ISLAMIK

Editorial

Selama Kesakitan Ini Bertamu


Kaki ini masih terasa sakit, berdenyut sakitnya bukan kepalang. Bukankah setiap sesuatu itu sentiasa berzikir kepada Allah yang maha Esa. Wahai jiwa, anggaplah ia sedang berzikir kepada Allah justeru menjadi buah fikir kepada kita tentang fikir. Fikir yang menegakkan kaki terus melangkah bersama wuduk yang sejuk. Menambah lagi sakit. Zikir denyutnya itu menghapuskan kifarah dosa masa lalu.

Semakin susah sesuatu perkara, semakin indah. Itu ungkapan yang tercalit difikiran apabila mengenangkan diri penuh dengan dosa dan terpaksa memilih jalan mujadah melawan ujian. Tulisan ini garapan buat diriku yang semakin leka, leka dengan segala yang “Suka” berbanding yang “Perlu”. Benar kata pujangga semakin susah kita semakin dekat kita dengan TUHAN yang maha pencipta.

Wahai jiwa rasailah setiap musibah itu sebagai satu landasan besi tarbiah. Keras dan padat, itulah yang menjamin kita sentiasa berada dilandasan yang sepatutnya. Jiwa yang sering keluh kesah dengan musibah akan sentiasa mengundang bala. Namun jiwa yang redha akan tetap berbahagia yang seni ukiran kasar musibah. Saat seperti ini wahai jiwa, adalah saat terbaik dalam mempraktikkan apa yang kita ucapkan selama ini.




Rasakan yang Allah sentiasa bersama dalam setiap hembusan nafas kita. Bila kita ditimpa musibah yang berat maka kita tidak mudah menyalahkan mereka yang lain. Selagi kita merasakan manusia adalah memungkinkan untuk perkara buruk berlaku. Maka rasa dendam, tertekan dan kekecewaan akan sentiasa menghambat diri. Percayalah, kita akan lelah sepanjang hidup kita.

Wahai jiwa, masa lalu biarkan pergi berlalu bersama angin yang kita kirimkan entah kemana. Hapuskanlah ia dengan melalui denai-denai taubat yang diiringi desiran lembut angin. Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita lemah. Sentiasa mengharapkan sesuatu yang bererti buat hidangan rohani. Wahai jiwa, lupakanlah masa lalu, kerana kamu tidak mampu memikul beban berganda dalam masa yang sama. Bebanan masa lalu dan cabaran masa depan.

Wahai jiwa, Allah menggerakan segala sesuatu yang ada dilangit dan dibumi. Sungguh kekuasaannya Infiniti batasnya. Tegakkan yang maaruf yang terbelenggu dengan kebenaran dan bukannya dengan kesesatan. Yang maaruf, walaupun baik tidak akan tertegak dengan yang sesat. Resepikan belahan surat cinta itu sekadar yang mampu, walaupun hidangannya bukan melalui mulut, usaikan kata dengan mendengar.

Sakitnya Sebuah perpisahan
Andai itu yang mampu diungkap maka capailah dengan sekelumit iman dihati. Sakitnya apabila kita berpisah, berpisah dengan kesihatan yang selama ini kita banggakan. Lupakah kita dengan siapa kita meminjam kesihatan. Kita lupa dan terus lupa. Benarlah, dua nikmat yang sering manusia lupakan ialah nikmat masa lapang dan kesihatan. Kita hanya meminjam tulang empat kerat yang Allah kurniakan, tetapi kita tidak pernah memulangkannya kembali dengan ikhlas. Sentiasa kufur dalam kenikmatan yang diberikan.


Wahai jiwaku, sakitnya mendengar kata-kata yang benar walaupun pahit. Terimalah dengan hati yang sentiasa memanjat pohonan keampunan yang tersisa. Jika mereka berkata kepadamu, katakan kepada mereka “jika tuduhanmu salah maka Semoga Allah mengampunkanmu, jika tuduhanmu benar maka semoga Allah mengampuniku”.

