Irvineislam, ramai yang bertanya kenapa nama itu dan kenapa tidak nama ini. Sebenarnya ia tercetus semasa mula-mula berjinak di dalam arena blogging dan kebetulan pada masa itu cukup terkesan dengan bacaan Al-quran Syeikh Mesyaari Bin Rashid Al-Afaasy. Seorang Qari yang cukup indah bacaannya, imam besar Masjidul Kabiir, Kuwait.
Pada waktu itu, di laman Youtube pada masa itu Syeikh Mesyaari sedang mendengarkan alunan Surah Ar-Rahman di Irvine Islamic center, United Kingdom. Saya memikirkan nama itu cukup sedap untuk didengar dan entah macam mana, tercetus untuk menemakan blog ini sebagai irvineislam.blogspot.com. InsyaAllah jika tiada aral melintang akan berlaku penukaran domain untuk memberikan nafas baru pada setiap kata :: irvineislam.com ::
Kenapa pula dengan tagline makna kata? Itu adalah ayat selingan seseorang yang pernah menghiasi diriku dengan nilai keislaman. Kehadirannya sungguh memberi makna. Dia bukan hanya berkata dengan lidah sebaliknya dengan hati dan perilaku. Anda boleh membaca kisahnya (Tekan Disini). Sungguh dirinya tiada pengganti. Makna pada kata ialah berkata-kata bukan sekadar dengan bersilat kata dan kemudiannya kosong, tiada isi. Sebaliknya menggabungkan beberapa sumber yang boleh menggerakkan. Disebalik kata itu tersirat beribu makna. Itulah yang saya cuba sampaikan.
Apa yang anda baca mungkin berlainan bila anda mengenali saya. Sebab itu saya meletakkan prinsip “Tidak perlu diri menjadi seseorang yang cukup sempurna dalam menyatakan kebaikan”. Kerana saya bimbang harapan pembaca di alam blog akan berbeza dengan persepsi sebenar. Mungkin itulah antara sebab saya sering membaca apa yang saya tulis. Bukan untuk mencari idea dalam penulis atau bimbang kekeringan idea. Tetapi untuk mengingatkan diri yang bahawa apa yang saya tulis mestilah selari dengan hidup yang saya jalani.
Irvineislam: Penguat Semangat
Saya mengangap ia adalah diri saya yang satu lagi. Bukankah kita sering mendengar persoalan ‘split personality’ ataupun ‘changing of value human with sorroundings’ dan sebagainya. Walaupun istilah kedua-duanya tidak sama tapi relatifnya ia berkaitan dengan manusia yang sentiasa berubah. Samada darisudut pendirian ataupun kualiti pada jiwanya.
Menulis bagi saya suatu hiburan yang sukar untuk diperolehi keseronokkanya. Namun bila ia datang ligat otak ingin menghambur setiap tafsiran melaluinya. Ia membuatkan ‘self motivating’ berada pada tahap yang tinggi. Jiwa bagaikan hidup, diselangi bungan-bunga iman, harum mewangi oleh desuran dakwah ingin memberi, ditambah pula linangan kata membasahi pena pengharapan berbentuk papan kekunci.
Padanya saya letakkan berbagai cita-cita, antaranya ialah penulisan novel dan buku motivasi. Penulisan novel agak susah berbanding motivasi. Ini kerana penulisan novel memerlukan pengalaman dan imiginasi yang tinggi. Tetapi insyaAllah ia akan ditentukan oleh lembaran masa kelak. Ianya cukup tinggi dan memerlukan daya usaha yang tinggi. Seringkali kita bertanya adakah pilihan yang selama ini kita buat adalah tepat? Atau hanya sekadar ilusi untuk melambatkan proses?. Persoalan yang sukar dijawab.
“Menulis bukan sekadar perubahan tetapi ia adalah ketepatan, membezakan nilaian Allah dan manusia adalah penting. Kerana dari Allah akan datang seribu satu manfaat buat hamba yang beriman”
Irvineislam : Sebuah Skrip Penghidupan
Bila bercakap soal kehidupan sudah pasti kita banyak belajar dari pengalaman. Sebab itu dikatakan kehidupan ialah universiti dalam penghidupan. Jangan pening dengan ayat tu. Kehidupan berbeza dengan penghidupan seperti ‘live’ dan ‘life’, kedua-duanya berbeza. Kita membina kehidupan dalam sebuah penghidupan. Jadi apa yang berbeza?. Bezanya ialah kehidupan berubah tapi penghidupan tidak. Pernahkan kita mendengar peribahasa “we cannot direct the wind but we can adjust our sail”.
Kehidupan adalah pembina pengalaman, dari pengalamanlah kita boleh menukil segala keindahan dan tidak kurang juga keburukan. Sebahagian cerita dan nukilan itu terhasil daripada pengalaman samada diri atau orang lain. Mengambil kebaikan biarpun dicelah-celah keburukan.
Pernah juga orang memerli dengan capaian ziarah ataupun pengikut pada blog irvineislam. “buat apa susah-susah bukan ramaipun yang baca blog kau ni”. Katanya sinis. Saya menjawab yang saya menulis bukan untuk semua. Bagi saya walaupun seorang yang baca ia sudah memadai. Tidak perlu berjuta seperti blog-blog lain. Datang islam itu asing dan akan kembali asing. Kalau kita meletakkan ini sebagai ukuran maka kita akan bahagia walaupun dimata orang lain tidak.
