ISLAMIK

Editorial

Negeriku : Salahkah Aku Keranamu


Monolog Jiwa Kecil
Di bumi ini segalanya bermula, tangis pertama itu berkumandang memecah sunyi selama beberapa tahun menunggu. Girang bercampur gembira bagi mereka yang menanti dalam linangan pengharapan yang menduga. Nun jauh disana kelihatan semuanya menyambut dengan gembira, meniti laungan azan bergema. Dibumi ini kakinya berpijak mengatur seribu daya menuju cita. Darahnya pernah membasahi bumi bersama kenangan seribu  rasa. Dibumi ini, bermula bicara segala cerita suka dan duka bersama taulan. Kini anak itu pergi membawa diri, antara dekat dan jauh pasti ia menyedari tempat asal lahirnya.

Monolog jiwa diatas bukanlah suatu stigma kenegerian, tetapi luahan rasa bercampur sayu terkenangkan masa kecil ketika menjujung langit merah, Kelantan. Persoalan kenegerian akan menjadi bualan utama entri kali ini dan percayalah bahawa saya berbangga menjadi rakyat kelantan namun saya lebih berbangga kita berada dibumi Allah, Malaysia. Entri ini ku tulis dengan nada penuh harapan supaya kita sama-sama menerima kelebihan dan juga kekurangan masing-masing.  Tulisan ini luahan hatiku untuk membetulkan stigma tentang rakyat negeri kelantan dan juga membetulkan konsep semangat kenegerian yang mungkin masih lagi menebal oleh masyarakatnya.


Disitu Langit Kujunjung

Sayang kita pada negeri adalah sesuatu yang normal kerana ianya tanah tempat lahir seseorang . Namun, kenapa harus kita menimbulkan semangat cintakan negeri sendiri hingga memberikan satu perspeksi yang negatif terhadap orang negeri lain. Masih teringat lagi ketika usia masih awal berada di Institut Pendidikan Guru, bersama seorang rakan di susur gajah bertanya,

“Sejak datang kesini tak pernah tahu, Kau orang mana?” tanyanya mendapat kepastian.

“aku orang kelantanlah.” Jawabku dengan nada pasti.

“Eh, orang kelantan. Biasanya orang Kelantan bergaul sama-sama orang Kelantan tapi kau lain” jawabnya seolah ingin mendapat kepastian.

“oh, macam tu yer”. Jawabku menerima sahaja tanggapannya. Mungkin kerana pada pandangannya orang kelantan mempunyai semangat kenegerian yang tinggi.

“aku tak kesah berkawan dengan sesiapapun, asal membawa kepada kebaikan. Orang kelantan, orang kedah, orang terengganu, orang pantai barat, selatan hinggalah ke utara semuanya orang Malaysia bermojoriti melayu yang terkenal dengan sopan santun.” Jawabku membuah pandangan membetulkan prinsip yang ku pegang.

Ibrah dari Rasulullah s.a.w
Rasululah s.a.w ketika berhijrah ke Kota Madinah atas Perintah Allah. Nabi Muhammad juga berat untuk meninggalkan Mekah kerana Mekah tempat lahir Rasulullah s.a.w dan di Mekah juga terletak Baitullah (Kaabah). Ketika sampai di Madinah Rasullullah s.a.w disambut oleh penduduk Madinah berasaskan taqwa dan islam. Bagaimanaa islam membentuk persaudaraan atas dasar islam bukan dasar kenegerian .

Siapa yang tidak rindu akan Kaabah? Apabila Nabi Allah Ibrahim a.s. berdoa kepada Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 126, “Dan ingatlah ketika Ibrahim telah berkata,Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini, negeri yang aman sentosa dan berikanlah rezeki daripada buah-buahan kepada penduduk-penduduk yg beriman" Dengan doa dan lambaian Nabi Allah Ibrahim a.s. menyebabkan dada-dada orang beriman meruntun rindu untuk pergi ke Mekah.

Berpisah Kerana Sempadan
Kaca televisyen menunjukkan Bicarawara Selamat Pagi Malaysia dimana tajuk berkisar tentang kasih. Berbicara bersama beberapa ahli panel dalam memberi pandangan berkenaan cinta jarak jauh. Talian ditembusi oleh penonton yang ingin meluahkan pendapat,

“Assalamualaikum, saya **** daripada Johor, dan saya berpendapat bahawa cinta jarak jauh menguji kasanggupan daripada kedua-dua belah pihak. Namun ada juga tak direstui sebagai contoh emak saya, dimana adik saya ingin berkahwin dengan orang Kelantan, tetapi emak tak restu. Kata emak, kamu boleh dengan orang negeri lain tetapi bukan orang Kelantan” pemanggil itu meneruskan bicara dan ahli panel memberikan beberapa komen.


Dalam diri ini mengcungkil beberapa kalimat yang bisa menambah hiba.

“Mengapa mesti berpandangan sedemikian?”
“Kenapa harus dilihat negeri tempat lahirnya?”
“Kenapa berpadangan semua orang itu mesti sama?”

Sungguh diri ini hanya mampu terdiam, teringat kriteria pemilihan jodoh daripada Kalam Bercahaya Rasullulah. Rasulullah s.a.w pernah bersabda, “Seorang wanita itu dinikahi kerana empat; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikkannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” [1] Hadith ini telah direkodkan oleh kedua-kedua Imam Bukhari dan Imam Muslim di dalam kitab sahih mereka serta imam hadith yang lain.

Berbagai alasan yang menyebabkab perkara tersebut berlaku. Termasuklah darisegi perangai, jarak yang jauh, politik dan sebagainya. Namun bagi yang membaca blog ini ingatlah berbuat sesuatu tanyalah pada iman dan hati. “Mintalah fatwa (nasihat) pada hatimu, kebaikan adalah sesuatu yang membuat hatimu tenang, dan keburukan adalah sesuatu yang membuat hati gelisah.” ( Riwayat Ahmad dan ad-Darimi )

Kamu Dijadikan Untuk Berkenal-Kenalan
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (Al-Hujurat Ayat 13)


Negeriku Dengarlah Luahan Hatiku
Sungguh aku berbangga bersamamu,
Sungguh aku gembira keranamu,
Merantau kesegenap corot rantau mencari rezeki,
Merantau ke pelusuk negara ilmu dicari,

Oleh itu, perbetulkan stigma terhadap dirimu,
Tunjukkan yang nilai insan yang ada padamu,
Jaga tingkah laku dan pergaulanmu,
Agar senang orang melihat sifat lakumu,

Jangan sesekali mencemarkan namu negerimu,
Jangan sesekali cemarkan agamamu,
Negerimu digelar Serambi Mekah katanya,
Tanya dirimu adakah layak kamu membawa namanya,

Negerimu Tetap Aku Kenang
Pandanglah kami seadanya,
Kerana kami juga seperti biasa,
Sama seperti kamu sayangkan negerimu,
Kami juga menyayanginya bersamamu,

Jernihkan semua dengan Islam,
Sedikit pengorbanan dituntut sungguh mendalam,
Dalam kejauhan diri terdiam,
Mengharap semua kelam terbungkam,

Kepada Kedah, Terengganu, Johor, Selangor,Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Perlis, Sabah dan Sarawak. Bersatulah atas nama agama. 

Pandangan Pembaca
Tags:

Artikel Berkaitan

No comments:

Leave a Reply

Scroll to top