Terkadang dalam membenci sesuatu perkara itu, terdapat hikmah yang mungkin tidak terjangkau oleh fikiran. Begitu juga bila berbicara soal hidup yang penuh berperaturan yang mana mesti diikuti sekiranya ia tidak melanggar syariat. Peraturan itu dibuat untuk dipatuhi bukan untuk dinodai khususnya dalam konteks hidup bermasyarakat. Walaupun ia bukan hukum yang Qat’i tetapi asal saja dengannya kebaikan dapat diperolehi. Bila disebut masyarakat maka ia merujuk kepada manusia yang hidup berkelompok yang mempunyai pelbagai citarasa yang berbeza. Ia samada kehendak dan kemahuan yang sentiasa didamba oleh manusia.
Saya menulis pada kali ini merujuk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak IPG KSM dalam “pengaturcaraan sistem” pelajar-pelajarnya. Ramai yang tidak menjangka punch card seorang pengarah yang bernama Dr. Hjh. Samsiah Bt. Mustaffa yang bermula pada jam 8.00 pagi bertarikh 20 September itu memperlihatkan perubahan dalam konteks pengisian kerohanian dalam sistem IPG KSM. Memo keluaran 4 Januari 2011 dibawah ada jawapannya.
Jadikan Fikrah Islam Sebagai Teras
Bila bercakap tentang fikrah ia merujuk kepada pemikiran yang mempunyai pemberatan dalam penilaian sesuatu perkara. Apa saja yang kita lakukan mestilah meletakkan islam sebagai teras utama dan pertama dirujuk segalanya mengatasi segala rajuk dijiwa. Kenyataan ini mungkin menimbulkan prasangka terutama sesetengah pembaca blog ini. Namun percayalah, kita tidak perlu menjadi seorang yang cukup baik untuk menuturkan perkara-perkara baik.
Berbalik pada perkata diatas, saya secara peribadi menerimanya sebagai satu usaha dalam meletakkan Al-Quran sebagai pembuka utama hari setiap daripada pelajar. Mendengar taklimat berkenaan dalam satu sesi pada petang itu oleh Ustaz Abdul Aziz Bin Mat Ail terasa suasana dewan berhawa dingin itu terasa panas. Ia berpunca daripada sedikit pertelagahan antara pensyarah dengan beberapa usul cadangan yang dibuat.
“Apa kata pensyarah hanya menjadi penyelia sahaja dan bukannya menjadi ketua bagi setiap sesi tadarus Al-Quran” kata sebahagian pensyarah.
Tidak kurang juga yang mencadangkan pelajar-pelajar Pendidikan Agama Islam diserapkan bagi kelas-kelas yang kurang mahir. Sebahagian yang lain bersuara dan tidak kurang juga gelak ketawa menghiasi dewan Ibnu Khaldun.
Penilaian Berani Berubah
Melihat kepada penerimaan cadangan yang baik ini, saya melihat perubahan yang bakal berlaku khususnya darisudut penghayatan islam di IPG KSM. Perubahan yang baik seringkali dilihat sebagai satu yang perit untuk diharungi. Namun percaya atau tidak setiap daripada kita akan mengalami perubahan dalam setiap fasa hidup. Oleh itu berani berubah adalah satu prinsip yang mesti diletakkan dalam setiap corong-corong hati mukmin.
Pada Keesokkannya, tangan-tangan guru pelatih IPG KSM sudah terselit Al-Quran bertafsir. Sungguh indah melihat suasana demikian. Bagaimana pelajar-pelajar yang berlainan kursus menjadikan Al-Quran sebagai kursus utama mereka pada pagi hari. Bermula jam 7.40 pagi semuanya telah membuka Titipan Cinta Pencipta buat mereka. Pada pagi hari setiap lidah dihujani dengan kata-kata menagih rasa dari Illahi.