Irvineislam : Mengimbau Sejarah
Sejarah blog ini menjadikan saya cukup bersedia dalam menerima pandangan mahupun kritikan. Banyak sejarah mengenainya. Contohnya seperti pernah ditempelak kerana mengulas soal imam dan bilal. Banyak juga komen yang mengecam dan tidak kurang juga yang membina. Yang mengatakan ulasan ikut emosi dan terus membenci. Bagi saya itu lumrah dunia kerana kita tidak mampu mengawal manusia dengan manusia apatah lagi hujah.
Kali terakhir blog irvineislam diserang oleh seseorang ialah pada 14 Januari 2011 oleh seseorang yang saya tidak tahu namanya. Kerana apa-apa saja boleh ditulis di dalam chatbox. Beliau mengatakan saya azan subuh tertinggal kalimah dan saya pun tidak perasan. Mungkin kerana subuh itu menjanjikan keletihan yang teramat. Saya dikatakan kononnya;
1. Berlagak alim dan bukan saya sahaja yang alim, ramai lagi.
2. Selalu ingin menjadi orang besar (imam) dan tugas orang kecil (bilal) disisihkan.
3. Saya menulis hanya inginkan simpati
4. Bila saya menjadi imam ramai yang benci untuk datang ke surau terutamanya lelaki
5. Diminta saya kurangkan menjadi imam baru dikatakan hidup untuk berkorban
Mendengar semu itu agak pedih. Lebih memedihkan bila saya tidak tahu siapa yang menulisnya. Saya jawab persoalannya atas dasar kebiasaan sahaja. Untuk lebih kejelasan menjawab semua itu, saya menjelaskan semuanya kepada ahli surau. Walaubagaimanapun saya mengucapkan terima kasih kepada orang ini yang mendidik saya. Ya, mungkin kelihatan kasar tapi insyaAllah banyak hikmahnya.
Kata orang menjadi orang baik sangat susah dan lebih susah lagi untuk mengekalkannya. Orang baik ibarat kain putih, akan dianggap putih selagi tiada kekotoran. Bila sudah ada sedikit kekotoran, orang sudah tidak nampak keputihan itu tetapi lebih nampak kehitaman yang terlekat padanya. Saya selalu berpesan ketika orang memuji saya atas segala sesuatu. “jangan terlalu memuji, bimbang apabila sesuatu yang dipuji itu keluar daripada kebiasaan dalam pujian, akan timbul pula kejian”.
Irvineislam : Kembara Masa Depan
Manakan sama orang yang berilmu dan tidak. Menulis merupakan medium menambah ilmu kerana dengannya kita akan belajar sesuatu, mencari sesuatu untuk memberikan sesuatu. Ilmu tentang sesuatu yang hendak ditulis perlulah diteliti dan difahami agar proses pencerapan berlaku dengan kadar maksimum. Beberapa rujukan buku perlu diteliti kemudian didaptasi dalam kontkes semasa supaya isinya lebih segar dan bermutu.
InsyaAllah selagi nikmat akal dan fikiran masih lagi dipinjamkan oleh Allah sedaya upaya kita mesti menjadikan ia sebagai satu proses mencorak diri. Mencorak diri agar mempunyai harga diri yang utuh. Biarpun diri kita tidak dihargai, dan buang rasa itu sejauh yang mungkin. Ini kerana usah binbang kerena diri kita tidak dihargai sebaliknya bimbang jika diri kita benar-benar tidak berharga lagi. Nauzubillah..
Melipat ganda usaha dan tidak melalaikan aspek tawakkal adalah intipati sunyi tika membicarakan soal kejayaan. Kerana tiada kejayaan jika tidak disandarkan pada pencipta kejayaan. Manusia ialah makhluk yang mempunyai ‘potential value’ yang tersendiri. Pernah atau tidak kita mendengar yang Allah tidak mencipta kita sia-sia. Potential value tadi mestilah dilihat dengan beberapa sudut. Orang yang bodoh adakah dia betul-betul bodoh? Orang yang malas adakah dia betul-betul malas? Dan sebagainya.
Diakhir lembar bicara ini, hidup sememangnya sukar dan mencabar. Namun apa yang diharap daripada irvineislam tidaklah setinggi gunung yang sukar didaki. Hanya gunung pengharapan buat tatapan semua. Di dalamnya terkandung insan-insan yang walaupun tidak begitu mereka ini mengenalku, tapi diri mereka penuh nikmat dan hikmah dalam kembara penghidupan. Jika hendak dibanding saya dengan mereka cukup jauh. Namun saya cuba menghampiri mereka, kerana saya;
Tidaklah diri saya sepuitis Ustaz Pahrol Mohd Juoi
Tidak juga kuat rujukan hukum Dr. Zaharuddin Abdul Rahman
Tidak juga berpengalaman sehebat Prof Dato’ Dr. Sidek Baba
Tidak juga seindah nukilan Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni
Tidak juga sesedap suara Syiekh Mesyaari Al-Afaasy
Tidak juga pandangan setajam Ustaz Kazim Ellias Al-Hafiz
Tidak juga petah berbicara Dr. Zahazan Mohamed
Tidak juga selantang Ustaz Azhar Idrus
Tetapi hanya cuba mengikut jejak mereka
Bukan hendak mengetepikan ulama silam
Cuma diri mereka terlalu jauh pada pandangan
Harap orang-orang dekat seperti mereka
Akan membawa saya kepada orang-orang jauh
No comments: