeritan sorak, kitaaaa boleh!!. Rentaknya bersepadu. Semuanya tetap kekal terpahat.
Inilah Kenangan Kita
Tempat inilah yang bakal kita tinggalkan setelah tamat semua program wajib yang kita perlu lalui. Berat rasanya untuk semua itu kita tinggalkan. Ia bagaikan satu simfoni yang padu. Iramanya berkait. Penuh syahdu.
Suasananya,
Bangunannya,
Orang-orang didalamnya,
Tumbuh-tumbuhannya,
Kenang-kenanganya,


Sentiasa menggamit, meruntun Qalbu. Tempat ini kita tinggalkan dengan seribu kenangan. Melengkap segala sunyi. Menggamit rimbunan rasa. Gerbangnya kita langkah keluar, melepasi pintu pagar yang menjadi tempat lalu-lalang kita dahulu. Tempat itu makin menjauh. Hilang diufuk kelopak mata. Namun, kenangan bersamanya tetap terpahat, meninggalkan bekas dalam lubuk paling dalam di sanubari. 
Meminjam kata-kata seorang rakan saat akhir perpisahan kami “Sahabat semua umpama cebisan puzzle, hadirnya awak semua melengkapkan puzzle dalam kehidupan saya. Terima kasih semua”. Suaranya digenangi linangan air mata. Begitulah kita, perpisahan suatu  yang pasti. Ia tidak harus ditangisi tapi dikenangi.

Pandangan Pembaca
Tags:

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Scroll to top