Penilaian Umum Sebelum Perubahan
Al-Quran merupakan kitab yang diturunkan oleh Allah s.w.t sebagai panduan kepada orang-orang bertakwa. Firman Allah :
Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa;
Dalam senario umat islam pada hari ini, pelbagai reaksi yang ditunjukkan dalam tindak tanduk mereka dengan Al-Quran. Antaranya :
1. Ada yang tidak peduli langsung dengan Al-Quran.
2. Ada yang enggan dan takut untuk membaca Al-Quran samada tidak lancar atau tidak Difonetikkan atau dibunyinya seperti orang arab.
3. Ada juga yang hanya terkial-kial membaca Al-Quran sekali seminggu. Itupun pada malam jumaat.
4. Ada yang membaca sekadar mendapat berkat.
5. tidak kurang juga ada yang hanya memetingkan tajwid atau bertarannum semata-mata.
6. Malang juga ada yang membaca Al-Quran pada bulan ramadhan semata-mata pada program tadarus yang dirasuah dengan duit raya dan kain pelikat.
Ulama-ulama banyak berpesan melalui lidah baginda tentang semua senario yang tersebut diatas. Antaranya:
1. Teruskanlah membaca Al-Quran. Bagi takut tersalah tajwid, nabi s.a.w bersabda : “Yang membaca Al-Quran sedang dia mahir dengannya bersama-sama dengan para malikat. Yang membaca Al-Quran dan mengulang-ulangnya dan Al-quran amat payah ke atasnya untuk membuang maka baginya dua pahala” (Riwayat Al-Bukhari).
2. Bagi yang membaca Yassin teruskanlah. Tapi harus diingat Al-Quran ditunkan dengan 144 surah maka singkaplah ia satu-persatu. Namun tidaklah saya menafikan pembacaan surah Yassin kerana Nabi s.a.w Bersabda “Hati Al-Quran ialah Yassin. Seseorang membaca surah yassin kerana menghendaki keredhaan Allah dan hari akhirat, pasti Allah menganpunkan dosanya.
3. Bagi yang membaca Al-Quran kerana ingin mendapat syafaat silakan membaca. Namun harus diingat penurunan Al-Quran meliputi seluruh aspek hidup. Sabda Nabi s.a.w “Bacalah Al-Quran maka sesungguhnya ia (Al-Quran) akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya” (Riwayat Muslim).
4. Bagi yang hanya mementingkan tajwid dan berkebolehan membaca dengan baik, maka anda adalah anugerah. Tingkatkan sedikit dengan memberikan pengertian hidup dengan makna-makna Al-Quran itu sendiri.
dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil" (Surah Muzammil Ayat 4)
Mengcungkil Pengajaran Buat Pedoman
Tadabbur dalam bahasa arab bermaksud sepintas lalu merujuk kepada pemerhatian dan pemikiran terhadap sesuatu perkara. Oleh itu, ia membawa erti bukan sekadar membaca dan bertajwib dengan betu sahaja tetapi mengkaji apa yang tersirat dan yang tersurat. Mengcungkil pengajaran untuk dijadikan pedoman.
Lafaz Tadabbur berasal daripada kata dasar Dabara yang merujuk kepada belakang. Jika dilihat sistem anggota tubuh manusia atau sistem organisasi. Tulang belakang amat penting dalam menggerakkan yang lain. Dari kata ini terbitlah perkataan tadbir dengan makna pengurusan. Oleh itu, dalam tadabbur, penghujung bacaan adalah yang paling penting. Ianya ialah penghayatan atau implimentasi dalam urus tadbir dunia dan akhirat.
Surat Cinta Yang Bermakna
Tadabbur merupakan proses penting dan menuntut hati yang terbuka dalam memasukkan sesuatu konsep dalam hati dan minda. Terdahap hadis yang jelas menunjukkan Nabi Muhammad s.a.w mempraktikkan proses tadabbur. Dalam ungkapan Huzaifah r.a dimana beliau bersolat bersama dengan Nabi s.a.w pada suatu malam. Nabi membaca mambaca surah Al-Baqarah, Al-Nisa’ dan Ali ‘Imran.