Memberi Tanpa Disyukuri
Memberi, mungkin satu ungkapan yang agak jelas tapi kurang tepat. Ini bermaksud ia mudah untuk dituturkan melalui dua bibir tapi sukar dilentur secara praktikal. Sekiranya kita bertanya, “untuk apa kita memberi?” adakah untuk sesuatu pemberian itu dibalas dengan pemberian yang lain atau pemberian yang ikhlas semata-mata kerana titah perintah Allah? Itupun kita harus berfikir secara mendalam yang persoalan niat dalam memberi.

Memberi boleh dikaitkan dengan sandaran pelbagai rasa. Memberi atas dasar cinta beserta kewajipan adalah yang terbaik buat diri. Katakanlah pada ayah dan ibu kita menghampiri dan mereka ingin bersiar-siar bersama anak-anak mereka. Sedangkan kita sangat berkecamuk dengan urusan lain. Dengan hanya mewujudkan sikap dan dasar “kewajipan”, kita melayani mereka dengan enteng. Sampaikan kita diajak berbual sekalipun masih lagi menjawab panggilan rakan sekerja. Betapa hibanya perasaan mereka. Kita melayani mereka atas dasar kewajipan bukannya kasih dan sayang.

 

Begitu juga dengan solat, bagaimana sesetengah daripada kita (mungkin termasuk juga diriku), hanya termasuk dalam golongan “kewajipan” dan bukannya “kasing sayang”. Solat hanya menunaikan kewajipan. Natijahnya menghasilkan solat yang tidak berkualiti, usah hendak dibentak dengan sempurnanya Rukun Qalbi,  Rukun Qauli dan Fi’li pun masih lintang pukang.

Berusahalah menjaga kesempurnaan dalam solat, biarpun dihambur dengan bermacam kata nista. Imamkah kita, bilalkah kita, mukmumkah kita. Sebutlah selalu “Lillahi Taa’la”. Jika kita gagal dalam zikra kita ketika solat. Ingatlah surat cinta ini

“Teruskanlah berzikir walaupun hatimu lalai kerana sekurang-kurangnya lidahmu akan terselamat daripada kata-kata kotor dan sia-sia” – Imam Al-Ghazali.

Marah yang tiada sebab
Jika kita ditanya tentang “kamu marahkan sayakah?”. Ukirlah senyuman yang paling manis. Katakan padanya “tidak, sesunggunya sayangku lebih kuat mengatasi marahku”. Setiap yang bermula pasti berakhir. Dan yang berakhir pasti kembali bermula. Cuma mungkin suasana dan olahannya yang berlainan.

Jika kita sanggup datang, maka sangguplah kita untuk pergi, jadikan pertemuan kita tidak gelisah dan persisahan kita tidak gundah. Begitulah pesan akhiku. Hikmah-hikmah daripadanya sentiasa bermain di ruang “monolog jiwa” ketika sunyi. Menggamit segala rajuk dijiwa. Wahai jiwa, bertenanglah.

Menghindari rasa benci
Hindarkanlah rasa kebencian. Jika kita berhadapan dengannya maka berlarilah sejauh mungkin. Berlari semampu mungkin. “ukirlah kata pemutus berupa doa buatnya. Doa akan membuatkan benci bertukar mahabbah. Nilaian manusia yang kita idamkan.

Tawakal: “Seandainya kamu bertawakal sungguh-sungguh kepada Allah, nescaya Allah akan memberi rezeki kepadamu sebagaimana burung yang keluar pagi dengan perut kosong (lapar) dan kembali senja hari dalam keadaan kenyang.” (HR. Tirmizi).

Egoku Yang Melangit


Aku terlalu biadap dalam berkata
Olahan kata sering ditafsir perli
Kenapa aku begini
Tidak seperti mereka dan dia

Egonya hati bila berdepan
Gancangan nikmat diragut kasar
Sungguhnya berdepan denganMU
Sangat membuatku malu

Aku ibarah debu
Bila ditiup terbang ketepian
Langkahku entah habis
Bersama habis kesihatan darimu

TUHAN
Leraikanlah dosa masa lalu
Kembali kan diriku menuju fitrah
Walaupun kataku sering mungkir
Tetapi diriku ingin mampir

Sebuah Malam Yang Penuh Kesakitan
20 Februari 2011 

Pandangan Pembaca
Tags:

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Scroll to top