Huzaifah berkata “Apabila Nabi s.a.w lalu pada ayat yang ada tasbih, nabi s.a.w bertasbih. Dan apabila nabi s.a.w lalu pada ayat permintaan maka nabi s.a.w meminta. Dan apabila yang ada padanya ayat perlindungan syaitan, nabi s.a.w berlindung kepada Allah”.
Tadabbur tidak dapat dipisahkan dengan wahyu pertama iaitu iqra’. Bermaksud ia mesti menuju kearah pemahaman. Membaca bukan sekadar untuk keberkatan tetapi lebih baik jika membaca dengan memahami kandungannya.
Persoalan untuk dijawab
Persoalannya yang timbul ialah manakah yang lebih baik “Rajin membaca Al-Quran tetapi tidak faham ataupun sedikit dan faham?”. Rajin membaca juga baik kerana nabi s.a.w bersabda ;
“Sesiapa yang membaca Al-Quran satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan dengan sepuluh kali ganda. Aku tidak katakan Alif Lam Mim itu satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”
Para sahabat biasanya mempelajari sekitar sepuluh ayat Al-Quran dengan Nabi s.a.w. Mereka tidak melepasi ayat tersebut sehingga mereka faham dan beramal dengannya.
Melihat dan Mempercayai
Percayalah pada Al-Quran yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Konsep ini saya sesuaikan dengan ungkapan penutup tulisan kali ini. Pada pakar motavasi seing is believing, (melihat untuk percaya) melihat merupakan sesuatu bukti kukuh untuk kita percaya. Namun konsep ini harus diperluaskan iaitu Believing is seing (mempercayai untuk melihat).
Kita mesti percaya untuk melihat hasilnya pada masa akan datang. Ingat, janji Allah pasti terlaksana. Allah menjanjikan Allah akan membawa rahmat kepada pembacanya. Bila Al-Quran ditadabbur oleh individu, keluarga, masyarakat dan negara maka seluruhnya akan berada dalam lindungan rahmat Pencipta (Allah maha besar)
Perubahan terindah
Suasana dalam kelas setiap pagi sungguh menggamit jiwa. Meruntuh buah-buah kasih pada surat cinta itu. Suara teruja terdengar dalam ruang telinga.
Situasi 1: Bilik Kuliyah 6
“ok kelas, Jom baca al-Quran. Cepat, tak sabar dah”
Itulah suara mereka yang telah terkesan dengan surat cinta ini setelah lama hati kekeringan menunggu air membasahi hati mereka. Terdapat juga yang bertanya hukum tentang tajwid, cara bacaan dan hukum-hukum. Sungguh terasa diri amat kerdil bila ditanya tentang perkara berkenaan. Terasa teramat sedikit ilmu agama untuk dibawa ke alam lain bila sesetengah persoalan tidak mampu dijawab. Hidup sudah mencecah 23 tahun, hanya sedikit ilmu yang tersimpan.
Situasi 2: Surau Al-Firdaus
“Wah, sekarang ni selawat kita sudah panjang. Bersalaman pun lama” Katanya seorang jemaah sambil tersenyum.
Begitulah situasi Surau Al-Firdaus selepas isyak yang berselamat sambil bersalaman. Peningkatan jemaah makin bertambah. Jika dulu melihat satu saf hadapan penuh jarang sekali berlaku. Sekarang peningkatan 3 kali ganda bilangan jemaah merupakan satu perubahan yang indah.
Kesimpulan dan cadangan
Saya mencadangkan supada mereka yang mengendalikan bacaan pada tiap-tiap pagi supaya mengambil sedikit masa membaca tafsir ayat yang dibaca. Singkaplah keindahan ketika bersama perintah Iqra’ setiap pagi. Moga-moga cair hati dalam mencari jalan sepanjang kehidupan yang hanya sementara.
No comments: